BUTTERWORTH, 23 Jun – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama Tentera Udara Diraja Thailand (Royal Thai Air Force, RTAF) telah melaksanakan Eksesais AIRTHAMAL bagi meningkatkan kesiapsiagaan pengoperasian kedua-dua angkatan udara.
Pihak TUDM memaklumkan, eksesais kali ini dilaksanakan dengan mengetengahkan konsep latihan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) atau Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana.
Menurut TUDM, latihan tersebut termasuklah persediaan, tindakan semasa dan selepas sekiranya berlaku sesuatu bencana alam serta latihan Search and Rescue (SAR) atau latihan mencari dan menyelamat mangsa sekiranya berlaku kemalangan udara mahupun insiden semasa beroperasi.
“Latihan ini melibatkan 2 fasa yang berbeza iaitu fasa latihan darat dan di laut melibatkan aset helikopter EC 725 AP milik RTAF, EC 725 AP milik TUDM dari No 10 Skuadron dan AW 139 dari No 3 Skuadron serta bot penyelamat dari Pasukan Khas TUDM (PASKAU),
“Pasukan SAR TUDM juga melaksanakan demontrasi pengoperasian ketika waktu malam,” jelas TUDM menerusi satu hantaran di media sosialnya, hari ini.
TUDM menjelaskan, latihan kali ini adalah bagi mencapai objektif iaitu dalam memperkasakan hubungan kerjasama di antara TUDM dan RTAF di dalam melaksanakan HADR serta SAR.
“Selain itu, para peserta juga dapat berkongsi pengetahuan melalui pengalaman, idea serta kepakaran di antara 2 angkatan udara,” jelas kenyataan itu lagi.
Tambah TUDM, latihan taktikal ini juga berdasarkan senario seperti gempa bumi atau tsunami serta perkongsian pengalaman semasa bencana banjir yang melanda negara Malaysia mahupun Thailand.
Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brigedier Jeneral Khairol Muzambi Salehin TUDM telah merasmikan Majlis Pembukaan Eksesais pada 21 Jun lalu.
Terdahulu, seramai 18 orang pegawai dan anggota RTAF telah tiba di Pangkalan Udara Butterworth pada 20 Jun lalu bagi menjalani Eksesais AIRTHAMAL bersama TUDM.-airtimes.my
Galeri gambar: