MARIGNANE, 27 SEPT – Airbus Helicopters mengumumkan bahawa Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) telah menandatangani kontrak bagi pembelian 2 helikopter H225 baharu untuk memperkukuh keupayaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta perkhidmatan perubatan kecemasan (EMS).
Perolehan ini menambah kepada armada sedia ada H225 yang mula berkhidmat dalam RTAF sejak 2015.
Menurut Airbus dalam satu kenyataa , helikopter tersebut terbukti berkesan dalam pelbagai misi kritikal termasuk mencari dan menyelamat tempur (CSAR), penerbangan SAR umum, dan pengangkutan anggota.
Tambahnya, RTAF turut mengoperasikan helikopter latihan H135, yang mencerminkan kerjasama jangka panjang dengan Airbus.
Kerja pemasangan dan penyelesaian akhir bagi 2 helikopter baharu ini akan dilaksanakan oleh Thai Aviation Industries (TAI) menerusi perkongsian dengan Airbus Helicopters, memastikan kepakaran tempatan di negara itu dimanfaatkan secara optimum.
“H225 terbukti menjadi aset penting dalam operasi kami sepanjang dekad lalu, dengan prestasi dan kebolehpercayaan cemerlang,
“Penambahan dua helikopter ini khusus untuk misi SAR dan EMS akan memperkukuh lagi keupayaan kami melindungi dan membantu rakyat Thailand,” kata Panglima Tentera Udara Diraja Thailand, Air Chief Marshal Punpakdee Pattanakul dalam kenyataan dikeluarkan oleh Airbus.
Sementara itu, Olivier Michalon, Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Global Airbus Helicopters, menyatakan penghargaan terhadap kepercayaan berterusan RTAF. Beliau menyifatkan tempahan susulan ini sebagai bukti kepada kepelbagaian fungsi, keupayaan canggih dan peranan kritikal H225 dalam menyokong pertahanan negara serta misi kemanusiaan.
Ketika ini terdapat lebih 360 helikopter H225 dan H225M beroperasi di seluruh dunia dengan jumlah masa penerbangan hampir 980,000 jam. Helikopter ini digunakan dalam operasi ketenteraan di seluruh dunia termasuk Perancis, Belanda, Hungary, Brazil, Mexico, Singapura, Thailand, Malaysia, Indonesia, Iraq dan Kuwait. – airtimes.my
















