Home Teknologi PertahananMeriam BORAN Turkiye calon utama tender persenjataan Tentera Darat Malaysia

Meriam BORAN Turkiye calon utama tender persenjataan Tentera Darat Malaysia

by M.Daim
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 14 MAC – Rundingan perolehan sistem meriam tunda ringan bagi kegunaan Tentera Darat Malaysia kini sedang giat dijalankan.

Dalam saingan tender persenjataan tersebut, meriam MKE BORAN 105 milimeter buatan Turkiye tampil sebagai calon yang paling kukuh untuk dipilih.

Syarikat pertahanan Turkiye iaitu MKE menerusi satu kenyataan rasmi memaklumkan bahawa sistem tersebut mendahului pesaing lain berdasarkan piawaian kualiti yang tinggi serta prestasi cemerlang yang dipamerkan ketika sesi ujian di Malaysia.

Selain itu, potensi pemilihan BORAN turut disokong oleh jalinan hubungan kebudayaan, politik, dan ekonomi yang erat di antara Malaysia dan Turkiye.

“Dengan kemasukannya ke dalam inventori Angkatan Tentera Turkiye, eksport bersejarah pertama ke Bangladesh, demonstrasi tembakan langsung berprestasi tinggi di Malaysia dan penghantaran Eropah ke Macedonia Utara, BORAN berdiri sebagai contoh konkrit kepakaran kejuruteraan dan keupayaan eksport yang dicapai oleh industri pertahanan Turkiye,” jelas kenyataan tersebut.


Pihak MKE telah menyatakan ujian penembakan yang dilaksanakan di Malaysia telah menunjukkan prestasi meriam BORAN./Gambar: MKE


Pihak syarikat menambah bahawa pencapaian itu terus melonjakkan profil persenjataan berkenaan di peringkat antarabangsa.

“Sambil mengukuhkan kedudukannya di pasaran global dari hari ke hari, meriam BORAN terus menarik perhatian pelbagai negara di seluruh Asia, Eropah dan melangkauinya dengan keupayaan unggul serta potensi eksport yang tinggi,” tambah MKE.

Terdahulu pada Mei 2025, meriam BORAN telah menyertai sesi ujian tembakan langsung di Malaysia. Dalam ujian demonstrasi tersebut, ia dinilai di tapak lapang sasar yang sama bersama sistem meriam dari beberapa negara berbeza.

Hasil penilaian mendapati BORAN berjaya melepaskan 12 das tembakan dalam tempoh masa hanya 46 saat. Pencapaian itu jelas mengatasi keupayaan meriam pesaing yang lain dari aspek kadar kelajuan tembakan dan integriti sistem secara keseluruhan.

Direka untuk memenuhi spesifikasi keperluan pertahanan moden, BORAN didatangkan dengan berat hanya 1,775 kilogram, lantas menjadikannya sebagai antara meriam paling ringan di dunia.

Reka bentuk yang ringan itu membolehkan ia diangkut dengan pantas melalui udara menggunakan helikopter Sikorsky S-70 dan Chinook, atau melalui laluan darat menggunakan kenderaan pembawa beban berat.

Meriam tersebut mampu diletakkan dalam posisi sedia untuk menembak dalam tempoh kurang daripada satu minit. Ia juga memiliki keunikan tersendiri dengan keupayaan melepaskan tembakan ketika masih berada di atas tayarnya.

Sistem persenjataan ini turut dilengkapi dengan Sistem Kawalan Tembakan bersokongan Sistem Penentududukan Global (GPS), alat pandang panorama dan keupayaan atur gerak pantas yang amat bersesuaian dengan keperluan operasi briged elit. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply