Home DiskusiTembok pertahanan di rantau Indo-Pasifik: Mengupas strategi AS terhadap China

Tembok pertahanan di rantau Indo-Pasifik: Mengupas strategi AS terhadap China

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Dokumen Strategi Pertahanan Negara (NDS) 2026 yang baru sahaja diterbitkan oleh Jabatan Perang Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Trump membawa satu anjakan paradigma yang signifikan, khususnya bagi rantau Indo-Pasifik.

NDS ini bukan sekadar sebagai retorik politik, tetapi sebagai satu pelan tindakan yang bakal mencorakkan kestabilan keselamatan di rantau Asia. Tumpuan utama strategi ini, yang diklasifikasikan sebagai Garis Usaha Kedua (LOE 2) adalah jelas untuk menghalang dominasi China melalui kekuatan ketenteraan, dan bukannya melalui konfrontasi terbuka yang melulu.

Pendekatan ini menolak idealisme “utopia” pentadbiran terdahulu dan menggantikannya dengan “realisme praktikal” yang mengutamakan kepentingan konkrit.

Falsafah asas yang memacu strategi ini ialah konsep “Keamanan Melalui Kekuatan”. Washington kini mengambil pendekatan pragmatik, di mana mereka mengiktiraf China sebagai kuasa besar kedua dunia dengan angkatan tentera yang sedang berkembang pesat dari segi kelajuan dan kualiti.

Sebuah kapal pemusnah Type 052D dan sebuah kapal logistik Type 903A Tentera Laut Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China di Laut Baltik./Foto: China Military

Namun, naratif yang dibawa bukanlah satu seruan untuk berperang atau usaha untuk menyekat kemajuan ekonomi Beijing. Sebaliknya, AS menetapkan matlamat yang lebih terukur, iaitu memastikan tiada mana-mana kuasa hegemoni yang mampu mendominasi rantau ini atau sekutunya.

Ini adalah satu pengakuan halus bahawa AS tidak berhasrat untuk memalukan atau menjatuhkan pemerintah China, tetapi lebih fokus kepada menjaga keseimbangan kuasa yang membolehkan semua pihak menikmati “keamanan yang layak” atau decent peace.

Mekanisme utama untuk mencapai keseimbangan ini diperkenalkan melalui doktrin ketenteraan yang dikenali sebagai “pencegahan melalui penafian” atau deterrence by denial. Berbeza dengan strategi pencegahan tradisional yang mungkin bergantung kepada ancaman serangan balas semata-mata, pendekatan ini lebih bersifat defensif namun agresif dalam penempatannya.

Peta kawasan lautan Indo-Pasifik./Foto: Reddit

AS merancang untuk membina satu pertahanan yang kukuh di sepanjang Rantaian Pulau Pertama (First Island Chain), yang merupakan kawasan strategik maritim di Pasifik Barat. Logik di sebalik strategi ini mudah dengan menjadikan sebarang cubaan pencerobohan atau tindakan agresif terhadap kepentingan AS terlalu sukar dan pasti akan gagal, musuh secara rasionalnya tidak akan berani untuk memulakan langkah sumbang kerana ia tidak berbaloi.

Kepentingan strategi ini kepada rantau Asia Tenggara tidak boleh dipandang enteng memandangkan dokumen tersebut secara jelas mengaitkan keselamatan ketenteraan dengan kemakmuran ekonomi rakyat biasa. Jabatan Perang AS menegaskan bahawa Indo-Pasifik kini merupakan pusat graviti ekonomi global, dan sebarang dominasi tunggal oleh mana-mana kuasa besar ke atas rantau ini akan memberi mereka “kuasa veto” terhadap akses ekonomi dunia.

Situasi sebegini akan memberi impak langsung kepada kebebasan dan kemakmuran ekonomi negara-negara yang bergantung kepada perdagangan bebas. Oleh itu, kehadiran tentera AS yang diperkasakan di rantau ini dilihat sebagai penjamin kepada laluan perdagangan yang bebas dan terbuka, yang merupakan nadi kepada ekonomi serantau.

Kehadiran kapal milik tentera laut AS di kawasan Indo-Pasifik./Foto: U.S 7th Fleet

Walau bagaimanapun, strategi ini juga membawa implikasi bahawa AS tidak akan memikul beban keselamatan ini secara bersendirian. Washington kini mendesak dan memberi insentif kepada sekutu serta rakan kongsinya di rantau ini untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam pertahanan kolektif.

Ini bermakna negara-negara sahabat di Asia dijangka perlu meningkatkan keupayaan pertahanan mereka sendiri untuk menyumbang kepada pertahanan penafian tersebut. Pendekatan ini menolak mentaliti kebergantungan penuh kepada payung keselamatan AS semata-mata, sebaliknya menggalakkan pemerkasaan ketenteraan tempatan sebagai sebahagian daripada strategi pencegahan bersepadu.

Secara tuntasnya, NDS 2026 menawarkan satu visi masa depan yang berpijak di bumi nyata. Ia bukan satu pengisytiharan perang, tetapi satu persediaan rapi untuk mengelakkannya. Dengan meletakkan kekuatan ketenteraan sebagai asas kepada diplomasi, AS berharap Presiden Trump dapat berunding dengan Presiden Xi Jinping dari kedudukan yang kukuh demi mencapai kestabilan strategik.

Bagi kita di Asia, kejayaan strategi ini amat didambakan kerana ia menjanjikan kestabilan tanpa memaksa kita memilih pihak, asalkan keseimbangan kuasa terus terpelihara di perairan yang kita kongsi bersama. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply