Home DiskusiT129 ATAK: Helikopter tempur buatan Turkiye

T129 ATAK: Helikopter tempur buatan Turkiye

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Penggunaan helikopter tempur kekal menjadi salah satu aset terpenting dalam memastikan keunggulan taktikal di medan tempur. Antara platform yang pernah mendapat perhatian adalah T129 ATAK, sebuah helikopter tempur serangan ringan yang dibangunkan oleh Turkiye melalui syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI) dengan kerjasama Leonardo dari Itali.

T129 ATAK mula diperkenalkan pada tahun 2014 sebagai sebahagian daripada usaha Ankara untuk mengurangkan kebergantungan kepada aset luar dan membangunkan keupayaan industri pertahanan tempatan. Helikopter ini merupakan varian yang dipertingkatkan daripada A129 Mangusta buatan Itali, namun telah melalui proses pengubahsuaian menyeluruh untuk menyesuaikan diri dengan keperluan operasi Turkiye serta persekitaran geografi yang lebih mencabar.

Dari segi teknikal, T129 ATAK merupakan satun-satuya aset yang masih menggunakan enjin LHTEC CTS800-4A berkuasa tinggi, dan membolehkannya beroperasi dengan cemerlang walaupun dalam keadaan cuaca ekstrem atau di kawasan altitud tinggi. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 278 kilometer sejam dengan jarak operasi melebihi 500 kilometer. Ciri ini memberi kelebihan kepada pasukan darat untuk mendapatkan sokongan udara jarak dekat dengan lebih pantas.

Helikopter tempur serangan ringan yang dibangunkan oleh Turkiye melalui syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI). FOTO: HIASAN

Selain itu, helikopter ini dilengkapi dengan sistem avionik moden yang merangkumi paparan digital, sistem navigasi canggih serta keupayaan peperangan elektronik. Keupayaan “night vision” dan “thermal imaging” turut meningkatkan kebolehannya untuk melaksanakan operasi pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca yang terbatas. Faktor ini menjadikan T129 ATAK sebagai aset yang sesuai untuk misi serangan, pengintipan serta pengiring konvoi.

Dari sudut persenjataan, T129 ATAK membuktikan dirinya sebagai helikopter tempur berbahaya. Ia dilengkapi meriam automatik 20mm yang dipasang pada turet hadapan dan mampu menembak dengan ketepatan tinggi. Selain itu, ia boleh membawa pelbagai jenis roket tidak berpandu serta peluru berpandu berpandu laser dan anti kereta kebal seperti UMTAS yang dibangunkan oleh Turkiye. Keupayaan membawa peluru berpandu udara ke udara juga memberi kelebihan untuk menentang ancaman helikopter musuh atau dron bersenjata.

Kejayaan T129 ATAK turut diperlihatkan melalui pengoperasiannya dalam Angkatan Tentera Turkiye. Ia digunakan secara aktif dalam operasi menentang militan di kawasan bergunung serta dalam operasi keselamatan sempadan. Helikopter ini menunjukkan prestasi yang stabil walaupun dalam keadaan persekitaran yang sukar, sekali gus mengukuhkan keyakinan Turkiye terhadap kemampuan industri pertahanan mereka sendiri.

T129 ATAK dilengkapi dengan sistem avionik moden yang merangkumi paparan digital, sistem navigasi canggih serta keupayaan peperangan elektronik. FOTO: HIASAN

Selain digunakan dalam negara, T129 ATAK turut berjaya menembusi pasaran eksport. Antara negara yang telah membuat pesanan termasuklah Filipina dan Pakistan, walaupun proses penghantaran ke Pakistan berdepan cabaran berkaitan kelulusan eksport enjin dari Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, TAI terus berusaha menambah baik helikopter ini termasuk dengan membangunkan enjin buatan tempatan bagi memastikan kebebasan strategik sepenuhnya.

Kewujudan T129 ATAK menggambarkan arah tuju baharu Turkiye dalam membina keupayaan pertahanan yang berdikari. Dalam era di mana peperangan hibrid semakin menjadi norma, keupayaan sebuah negara untuk menghasilkan platform kombatan sendiri bukan sahaja meningkatkan kekuatan pertahanan, tetapi juga memberikan nilai strategik dari sudut diplomasi dan geopolitik.

T129 ATAK kini dilihat bukan sekadar helikopter tempur, tetapi simbol keupayaan Turkiye dalam berdiri sama tinggi dengan negara pengeluar senjata utama dunia. Pertanyaannya kini, sejauh mana platform ini akan terus berkembang dengan sokongan teknologi baharu seperti sistem tanpa pemandu dan integrasi kecerdasan buatan yang kian menjadi fokus industri pertahanan global.-airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan #T129ATAK #TAI #Turkiye #HelikopterTempur

Related Articles

Leave a Reply