BANGKOK, 4 Jun – Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) hari ini mengesahkan rancangan perolehan 12 buah jet pejuang Gripen JAS 39 E/F dari Sweden. Perolehan ini akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh sepuluh tahun, bermula dengan kontrak pertama pada Ogos 2025.
Pengumum dibuat dalam satu sidang media khas yang disiarkan di saluran rasmi RTAF.
Menurut Panglima Tentera Udara Thailand, ACM Punpakdee Pattanakul, fasa awal melibatkan pembelian empat buah pesawat. Ia terdiri daripada tiga unit Gripen E dan satu unit Gripen F dengan nilai anggaran 19.5 bilion Baht (sekitar RM2.5 bilion).

Infografik rasmi Tentera Udara Diraja Thailand mengenai pelaksanaan fasa pertama perolehan Gripen E/F bermula Ogos 2025 hingga 2029. FOTO: RTAF
Ganti F-16 lama yang telah berkhidmat 37 tahun
Pesawat Gripen E/F dipilih bagi menggantikan armada F-16 sedia ada yang telah digunakan sejak lebih tiga dekad lalu. RTAF merancang untuk menamatkan perkhidmatan F-16 secara berperingkat antara 2028 hingga 2035.
Menurut kenyataan rasmi, perolehan Gripen E/F Thailand ini akan dibahagikan kepada tiga fasa dengan pelaksanaan dijangka selesai menjelang 2034. Proses ini dibuat melalui perjanjian kerajaan ke kerajaan (G-to-G) dengan Sweden, diurus oleh Swedish Defence Materiel Administration (FMV).
Sistem tempur moden, radar AESA dan IRST
Gripen E/F yang bakal diperoleh Thailand dilengkapi teknologi terkini seperti radar AESA ES-05 Raven dan sistem pengesanan inframerah IRST. Pesawat ini turut menggunakan sistem peperangan elektronik AREXIS, kokpit digital dengan paparan bersaiz besar, serta helmet TARGO yang membolehkan pemantauan dan sasaran secara pantas.
Pesawat ini juga berupaya melaksanakan pengisianbahan api di udara. Dari segi persenjataan, ia mampu membawa peluru berpandu Meteor untuk jarak jauh dan IRIS-T bagi pertarungan udara jarak dekat.

Pesawat Gripen C/D dan Saab 340 AEW milik RTAF – platform sedia ada yang bakal diintegrasi dengan Gripen E/F. Foto: SAAB
Pakej lengkap termasuk sokongan teknikal dan AEW
Selain pesawat, pakej perolehan turut meliputi sistem sokongan penuh seperti peralatan penyelenggaraan darat, alat ganti, sistem perancangan misi, serta penempatan jurutera lapangan dari Saab. Kesemua ini bertujuan memastikan operasi Gripen E/F dapat berjalan lancar di Thailand.
Thailand juga akan meningkatkan pesawat amaran awal Saab 340 AEW sedia ada bagi menyokong integrasi dan keberkesanan operasi Gripen E/F dalam pertahanan udara mereka.

Perincian pakej imbangan (offset) yang ditawarkan oleh Saab kepada Thailand termasuk pendidikan, pertanian dan teknologi siber. Foto: RTAF
Nilai offset lebih 100 bilion Baht untuk pembangunan strategik
RTAF menekankan bahawa perolehan ini turut melibatkan pakej imbangan (offset) menyeluruh yang membawa pulangan strategik kepada negara. Menurut mereka, Saab menawarkan offset bernilai lebih 100 bilion Baht, iaitu melebihi 154 peratus daripada nilai kontrak fasa pertama.
Offset ini meliputi pemindahan teknologi seperti sistem komunikasi taktikal Link-T, penubuhan pusat R&D oleh Saab di Thailand, pembangunan industri pertahanan tempatan, program biasiswa, serta pelaburan dalam bidang inovasi, makanan dan pertanian.
“Ini bukan hanya pembelian aset pertahanan. Ia adalah pelaburan jangka panjang dalam keselamatan dan industri strategik Thailand,” kata jurucakap RTAF, Mejar Jeneral Udara Praphas Sonjaidee.
Saab sedia bekerjasama, kontrak rasmi menyusul
Syarikat Saab dalam kenyataannya menyambut baik pemilihan Gripen E/F oleh Thailand dan menyatakan kesediaan untuk meneruskan rundingan bersama kerajaan Thailand serta FMV.
“Gripen E/F akan membina keupayaan udara yang moden dan berdaulat untuk Thailand. Kami menanti fasa seterusnya dalam proses ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Saab, Micael Johansson.
Tambah beliau, kontrak rasmi masih belum dimeterai namun Saab telah bersedia dari segi teknikal dan logistik untuk pelaksanaan selepas Ogos 2025.

Struktur keseluruhan tiga fasa perolehan Gripen E/F oleh RTAF yang merangkumi naik taraf pesawat amaran awal Saab 340 AEW. FOTO: RTAF
Latihan awal dan pelaksanaan operasi bermula sejurus penghantaran
Thailand akan menjadi negara Asia pertama yang secara rasmi mengumumkan perolehan Gripen E/F. Bagi memastikan peralihan yang lancar, RTAF telah merancang latihan awal untuk juruterbang dan juruteknik. Ini bagi membolehkan operasi dijalankan sebaik sahaja pesawat pertama dihantar.
Peralihan kepada Gripen E/F turut memastikan kesinambungan sistem sokongan dan latihan yang telah dibangunkan sejak Thailand mula menggunakan Gripen C/D pada 2011.
Perolehan ini menandakan permulaan transformasi sistem pertahanan udara Thailand untuk menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan. Semalam, Air Times melaporkan pihak RTAF memberikan bayangan peroleh baharu ini sebagai langkah ke era baharu oleh Thailand.– airtimes.my