Home Pertahanan dan Keselamatan Perolehan aset baharu TUDM berjalan seperti dijadual

Perolehan aset baharu TUDM berjalan seperti dijadual

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 31 JULAI – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini dalam proses memperoleh 18 buah pesawat Fighter Lead In Trainer and Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) daripada Korean Aerospace Industries (KAI).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehingga kini status kemajuan projek sebenar adalah pada kadar 69.47 peratus mendahului jadual sebanyak 3.47 peratus.

“Aset ini dijadualkan diterima secara berfasa mulai Oktober 2026 hingga Ogos 2027.

“Selain itu, TUDM juga dalam proses memperoleh tiga buah Unmanned Aerial System (UAS) ANKA daripada Turkish Aerospace Industries (TAI), yang dijadual diterima pada Februari 2026,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa dalam sesi sidang parlimen pada Rabu.

Ujarnya lagi, pemasangan telah mencapai 99 peratus dan integrasi sistem pesawat mencapai 85 peratus, sekali gus bakal memperkukuh keupayaan Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR) serta pemantauan sempadan negara.

“Sistem pertahanan udara jarak jauh GM400a yang sedang dibangunkan di Bintulu juga berada dalam fasa internal and test bermula Jun hingga Julai 2025, dengan kemajuan pada 60 peratus dan dijangka diserahkan serta mula beroperasi pada April 2027.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

“TUDM turut memperoleh dua buah pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) daripada Leonardo S.P.A. Sehingga Julai 2025, status kemajuan projek adalah pada kadar 65.8 peratus melebihi kemajuan projek mengikut jadual kontrak iaitu 52.4 peratus,” ujarnya.

Manakala, sebuah pesawat MPA dijadualkan diterima pada Jun 2026, manakala sebuah lagi pada bulan September 2026.

Justeru itu, bagi memastikan projek berjalan lancar dan mengelakkan sebarang ketirisan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah melaksanakan pelbagai kaedah pemantauan dari peringkat pentadbir kontrak sehingga peringkat pengurusan tertinggi MINDEF dengan penglibatan agensi pusat seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Jabatan Peguam Negara.

“Antara tindakan yang diambil adalah penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MINDEF serta Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan, dengan tujuan memastikan pelaksanaan perolehan adalah mengikut jadual.

“MINDEF juga giat melaksanakan lawatan berkala ke tapak projek sama ada di dalam atau di luar negara bagi memantau segala perkembangan perolehan,” katanya. –airtimes.my

#AirTimes #TUDM #UAS #MPA #FLITLCA #ANKA #Leonardo #TAI #KAI #GM400a

KATA KUNCI : TUDM

Leave a Reply