COPENHAGEN, 25 SEPT – Operasi penerbangan lapangan terbang di Denmark sekali lagi terjejas oleh kehadiran dron misteri.
Kali ini, 4 lapangan terbang di negara Eropah itu terjejas. Dron dilaporkan telah dikesan di ruang udara lapangan terbang Aalborg, Esbjerg, Sonderborg, dan Skrydstrup.
Lapangan Terbang Aalborg menjadi perhatian berikutan fasiliti kritikal tersebut turut menempatkan pangkalan tentera Denmark.
Polis Denmark dalam satu kenyataan berkata, pihak mereka telah meningkatkan kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Aalborg selepas menerima laporan mengenai kehadiran beberapa dron tidak dikenali di ruang udara lapangan terbang itu.
Kejadian itu berlaku selepas beberapa hari dron menjejaskan operasi penerbangan di Denmark dan Norway.
Polis Denmark melancarkan siasatan intensif selepas beberapa dron tidak dikenali dikesan menceroboh ruang udara Lapangan Terbang Aalborg pada malam Rabu.
Kehadiran dron tersebut telah memaksa penutupan sementara lapangan terbang.
Menurut Polis Daerah Nordjylland, laporan awal diterima pada jam 9.44 malam Selasa (waktu tempatan) daripada kakitangan lapangan terbang yang mengesan kehadiran dron di ruang udara. Dua penerbangan terpaksa berpatah balik ke Copenhagen manakala sebuah lagi dialihkan ke Karup ketika insiden itu berlaku.
Ketua Inspektor Polis, Jesper Bøjgaard Madsen berkata pasukan keselamatan bekerjasama rapat dengan agensi perisikan PET dan Angkatan Tentera Denmark bagi menamatkan ancaman.
Bagaimanapun, polis mengesahkan usaha untuk menurunkan dron tersebut tidak berhasil dan sehingga kini operator dron masih belum dikenal pasti. Pemerhatian terakhir terhadap sebuah dron aktif berlaku pada jam 12.54 tengah malam Khamis.
“Setakat ini, kami tidak berjaya menurunkan dron mahupun menahan pengendalinya. Langkah seterusnya ialah meneliti semua bukti dan maklumat yang telah kami kumpul. Kami faham jika insiden ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai, tetapi tiada penilaian yang menunjukkan wujud risiko keselamatan terhadap penduduk atau penumpang,” jelas Jesper.
Beliau menambah, pihaknya kini meneliti bahan bukti fizikal dan elektronik bagi mengesan motif serta pihak yang bertanggungjawab. – airtimes.my
#dron #LapanganTerbangAalborg #Denmark #serangandron #Airtimes
