Ramai menyedari bahawa Empayar Uthmaniyyah pernah berdiri megah sebagai salah satu kuasa terbesar dalam sejarah Turkiye. Dari abad ke-14 hingga ke-17, pengaruhnya merentasi Asia Barat, Eropah Timur dan Afrika Utara. Ia bukan sahaja dikenali sebagai sebuah empayar politik dan ketenteraan, malah turut berperanan sebagai pusat perdagangan serta penyebaran Islam.
Namun, seperti tamadun besar lain, sejarah membuktikan bahawa kejayaan yang dikecapi tidak kekal selamanya. Menjelang abad ke-19, kelemahan dalaman, tekanan kuasa asing serta perubahan zaman telah meruntuhkan empayar yang sudah lebih 600 tahun itu.
Diasaskan pada tahun 1299, Empayar Uthmaniyyah berkembang pesat hingga menjadi kuasa dunia. Pada abad ke-16, ia mencapai kegemilangan dengan kekuatan ketenteraan, kekayaan hasil perdagangan dan kestabilan politik. Kedudukannya di persimpangan antara Timur dan Barat menjadikan Istanbul pusat pedagangan yang penting serta mercu tamadun Islam pada ketika itu.
Namun, sinar itu tidak bertahan lama. Walaupun pernah dianggap sebagai pewaris kepada tamadun Rom dan Islam, Uthmaniyyah akhirnya tumbang akibat gabungan faktor dalaman dan luaran.
Faktor kejatuhan Empayar Uthmaniyyah
Pemerintahan Uthmaniyyah pada awalnya dianggap sebagai era stabil dan makmur. Namun, terdapat terdapat ketirisan yang melemahkan asas pemerintahannya. Antaranya ialah kegagalan dalam memastikan keadilan kepada setiap kaum di bawah jajahan, ketidakcekapan birokrasi, serta amalan nepotisme dalam pentadbiran.
Tambahan pula, kemunculan fahaman baharu dari Barat pada abad ke-18 dan ke-19, mengubah landskap geopolitik dunia, sekali gus menggugat kelangsungan empayar. Revolusi perindustrian di Eropah telah melahirkan kuasa-kuasa baharu yang lebih maju dari segi teknologi ketenteraan dan ekonomi. Uthmaniyyah, yang bergelut dengan masalah dalaman, gagal menyesuaikan diri dengan arus perubahan moden ini.
Gerakan nasionalisme turut merebak dalam kalangan etnik jajahan, termasuk Arab, Balkan, Armenia dan lain-lain. Semangat nasionalisme ini mencetuskan pemberontakan serta tuntutan kebebasan, sekali gus melemahkan integrasi empayar yang luas dan majmuk.
Kemerosotan ekonomi turut menambah beban. Hutang yang tinggi kepada kuasa Barat serta kelemahan sistem cukai menyebabkan hasil negara tidak mencukupi bagi membiayai pentadbiran dan pertahanan. Campur tangan Britain, Perancis dan Rusia pula semakin menekan kedudukan Uthmaniyyah.
Akhirnya, Perang Dunia Pertama menjadi titik penamat. Kekalahan di pihak Kuasa Tengah menjadikan wilayah Uthmaniyyah dibahagi-bahagikan melalui Perjanjian Sèvres 1920. Empayar yang pernah gah itu kini hanya tinggal bayangan, menunggu titik kebangkitan baharu.
Reformasi Mustafa Kemal Atatürk

Menyebut nama Mustafa Kemal Atatürk, pasti mengenali figura ini yang telah membawa perubahan besar kepada Turkiye moden. Beliau merupakan seorang pegawai tentera, pemimpin revolusi dan presiden pertama Republik Turkiye. Pemerintahannya dari tahun 1923 sehingga 1938 telah membentuk semula aspek kehidupan rakyat Turkiye, meninggalkan warisan yang kekal hingga hari ini.
Atatürk menyedari bahawa untuk membangunkan semula Turkiye, negara itu tidak boleh terus bergantung kepada sistem lama. Dengan itu, beliau memperkenalkan ideologi “Kemalisme” yang bertujuan membentuk sebuah negara moden, demokratik dan sekular. Enam prinsip utama yang diketengahkan ialah republikanisme, nasionalisme, populisme, etatisme (ekonomi berasaskan campuran), sekularisme dan reformisme.
Antara perubahan besar yang dilaksanakan, termasuk pemisahan agama daripada pentadbiran negara, pembaharuan pendidikan, pengenalan undang-undang sivil menggantikan undang-undang syariah Uthmaniyyah, serta penggalakan sains dan teknologi.
Selain itu, tulisan Arab digantikan dengan abjad Latin, dan wanita diberi hak lebih luas, termasuk dalam pendidikan dan politik. Atatürk juga menekankan semangat nasionalisme Turkiye yang baharu. Baginya, rakyat Turkiye perlu membina identiti berasaskan bangsa dan tidak lagi terikat pada warisan empayar yang rapuh.
Mengapa Atatürk disanjung?
Sumbangan Atatürk bukan sekadar mengubah wajah negara, tetapi turut membentuk identiti baharu rakyat Turkiye untuk berdiri lebih maju dan setara dengan negara-negara lain. Oleh itu, beliau dianggap penyelamat kerana berjaya menyatukan rakyat selepas kejatuhan empayar serta menghalang kuasa asing daripada terus memecah-belah tanah air mereka.
Di mata rakyat, Atatürk ialah lambang keberanian dan visi jauh ke hadapan. Beliau bukan sahaja menentang penjajahan kuasa besar, tetapi juga berani melakukan reformasi yang radikal, demi memastikan Turkiye bergerak seiring dunia moden. Walaupun wujud perdebatan mengenai dasar sekularisme yang dibawa, jasa dan legasinya tidak dapat dinafikan.
Hari ini, nama Atatürk terus hidup dalam setiap sudut Turkiye. Monumen, sekolah, jalan raya dan lapangan terbang utama negara ini mengabadikan namanya. Ucapan-ucapannya masih dipelajari dan dijadikan rujukan generasi baharu. Malah, terdapat hari khusus memperingatinya sebagai mengenang jasa-jasanya.
Sementara itu, sejarah kejatuhan Empayar Uthmaniyyah menjadi pengajaran bahawa kuasa besar tidak semestinya kekal jika gagal menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Namun, daripada runtuhan empayar itulah lahir sebuah negara baharu yang lebih moden dan berdaya tahan, hasil kepimpinan seorang tokoh luar biasa.
Mustafa Kemal Atatürk bukan sahaja dianggap sebagai bapa kepada Turkiye moden, tetapi juga simbol keberanian, pembaharuan dan kebangkitan sebuah bangsa. -airtimes.my
#Airtimes #Empayar #Republik #Uthmaniyyah #Atatürk #Turkiye
