Home GlobalMalaysia desak gencatan senjata segera di Iran

Malaysia desak gencatan senjata segera di Iran

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 2 MAC – Malaysia mendesak agar gencatan senjata segera dilaksanakan antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel susulan serangan ketenteraan terhadap Republik Islam Iran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan ganas ini menyerang negara berdaulat dan merdeka adalah tindakan biadap, melanggar prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan melanggar semua hukum undang-undang  dunia.

“Malaysia berpandangan bahawa tindakan ketenteraan berterusan terhadap Iran, walau apa pun perbezaan dasar dan pendirian politik, adalah bertentangan dengan prinsip yang telah dipersetujui masyarakat antarabangsa.

“Serangan ini bukan sahaja melanggar peraturan antarabangsa, malah berisiko mencetuskan ketegangan dan eskalasi lebih besar yang boleh mengheret negara-negara Teluk ke dalam kancah peperangan,” katanya dalam ucapan penggulungan usul mengenai situasi keselamatan di Iran dan rantau Timur Tengah Dewan Rakyat hari ini.

Tegas Anwar, Malaysia menyeru agar gencatan senjata dilaksanakan segera tanpa syarat. Sekiranya terdapat pertikaian, ia wajar diselesaikan melalui rundingan dan saluran diplomatik secara konstruktif.

“Malaysia konsisten dengan dasar luar negara yang menghormati kebebasan dan menentang sebarang bentuk pencerobohan terhadap negara berdaulat,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Iran susulan insiden yang mengorbankan beberapa pemimpin utama negara itu, termasuk Ali Khamenei, serta orang awam termasuk kanak-kanak.

Selain menyatakan pendirian terhadap Iran, kerajaan turut memberi perhatian kepada keselamatan rakyat Malaysia di rantau berkenaan. Penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan menyebabkan sebahagian rakyat Malaysia terkandas, termasuk mereka yang bekerja, menetap, melancong dan menunaikan umrah.

Menurut beliau, lebih 29,000 rakyat Malaysia berdaftar berada di rantau Timur Tengah, dengan jumlah tertinggi di Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Jordan.

“Wisma Putra kini memantau perkembangan semasa secara dekat, selain mengaktifkan bilik gerakan untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau ingin pulang ke tanah air.

“Walaupun penerbangan dari Arab Saudi masih dibenarkan, situasi di negara lain masih belum menentu berikutan ketegangan yang berterusan,” katanya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply