KUALA LUMPUR, 1 OGOS – Amerika Syarikat (AS) telah mengurangkan kadar tarif balas ke atas barangan Malaysia kepada 19 peratus, berbanding 25 peratus sebelum ini yang mula berkuat kuasa hari ini.
Langkah itu diumumkan susulan keputusan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk mengembalikan dasar perdagangan luar yang lebih tegas, termasuk mengenakan tarif tinggi terhadap puluhan negara, dalam usaha mengimbangi semula aliran perdagangan global yang menurutnya tidak memihak kepada AS.
Sebelum ini, tarif 25 peratus yang dikenakan ke atas eksport Malaysia dianggap Trump sebagai “jauh daripada mencukupi” untuk mengatasi defisit perdagangan AS dengan negara ini. Kadar itu turut melebihi tarif awal 24 peratus yang dikenakan sebelum ini dan telah ditangguh selama 90 hari. Tempoh penangguhan tersebut berakhir semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini memberi bayangan mengenai kadar baharu tersebut ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Parlimen semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump dilaporkan telah menandatangani satu perintah eksekutif yang memperluaskan skop negara terlibat dalam tarif baharu.
Antara negara terjejas termasuk Syria dengan kadar sehingga 41 peratus, Afrika Selatan sebanyak 30 peratus dan Kanada yang tarifnya dinaikkan daripada 25 kepada 35 peratus.
Singapura pula kekal pada kadar 10 peratus dan Vietnam 20 peratus. Manakala Myanmar dan Laos dikenakan tarif tertinggi iaitu 40 peratus ekoran kegagalan memeterai perjanjian perdagangan dengan Washington.
Sementara itu, Thailand dan Kemboja menerima pengurangan tarif kepada 19 peratus, berbanding ujuran asal setinggi 36 peratus. Filipina dan Indonesia turut dikenakan kadar sama, iaitu 19 peratus, sejajar dengan perjanjian perdagangan sedia ada bersama AS.
Dalam pada itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz sebelum ini menafikan laporan Bloomberg yang mendakwa Malaysia menyasarkan kadar 20 peratus dalam rundingan bersama AS.
Menurut beliau, kerajaan sedang berusaha mendapatkan kadar serendah mungkin demi melindungi kepentingan eksport negara.
Meskipun langkah Washington ini dijangka memberi kesan terhadap aliran eksport negara ke AS, kadar 19 peratus dianggap lebih rendah daripada jangkaan awal dan memberi sedikit kelegaan kepada penggiat industri. – airtimes.my
#airtimes #pertahanan #tarif #ekonomi
