Home GlobalAS dan Israel serang Iran, Tehran balas bedilan di rantau Timur Tengah

AS dan Israel serang Iran, Tehran balas bedilan di rantau Timur Tengah

by M.Daim
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR. 28 FEB – Wilayah Timur Tengah kini secara rasmi terjerumus ke dalam kancah krisis peperangan terbuka yang berskala besar. Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah memulakan serangan ketenteraan preemptif secara bersepadu terhadap Iran pada awal pagi Sabtu (petang waktu Malaysia). Tindakan agresif ini segera dibalas oleh Tehran menerusi serangan peluru berpandu balistik dan dron yang menyasarkan pangkalan tentera AS serta sekutunya di seluruh rantau Teluk.

Serangan tentera sekutu yang dinamakan Operation Epic Fury oleh Pentagon dan Operation Roaring Lion oleh tentera Israel ini bukan sekadar serangan biasa.  Serangan dilaporkan telah menyasarkan infrastruktur kritikal di beberapa bandar utama Iran. Lokasi yang terjejas teruk termasuklah ibu negara Tehran, Isfahan, Qom, Karaj, dan Kermanshah. Sasaran utama serangan adalah ke atas pusat penyelidikan nuklear, pangkalan peluru berpandu Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), serta fasiliti pentadbiran kerajaan.

Presiden AS, Donald Trump dalam satu siaran video rasminya mengesahkan bahawa operasi pertempuran utama sedang giat dijalankan di negara Timur Tengah itu.

“Matlamat kempen ketenteraan ini adalah untuk memusnahkan keupayaan peluru berpandu Iran serta membongkar industri ketenteraan mereka secara menyeluruh,” tegas Trump sambil menyeru agar rakyat Iran mengambil peluang ini untuk menumbangkan rejim pentadbiran sedia ada.

Kenyataan ini disokong sepenuhnya oleh rakan sekutunya di Tel Aviv. Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz segera mengisytiharkan darurat penuh di seluruh negaranya dan menyifatkan langkah drastik tersebut sebagai keperluan mutlak demi kelangsungan Israel.

“Negara Israel telah melancarkan serangan preemptif terhadap Iran bagi menghapuskan ancaman keselamatan yang disifatkan sebagai ancaman kewujudan terhadap negara kami,” kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan berasingan berhubung operasi tersebut.

Pihak berkuasa di Tehran tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan balas dendam. Kepimpinan tertinggi IRGC segera mengaktifkan operasi serangan balistik berskala besar yang menyasarkan kedudukan strategik AS di Timur Tengah. Pangkalan tentera Armada Kelima AS di Bahrain, serta fasiliti ketenteraan gabungan di Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Qatar dilaporkan telah menjadi sasaran bedilan bertubi-tubi peluru berpandu Iran.

Perkembangan ini ini mencetuskan gelombang panik di seluruh rantau Teluk. Sistem pertahanan udara negara-negara Arab diaktifkan pada kapasiti maksimum untuk memintas projektil yang merentasi ruang udara mereka. Pihak berkuasa UAE setakat ini mengesahkan seorang individu maut akibat terkena serpihan peluru berpandu yang berjaya dipintas di ruang udara negara tersebut.

Selain pangkalan AS, wilayah Israel turut dihujani peluru berpandu dari arah timur. Sistem pertahanan Iron Dome milik Israel dilaporkan bertungkus-lumus menangkis bedilan yang menyasarkan bandar-bandar utama termasuk Baitulmaqdis dan kawasan utara negara tersebut. Pasukan perubatan dan hospital di seluruh Israel telah mengaktifkan protokol kecemasan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Kesan daripada pertempuran darat dan udara ini telah melumpuhkan sektor penerbangan komersial antarabangsa. Kesemua negara di sekitar zon konflik termasuk Iran, Iraq, Israel, Syria, dan sebahagian besar negara Teluk telah menutup ruang udara mereka sepenuhnya. Laluan maritim strategik terutamanya di Selat Hormuz kini berada dalam keadaan berjaga-jaga pada tahap paling tinggi, mencetuskan kebimbangan mengenai gangguan rantaian bekalan minyak global.

Pengerahan jentera perang ini bukanlah satu kejutan bagi pemerhati geopolitik antarabangsa. Ia merupakan kemuncak ketegangan selepas rundingan mengenai program nuklear Tehran menemui jalan buntu pada hari Jumaat. Tindakan AS menempatkan aset armada tentera laut yang terbesar sejak Perang Iraq di perairan Teluk baru-baru ini membuktikan bahawa perancangan untuk melumpuhkan keupayaan ketenteraan Iran telah diatur dengan teliti sejak berakhirnya perang udara 12 hari antara Israel dan Iran pada bulan Jun tahun lalu.

Related Articles

Leave a Reply