BANGKOK, 21 JULAI – Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) mengumumkan kejayaan ujian penerbangan dan serangan sasaran menggunakan sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) jenis kamikaze.
Walaupun tidak dinyatakan secara spesifik mengenai jenis dan model, dron kamikaze yang diuji merupakan hasil kerjasama tiga entiti utama iaitu Akademi Tentera Udara Nawamintharachinuthit, Jabatan Peralatan Tentera Udara dan Direktorat Kejuruteraan Aeronautik RTAF.

“Ujian menunjukkan tahap ketepatan serangan kurang daripada 5 meter, sekaligus membuktikan keupayaan sistem ini untuk menjalankan misi tempur sebenar,” menurut kenyataan rasmi RTAF.
RTAF turut berkongsikan kejayaan ujian penembakan dron kamikaze yang dijalankan pada 5 Julai lalu di akaun media sosial rasmi mereka.
Dron yang dilancar menggunakan sistem catapult mempunyai reka bentuk sayap delta dengan enjin pembakaran dalaman yang memacu kipas di bahagian belakang.

RTAF menyatakan bahawa pencapaian ini akan menyokong rancangan untuk memulakan pengeluaran tempatan serta penugasan sistem tersebut ke dalam perkhidmatan, selaras dengan usaha meningkatkan keupayaan pertahanan negara menggunakan teknologi moden.
“Keselamatan negara tidak boleh dibeli dengan wang, tetapi mesti dibangunkan dengan tangan kita sendiri,” kata RTAF dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi mereka. – airtimes.my
#AirTimes #Thailand
