KUALA LUMPUR, 31 JULAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kawalan keselamatan negara akan terus diperkuat, khususnya di kawasan strategik seperti Laut China Selatan.
Langkah ini diambil dalam usaha memastikan kedaulatan negara kekal utuh dan ancaman serantau dapat ditangani secara menyeluruh.
Menurut beliau, kerajaan memberi perhatian serius terhadap pengukuhan pertahanan dengan fokus utama adalah mewujudkan angkatan masa hadapan yang bersepadu, tangkas dan berfokus dalam menghadapi cabaran dunia moden.
“Pengukuhan keselamatan dan pertahanan turut diberi perhatian bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara dengan mewujudkan angkatan masa hadapan yang bersepadu, tangkas dan berfokus,
“Kesiapsiagaan dalam mendepani ancaman kedaulatan dan keselamatan di Laut China Selatan juga akan diperhebat dengan lebih menyeluruh,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, jelas Anwar, keupayaan aset keselamatan serta kapasiti anggota pertahanan juga akan diperkasa menerusi penerapan teknologi termaju, termasuk kecerdasan buatan (AI).
Langkah ini selaras dengan hasrat kerajaan membina kekuatan ketenteraan yang responsif dan mampu bertindak pantas dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman.
“Kawalan di sempadan darat dan maritim negara akan terus diperkukuh bagi mengekang ancaman rentas sempadan. Manakala proses keimigresenan akan dipercekap melalui Sistem Imigresen Bersepadu Nasional yang lebih moden,” tambahnya. -airtimes.my
#Airtimes #pertahanan #lautchinaselatan #RMK13
