MANILA, 25 SEPT – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. menyuarakan rasa kecewa terhadap ketiadaan kemajuan dalam usaha menangani pertikaian Laut China Selatan semasa pertemuan perpisahan dengan Duta Besar China ke Filipina, Huang Xilian, di Istana Malacañan.
Marcos menyifatkan kebuntuan berterusan itu sebagai sesuatu yang “malang” meskipun kedua-dua negara pernah mengadakan siri dialog untuk meredakan ketegangan. Beliau menekankan perlunya saluran komunikasi yang berkesan bagi memastikan konflik tidak terus memburukkan keadaan di perairan yang dituntut secara bertindih.
“Adalah malang kerana kita tidak mencapai lebih banyak kemajuan dalam menyelesaikan kesukaran di Laut China Selatan (Manila: Laut Filipina Barat)”,
“Namun, kita masih berjaya memastikan keadaan tidak menjadi terlalu serius.” kata Marcos kepada Huang dalam laporan media Filipina.
Walaupun kecewa dengan perkembangan isu maritim, Marcos mengiktiraf sumbangan Huang dalam memperkukuh hubungan diplomatik antara Manila dan Beijing sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Huang, diplomat kanan China yang berkhidmat lebih tiga dekad, pernah memegang jawatan sebagai Duta China ke ASEAN sebelum ke Manila pada 2019. Sepanjang penugasannya, beliau terlibat dalam pelbagai rundingan penting di tengah-tengah ketegangan berhubung aktiviti Beijing di Laut China Selatan.
Pertemuan ini berlangsung ketika ketegangan di perairan tersebut masih berlanjutan, dengan Filipina berulang kali menegaskan hak kedaulatannya di Laut Filipina Barat selaras dengan keputusan tribunal antarabangsa pada 2016. – airtimes.my
#AirTimesNewsNetwork #LautChinaSelatan #WestPhilippineSea #Filipina #China #Diplomasi #KeselamatanMaritim #Geopolitik
