Home Teknologi PertahananThailand akan perincikan perolehan Gripen E/F, buka langkah ke era baharu

Thailand akan perincikan perolehan Gripen E/F, buka langkah ke era baharu

by M.Daim
A+A-
Reset

“Pada hari ini dan untuk masa hadapan, kami akan mempertahankan kedaulatan ruang udara Thailand dengan seluruh jiwa dan raga.” Demikian mesej yang disampaikan oleh Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) melalui saluran media sosial rasmi mereka.

Mesej tersebut turut menegaskan bahawa angkatan udara itu sedang ”mengambil penerbangan ke era baharu”.

RTAF menyifatkan perolehan Gripen E/F akan mengangkat angkatan udara itu ke era yang baharu. Foto: FB RTAF

Kesemua siri hantaran itu dibuat oleh RTAF bersempena dengan pelancaran program pemerolehan jet pejuang baharu dari Saab, Gripen E/F. Pengumuman ini menandakan langkah ke hadapan strategik yang memperkukuh kedudukan Thailand sebagai antara kuasa udara di Asia Tenggara.

Langkah ini selaras dengan matlamat jangka panjang RTAF untuk membina sebuah angkatan udara yang dinamik, moden dan bersedia berhadapan dengan ancaman pelbagai dimensi. Matlamat ini juga berpaksikan visi “angkatan udara yang teguh dan berkecekapan tinggi” (Unbeatable Air Force).

Selain itu. sidang media rasmi mengenai projek Gripen E/F dijadualkan pada 4 Jun 2025, jam 2 petang waktu tempatan, sebagai titik penting kepada hala tuju pertahanan udara Thailand dalam dekad akan datang.

Sidang itu dilihat sebagai kesinambungan kepada keputusan dan persetujuan Kementerian Pertahanan Thailand untuk memperoleh sejumlah jet pejuang Gripen E/F pada Ogos tahun lalu.

Mungkin tidak segah jet-jet pejuang lain di mata peminat pertahanan, tetapi Thailand lebih mengetahui prestasi SAAB Gripen dan juga keperluan RTAF. Foto: FB RTAF

Dari Gripen C/D ke E/F: Evolusi Kekuatan yang Berterusan

Thailand bukan pemain baharu dalam ekosistem Gripen. Sejak tahun 2011, negara itu telah mengoperasikan 12 buah jet pejuang Gripen C/D dalam Skuadron No. 701 yang berpangkalan di Surat Thani. Varian ini dilengkapi dengan radar pulse-Doppler, sistem komunikasi taktikal dan perisian kawalan misi yang telah pun ditala mengikut keperluan operasi RTAF.

Kini, dengan perolehan ke Gripen E/F, Thailand dilihat memilih langkah  ke hadapan dan meneruskan legasi Gripen ke generasi seterusnya.

Gripen E/F ialah pesawat pejuang pelbagai peranan (multirole fighter) generasi terkini yang dibangunkan oleh Saab, Sweden. Ia dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array) Raven ES-05, sistem pengesanan inframerah pasif (infrared search and track IRST) dan kelengkapan sistem peperangan elektronik (electronic warfare).

Jet pejuang ini mempunyai kebolehan operasi yang lebih luas dalam pelbagai misi udara-ke-udara dan udara-ke-darat.

Perolehan Gripen E/F merupakan kesinambungan kepada pengoperasian Gripen C/D oleh RTAF lebih 10 tahun lalu. Foto: SAAB

Lebih penting lagi, Gripen E/F direka dengan kemampuan operasi dari landasan pendek, masa respon pantas, kebolehpercayaan tinggi, serta kos operasi yang jauh lebih rendah berbanding jet generasi keempat dan kelima lain.

Keupayaan ini telah dilihat pada pengoperasian Gripen C/D oleh RTAF pada Mac lalu. Ini menjadikannya sesuai untuk negara seperti Thailand yang memerlukan keupayaan tinggi tetapi dengan keberkesanan kos yang mampan.

Erieye AEW&C: Mata dan telinga strategik di udara

 Sebahagian daripada keistimewaan pembangunan kuasa udara Thailand ialah integrasi awal antara pesawat tempur dan pesawat kawalan amaran awal udara. Sejak pengoperasian Gripen C/D, RTAF turut memperoleh pesawat Saab 340 Erieye AEW&C yang berfungsi sebagai sistem pengawasan jarak jauh di udara.

Erieye menggunakan radar pengimbas fasa aktif yang mampu memantau ruang udara sejauh lebih 400 kilometer. Ia boleh mengesan sasaran berprofil rendah termasuk peluru berpandu, dron dan pesawat kecil yang terbang rendah. Sistem ini berperanan sebagai pusat kawalan bergerak yang menyelaras semua data taktikal dan menyalurkan maklumat kepada pesawat Gripen, unit radar darat dan pusat operasi.

SAAB Erieye 340 yang dioperasikan oleh RTAF dilihat sebagai komponen penting kepada pertahanan Thailand. Foto: FB RTAF

Sistem pengawasan udara keluaran SAAB telah membuktikan keupayaannya dalam operasi Tentera Udara Pakistan dalam beberapa siri konflik domestik dan dengan India, terutamanya dalam Operation Sindoor baru-baru ini. Walaupun negara Asia Selatan itu mengoperasikan Saab 2000 Erieye AEW&C, kejayaan pesawat tersebut telah serba sedikit memberikan ’nama baik’ kepada sistem Saab 340 Erieye AEW&C.

Gabungan antara Erieye dan Gripen membentuk struktur operasi bersepadu. Ia membolehkan RTAF melaksanakan konsep peperangan berasaskan rangkaian (network-centric warfare), menjadikan setiap pesawat dan sistem pertahanan saling berhubung dalam satu ekosistem tempur.

Perolehan Berpaksikan Kemampuan, Bukan Jenama

Keputusan Thailand untuk meneruskan komitmen kepada Gripen melalui varian E/F menggambarkan pendekatan berpandukan kemampuan sebenar, bukan populariti atau geopolitik semata-mata. Walaupun terdapat tawaran daripada negara lain termasuk pesawat F-16 Block 70/72, Thailand kekal memilih platform dari Sweden kerana keserasian sistem, prestasi jangka panjang, dan nilai tambah daripada aspek latihan serta pemindahan teknologi.

RTAF telah melaksanakan latihan operasi penerbangan Gripen C/D dari jalan raya pada akhir Februari lalu. Foro: FB RTAF

Saab bukan sahaja menjual pesawat tetapi menyediakan pakej lengkap yang merangkumi latihan juruterbang, pusat simulasi, penyelenggaraan serta sokongan teknikal dalam jangka masa panjang. Model kerjasama ini memberi kelebihan kepada Thailand untuk membina keupayaan domestik dan mengekalkan operasi tanpa kebergantungan mutlak kepada negara pembekal.

Malah, syarikat Sweden itu pernah menawarkan pakej yang dianggap amat menarik kepada Malaysia pada ketika program pemilihan MRCA sedang hangat berlangsung pada dekad lalu.

Keupayaan yang Menjangkau Sempadan Peperangan

Gripen E/F bukan sahaja relevan dalam peperangan konvensional. Dengan kemampuan operasi pelbagai peranan, ia juga sesuai digunakan untuk pengawasan maritim, bantuan bencana, rondaan sempadan dan misi khas.

Dalam konteks cabaran serantau seperti aktiviti haram di perairan dan persaingan strategik di sekitar Laut China Selatan, pesawat ini memberikan kelebihan dari segi kelajuan respons, ketepatan sasaran dan kesedaran situasi yang tinggi.

Perolehan Gripen E/F dilihat bakal melinjak kekuatan udara RTAF. Namun, perincian adalah antara perkara yang amat dinantikan pada 4 Jun ini. Foto: SAAB

Tambahan pula, Erieye AEW&C berperanan penting dalam pemantauan ruang udara maritim, mengesan pergerakan pesawat atau kapal asing dan memberi amaran awal kepada pusat kawalan pertahanan. Gabungan ini menghasilkan sistem pertahanan yang bukan sahaja reaktif, tetapi juga preventif.

Walaupun Thailand dilihat mempunyai hubungan baik dengan kuasa-kuasa besar, langkah perolehan oleh RTAF perlu dilihat bahawa diplomasi dan kekuatan pertahanan perlu bergerak seiring.

Perolehan Gripen serta integrasi Erieye AEW&C memperlihatkan bagaimana Thailand menggunakan strategi ketenteraan yang berasaskan kemampuan sebenar dan keperluan negara. Ia melangkaui pembelian aset semata-mata dan membentuk satu sistem pertahanan udara bersepadu yang berdaya tahan untuk jangka panjang.

Mungkin kekuatan pertahanan RTAF akan menjadi model rujukan negara-negara serantau. Foto: FB RTAF

Thailand kini berada dalam kedudukan unik sebagai antara negara pertama di rantau ini yang mengoperasikan konsep pertahanan udara berasaskan rangkaian sepenuhnya.

Keupayaan ini bukan sahaja memberi kekuatan dalam pertahanan udara, malah menjadikan RTAF sebagai rujukan bagi pembentukan kuasa udara moden di Asia Tenggara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply