Home SemasaMCMC laksana sekatan sementara GROK, perketat kawalan kandungan AI

MCMC laksana sekatan sementara GROK, perketat kawalan kandungan AI

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 22 JAN – Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyatakan, sekatan terhadap aplikasi kecerdasan buatan (AI) GROK di platform media sosial X di negara ini adalah bersifat sementara seperti dilakukan oleh Indonesia serta Filipina dan bukan kekal.

Tindakan tersebut diambil susulan kegagalan pihak XCorp dan XAI LLC melaksanakan pencegahan secara berkesan terhadap kandungan GROK AI yang dilaporkan memudaratkan, meskipun notis rasmi telah dikeluarkan lebih awal.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak MCMC telah mengeluarkan notis pada 3 dan 8 Januari 2026 lalu bagi mengkehendaki langkah mitigasi segera dilaksanakan.

“Susulan ketiadaan tindakan pencegahan yang berkesan, MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan internet untuk melaksanakan sekatan sementara akses kepada aplikasi GROKĀ  sebagai langkah mitigasi risiko segera,ā€ katanya di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, MCMC setakat ini merekodkan 17 aduan dan laporan berkaitan aplikasi GROK, termasuk enam aduan rasmi kepada MCMC, dua laporan polis, lapan aduan melalui penandaan media sosial serta satu laporan awal yang dibuka oleh MCMC.

Sementara itu, pada 16 Januari lalu, MCMC telah mengeluarkan satu lagi notis yang mengkehendaki XCorp dan X AI LLC melaksanakan moderasi kandungan dan mekanisme keselamatan menyeluruh ke atas fungsi multimedia GROK AI.

Beliau turut memaklumkan, satu mesyuarat telah diadakan bersama wakil platform X pada 21 Januari bagi mendapatkan penjelasan dan komitmen terhadap pematuhan undang-undang Malaysia.

ā€œWakil platform X mengesahkan bahawa langkah pencegahan telah dilaksanakan dan aplikasi GROK kini tidak boleh disalahgunakan untuk menghasilkan suntingan imej dan video berunsur lucah, sumbang atau seksual,ā€ katanya.

Tambahnya, pihak platform X turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam mencegah penularan kandungan memudaratkan serta mengesahkan langkah keselamatan tersebut secara rasmi kepada MCMC.

Menurutnya lagi, pihaknya akan meneliti semula selepas pengesahan keberkesanan kawalan kandungan dibuat oleh MCMC.

ā€œIni bukan sekatan kekal. Sekiranya jawapan balas rasmi disahkan dan kawalan berfungsi dengan berkesan, kerajaan bersedia untuk mengangkat sekatan tersebut,ā€ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) sama ada kerajaan akan mewajibkan audit keselamatan dan penilaian risiko untuk model AI yang boleh diakses, selain adakah sekatan terhadap Grok bersifat kekal.

Beliau menjelaskan, langkah kawal selia ini sejajar dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, selain selari dengan amalan kawal selia antarabangsa yang turut dilaksanakan oleh negara seperti Indonesia dan Filipina.

Dalam masa sama, kerajaan memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus AI bagi jangka panjang, termasuk pemantauan berterusan dan peningkatan kesedaran awam, khususnya bagi melindungi kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan.

Mengulas lanjut, kerajaan juga sedang menilai semula ambang pelesenan lapan juta pengguna bagi platform media sosial, memandangkan kemudaratan dalam talian boleh berlaku tanpa mengira jumlah pengguna.

ā€œIsu X dan GROK ini bersifat hibrid kerana ia melibatkan platform media sosial dan aplikasi AI. Oleh itu, pendekatan kawal selia perlu lebih menyeluruh,ā€ katanya.

Beliau berkata, rangka perundangan khusus berkaitan kecerdasan buatan dijangka diterajui oleh Kementerian Digital, manakala aspek pelesenan perkhidmatan rangkaian akan terus dirujuk kepada MCMC.

Menurutnya, kerajaan akan memastikan sebarang aplikasi digital tidak disalahgunakan untuk melanggar undang-undang negara, selain meneliti keperluan pelesenan berdasarkan undang-undang baharu yang akan dibentangkan kelak. – airtimes.my

#Airtimes #GROKAI #mediasosial #MCMC #SKMM #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply