WASHINGTON, 5 OKT – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyeru kumpulan Hamas agar segera melaksanakan pelan damai yang dirangka bagi menamatkan peperangan di Gaza serta membebaskan semua tebusan yang masih ditahan.
Dalam kenyataan terbaharu di platform Truth Social pada Sabtu, Trump menegaskan bahawa Hamas perlu bertindak pantas bagi melengkapkan rundingan pembebasan tebusan dan perjanjian damai yang sedang dimuktamadkan.
“Saya menghargai keputusan Israel untuk menghentikan sementara pengeboman bagi memberi ruang rundingan damai disempurnakan. Namun Hamas mesti bertindak segera, jika tidak semua yang dibentangkan akan terbatal,” katanya.
Beliau turut memberi tempoh sehingga 6 petang waktu Washington pada Ahad (6 pagi Isnin waktu Malaysia) bagi Hamas menerima pelan berkenaan. Pelan tersebut turut menetapkan Gaza sebagai zon bebas senjata serta dikawal oleh pentadbiran peralihan teknokrat di bawah pemantauan antarabangsa yang diterajui Amerika Syarikat.
Menurut pelan itu, Hamas perlu melepaskan semua tebusan Israel dalam masa 72 jam selepas persetujuan dimeterai, sebagai pertukaran kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin di penjara Israel. Pelan tersebut juga menuntut gencatan senjata menyeluruh, perlucutan senjata kumpulan bersenjata di Gaza dan pengunduran berperingkat tentera Israel dari wilayah berkenaan.
Dalam satu rakaman video berasingan yang disiarkan pada Sabtu, Trump mengucapkan terima kasih kepada Qatar, Türkiye, Arab Saudi, Mesir dan Jordan atas peranan penting mereka dalam membantu menyusun pelan tersebut.
“Saya ingin berterima kasih kepada negara-negara yang membantu menjayakan usaha ini. Kita semua bersatu untuk melihat perang ini berakhir dan keamanan tercapai di Timur Tengah. Kita kini sangat hampir mencapainya,” katanya.
Trump menyifatkan hari pengumuman pelan itu sebagai “hari yang amat istimewa dan belum pernah berlaku sebelum ini,” serta menegaskan bahawa semua pihak akan diberi layanan adil dalam pelaksanaan perjanjian tersebut.
Namun, sumber tempatan di Gaza melaporkan bahawa serangan udara Israel masih diteruskan pada Sabtu walaupun seruan gencatan dikeluarkan, dengan sekurang-kurangnya 29 penduduk Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam terakhir. – airtimes.my
