Home DiskusiKolumnis – Pengajaran dari Timur Tengah: Adakah Malaysia benar-benar bersedia memperkukuh pertahanannya?

Kolumnis – Pengajaran dari Timur Tengah: Adakah Malaysia benar-benar bersedia memperkukuh pertahanannya?

by Zaki Salleh
A+A-
Reset
Kenyataan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa pergolakan geopolitik di Timur Tengah harus dijadikan pengajaran kepada Malaysia membuka satu perbincangan penting tentang realiti sebenar keupayaan pertahanan negara.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, konflik yang berlaku ribuan kilometer dari Malaysia tetap memberi isyarat jelas bahawa keselamatan sesebuah negara tidak boleh dipandang ringan.
Menurut beliau, Malaysia perlu belajar daripada konflik tersebut supaya sistem pertahanan negara lebih strategik dan bersedia menghadapi sebarang cabaran pada masa hadapan.
Kenyataan itu turut menekankan bahawa tanggungjawab mempertahankan negara bukan hanya terletak pada bahu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau Kementerian Pertahanan (MINDEF) semata-mata.
Sebaliknya, memerlukan penglibatan seluruh rakyat termasuk dalam menghadapi ancaman baharu seperti peperangan maklumat dan propaganda luar.
Namun, persoalan lebih besar timbul apabila kenyataan tersebut dibandingkan dengan realiti pembangunan pertahanan Malaysia sejak lebih sedekad lalu.
Hakikatnya, amaran tentang kepentingan memperkukuh pertahanan bukan sesuatu yang baharu.
Sejak awal 2010-an lagi, penganalisis pertahanan menegaskan bahawa Malaysia perlu meningkatkan keupayaan ketenteraan bagi menghadapi perubahan landskap geopolitik serantau.
Dalam teori keselamatan negara, pertahanan sering diibaratkan sebagai insurans.
Negara mungkin tidak sentiasa berperang, tetapi kesiapsiagaan tetap perlu dibina sebelum krisis berlaku.
Menunggu sehingga konflik tercetus untuk memperkukuh keupayaan pertahanan biasanya sudah terlambat.
Justeru, konflik terbaru di Timur Tengah sekadar mengingatkan dunia tentang realiti tersebut.
Bagi Malaysia, isu sebenar bukan sekadar belajar daripada konflik luar, tetapi sama ada negara benar-benar komited untuk membina kekuatan pertahanan secara konsisten.
Ini juga bukan kali pertama konflik bersenjata global berlaku.
Dalam era ketenteraan moden kita boleh merujuk situasi sama semasa Perang Teluk 1991, Konflik di Bosnia Herzegovina, Perang Afghanistan 2001 dan Perang Iraq 2003.
Dalam lingkungan serantau pula kita telah menyaksikan konflik bersenjata di Filipina dengan insiden paling membuka mata adalah semasa Pertempuran Marawi 2017.
Konflik bersenjata dalam negara yang paling akhir melibatkan ATM dan pasukan keselamatan negara adalah semasa Ops Daulat di Sabah 13 tahun lalu.
Jika dilihat kepada peruntukan kewangan, Malaysia secara relatifnya membelanjakan sekitar satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pertahanan.
Angka ini jauh lebih rendah berbanding beberapa negara jiran yang meningkatkan belanjawan pertahanan bagi memperkukuh keupayaan strategik mereka.
Peruntukan yang terhad ini memberi kesan langsung kepada kemampuan untuk menggantikan aset lama, menaik taraf sistem sedia ada serta mempercepatkan program pemodenan tentera.
Salah satu cabaran terbesar dalam perbahasan pertahanan di Malaysia ialah persepsi politik dan masyarakat terhadap kepentingan kekuatan ketenteraan.
Ungkapan klise yang sering kedengaran seperti ‘negara hendak berperang dengan siapa?’ mencerminkan satu pemikiran yang melihat pertahanan sebagai sesuatu yang tidak mendesak.
Pendekatan sebegini boleh menjadi masalah dalam jangka panjang kerana sejarah menunjukkan konflik sering berlaku tanpa diduga.
Negara yang tidak bersedia dari segi keupayaan pertahanan biasanya terpaksa membayar harga yang jauh lebih mahal apabila krisis berlaku.
Selain soal peruntukan, isu tadbir urus dalam perolehan pertahanan juga sering menjadi perhatian.
Polisi yang mewajibkan pembelian melalui syarikat perantara tempatan kadangkala menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan nilai tambah sebenar kepada industri pertahanan negara.
Dalam beberapa kes sebelum ini, kelewatan projek, peningkatan kos dan dakwaan salah guna kuasa telah memberi kesan kepada program pemodenan tentera.
Apabila projek tertangguh bertahun-tahun, kos keseluruhan meningkat dan pada masa sama keupayaan pertahanan negara terus ketinggalan.
Beberapa program utama yang melibatkan aset laut dan udara juga pernah berdepan kelewatan panjang, sekali gus menimbulkan persoalan tentang keberkesanan sistem pengurusan perolehan pertahanan.
Di atas kertas, keupayaan ATM mungkin kelihatan mencukupi untuk menjaga keselamatan negara.
Bagaimana pun, dalam realiti operasi banyak aset yang digunakan telah berusia dan memerlukan penggantian atau pemodenan.
Cabaran ini merangkumi ketiga-tiga cabang utama tentera darat, laut dan udara.
Tanpa pelaburan yang konsisten, jurang keupayaan antara Malaysia dan beberapa negara jiran berpotensi menjadi semakin besar.
Dalam konteks ini, konflik global sepatutnya dilihat sebagai peringatan bahawa pembangunan pertahanan tidak boleh bersifat reaktif.
Ia memerlukan perancangan jangka panjang, peruntukan stabil serta tadbir urus yang telus dan tidak memerlukan pun ramai jeneral.
Tanpa langkah-langkah ini, peringatan tentang kepentingan keselamatan negara mungkin hanya tinggal sebagai retorik.

Related Articles

Leave a Reply