BEIRUT, 30 MAC – Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mengesahkan seorang anggota pengamannya maut, manakala seorang lagi cedera parah akibat terkena letupan projektil pada malam Ahad.
Insiden berdarah tersebut dilaporkan berlaku apabila satu letupan berlaku berhampiran kedudukan pangkalan UNIFIL di kawasan Adchit Al Qusayr, selatan Lubnan.
Pihak UNIFIL dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin memaklumkan bahawa arah bedilan dan pihak yang melancarkan projektil tersebut masih belum dapat dipastikan. Susulan kejadian itu, satu siasatan terperinci telah dilancarkan serta-merta bagi mengenal pasti punca sebenar serangan berkenaan.
“Kami masih tidak mengetahui dari mana asal usul projektil tersebut dan siasatan telah dilancarkan bagi menentukan semua keadaan yang menjurus kepada insiden ini.
“Tidak ada sesiapa pun yang sepatutnya kehilangan nyawa ketika berkhidmat untuk misi keamanan,” tegas UNIFIL menerusi kenyataan tersebut.
Pasukan pengaman antarabangsa itu turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga, sahabat handai dan rakan setugas mangsa yang terkorban. Tumpuan perubatan kini diberikan sepenuhnya kepada anggota yang cedera parah dan sedang menerima rawatan rapi di hospital.
Dalam perkembangan berkaitan, UNIFIL mengulangi amaran keras kepada semua pihak yang terlibat dalam konflik di rantau berkenaan agar mematuhi sepenuhnya kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa. Semua pihak yang bertelagah dituntut menahan diri daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh mengancam nyawa anggota keamanan.
Keselamatan anggota serta harta benda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wajib dijamin pada setiap masa tanpa sebarang kompromi.
“Sebarang serangan yang disengajakan ke atas anggota pengaman merupakan satu pencabulan besar terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). Tindakan ini boleh dianggap sebagai jenayah perang,” amaran agensi itu.
UNIFIL meluahkan kekesalan atas angka korban yang terus meningkat melibatkan kedua-dua belah pihak di sepanjang Garisan Biru. Agensi itu mengulangi pendirian bahawa tiada penyelesaian ketenteraan yang mampu menamatkan krisis tersebut lantas mendesak semua bentuk keganasan dihentikan segera.
Sementara itu, agensi berita kebangsaan Lubnan, NNA melaporkan kejadian berlaku ketika Israel melancarkan serangan artileri ke ibu pejabat UNIFIL kontinjen Indonesia.- airtimes.my
