SINGAPURA, 28 OGOS – Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) menamatkan misi menghantar bekalan makanan dan perubatan ke Gaza untuk membantu penduduk Palestin yang berdepan krisis kemanusiaan terburuk.
Detasmen RSAF adalah sebahagian daripada operasi penghantaran udara yang berlangsung daripada 12 hingga 25 Ogos melibatkan sebuah pesawat Hercules C-130.
Ini merupakan penghantaran udara kedua oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bersama tentera udara negara asing.
Ia merangkumi bekalan bantuan kemanusiaan kesembilan dari Singapura kepada Gaza.
SAF menyertai 12 buah negara dalam misi kemanusiaan tersebut yang diselaraskan oleh Angkatan Tentera Diraja Jordan.
Difahamkan keseluruhannya sebanyak 148 tan bantuan digugurkan ke Gaza sepanjang tempoh tersebut.

Sebahagian bekalan makanan dan perubatan yang dihantar ke Gaza bagi membantu penduduk Palestin yang berdepan krisis kemanusiaan terburuk (FOTO: MINDEF SINGAPORE)
Dalam satu kenyataan pada 25 Ogos, Kementerian Pertahanan Singapura (Mindef) memaklumkan bahawa pesawat pengangkut RSAF C-130 telah menghantar sebanyak 14.9 tan bekalan kemanusiaan sebagai sebahagian daripada misi tersebut.
Kru pesawat berkenaan telah pulang dengan selamat dari Jordan.
“Pesawat C-130 telah melakukan lima penerbangan bagi menyokong operasi ini yang mana ia turut disokong oleh Batalion Pengangkutan SAF ke-3 dari Tentera Darat Singapura serta rakan pertahanan SAF yang lain.
“Bantuan kemanusiaan Singapura merangkumi bekalan perubatan daripada Kementerian Kesihatan, dan bekalan makanan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Antaranya seperti Humanity Matters, Caritas Humanitarian Aid and Relief Initiatives Singapore, Mercy Relief, dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin,” ujar kenyataan itu.
Pusat Penyelaras Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Serantau Changi telah menyelaraskan penghantaran bantuan ini.
RSAF telah melaksanakan penghantaran udara kemanusiaan pertamanya untuk menyalurkan bantuan kecemasan kepada penduduk di wilayah Palestin yang dilanda konflik kemanusiaan terburuknya pada 20 Mac 2024.

Pesawat pengangkut C-130 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) yang digunakan dalam misi menghantar bantuan ke Gaza (FOTO: MINDEF SINGAPORE)
Sementara itu, misi kemanusiaan RSAF ini turut dikongsikan Menteri Negara Kanan (Pertahanan) Singapura, Zaqy Mohamad menerusi hantaran pada laman sosial Facebook beliau.
“Saya mengakhiri lawatan kerja saya ke Jordan dengan singgah di Pangkalan Udara King Abdullah II, di mana saya bertemu kakitangan SAF kami yang menyokong operasi airdrop untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Profesionalisme dan dedikasi mereka mencerminkan komitmen Singapura untuk melakukan bahagian kami pada masa yang memerlukan.
“Saya berterima kasih kepada ramai rakyat Singapura yang telah menghantar galakan dan ucapan selamat untuk misi ini.
“Saya juga berterima kasih kepada anggota kerahan SAF dan wanita kerana menjalankan operasi yang mencabar ini dengan berani dan berhati-hati.
“Saya juga menghargai kerjasama erat dengan NGO seperti Humanity Matters, CHARIS, Mercy Relief dan RLAF, yang sumbangan mereka telah menambah bekalan yang dihantar.
“Paling penting, pemikiran kita adalah dengan penduduk Gaza. Semasa mereka menghadapi ancaman kebuluran dan penyakit, semoga usaha ini membawa sedikit kelegaan kepada mereka, dan menunjukkan bahawa walaupun sebagai sebuah negara kecil, Singapura berdiri dalam solidariti dengan mereka pada masa mereka memerlukan,” jelasnya. -airtimes
#SAF #misibantuan #Gaza #Singapura #airtimes #mindef
