Home GlobalSri Lanka beri perlindungan 208 anak kapal Tentera Laut Iran

Sri Lanka beri perlindungan 208 anak kapal Tentera Laut Iran

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

COLOMBO, 6 MAC – Kerajaan Sri Lanka mengarahkan kapal milik Tentera Laut Iran, ‘IRINS Bushehr’ dibawa ke Pelabuhan Trincomalee manakala 208 anak kapalnya dipindahkan ke Pelabuhan Colombo bagi tujuan keselamatan.

Presiden Anura Kumara Dissanayake menegaskan bahawa langkah tersebut diambil bagi memastikan keselamatan nyawa anak kapal terjamin tanpa menjejaskan dasar luar negara yang berkecuali. Beliau memberi jaminan bahawa wilayah Sri Lanka tidak akan dibenarkan menjadi medan persengketaan mana-mana kuasa asing.

“Dalam sebarang konflik antarabangsa, pendirian kami adalah kekal berkecuali. Kami sama sekali tidak akan membenarkan wilayah darat, zon laut, atau ruang udara kami digunakan secara memihak dalam konflik oleh mana-mana negara, atau dengan cara yang membawa tekanan kepada mana-mana negara,” tegas Dissanayake dalam laporan media kerajaan Sri Lanka.

Langkah pengasingan lokasi antara anak kapal dan aset maritim tersebut dilakukan bagi membolehkan bantuan logistik disalurkan dengan berkesan di ibu negara, sementara kapal tersebut dipantau sepenuhnya di bawah kawalan pihak berkuasa pelabuhan Trincomalee.

Presiden Dissanayake menyatakan bahawa walaupun negara itu mengamalkan dasar berkecuali yang ketat, perlindungan terhadap nyawa manusia tidak akan dikompromi.

“Sebagai sebuah bangsa dan negara, di samping melindungi sepenuhnya dasar berkecuali, kami meletakkan kemanusiaan di tempat pertama. Oleh itu, kami sama sekali tidak teragak-agak untuk mengambil sebarang langkah yang perlu demi melindungi kemanusiaan dan nyawa manusia,” tambahnya lagi.

Terdahulu, kapal frigat Tentera Laut Iran, IRINS DENA tenggelam di luar pesisir Sri Lanka akibat serangan torpedo. Dalam kejadian yang berlaku pada 4 Mac lalu, kapal frigat kelas MOUDGE itu terkena bedilan torpedo oleh kapal selam Tentera Laut AS. Sehingga kini, 87 anak kapal dilaporkan maut manakala 61 lagi masih hilang.

Seramai 32 anak kapal IRIS DENA telah diselamatkan oleh Sri Lanka. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply