Dalam era peperangan moden, penggunaan teknologi tanpa pemandu, bukan lagi sekadar alat sokongan, namun kini menjadi senjata utama yang mampu menguasai medan tempur dan mengubah corak konflik. Salah satu perkembangan paling ketara dalam perang antara Rusia dan Ukraine ialah, peningkatan penggunaan dron FPV (First Person View), khususnya sebagai senjata murah, tetapiĀ berkesan dalam menyerang sasaran bernilai tinggi.
Pada 1 Jun lalu, antara paling mengejutkan, sebuah pesawat pengebom strategik milik Rusia dilaporkan telah menjadi sasaran serangan dron FPV buatan Ukraine.
Namun timbul persoalan utama, bagaimana pesawat gergasi ini yang menjadi simbol kekuatan udara dan keupayaan serangan jarak jauh Rusia,Ā boleh menjadi sasaran serangan kepada sistem ringkas yang bernilai hanya beberapa ribu dolar? Dan lebih penting mengapa Ukraine sanggup melancarkan serangan berisiko tinggi jauh di belakang garisan seteru mereka?
Oleh demikian, untuk memahami fenomena ini, kita perlu meneliti kepada perubahan landskap peperangan, kerentanan aset ketenteraan konvensional, serta keberkesanan pendekatan asimetrik yang dimanfaatkan oleh pihak Ukraine dalam menentang kuasa besar seperti Rusia.
Aset utama dalam kempen peluru berpandu Rusia
Pesawat pengebom strategik Rusia seperti Tu-95MS dan Tu-22M3 memainkan peranan penting dalam serangan udara jarak jauh ke atas Ukraine sejak permulaan konflik pada Februari 2022. Pesawat ini digunakan secara berulang kali untuk melancarkan peluru berpandu jelajah jarak jauh, seperti Kh-101, Kh-555 dan Kh-22 terhadap sasaran di seluruh Ukraine.
Serangan ini bukan sahaja menyasarkan kemudahan ketenteraan, tetapi turut ditujukan kepada infrastruktur tenaga, loji janakuasa, bangunan kediaman serta pusat pentadbiran awam, yang meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan harian rakyat Ukraine.
Menurut laporan dari Tentera Udara Ukraine dan Ukrainian Air Force dan Institute for the Study of War, mendapati sebahagian besar pelancaran peluru berpandu ini dilakukan dari wilayah Rusia. Pesawat-pesawat pengebom tersebut kebiasaannya beroperasi dari pangkalan seperti Engels, Olenya dan Mozdok.
Walaupun beroperasi dari jarak jauh yang selamat dan tidak memasuki ruang udara Ukraine, keupayaan mereka dengan melancarkan serangan yang menyebabkan kemusnahan besar serta mengorbankan orang awam, menjadikannya sasaran strategik dan simbolik dalam perang maklumat serta misi balas Ukraine.
Strategi murah yang membawa impak besar
Dron FPV adalah sistem udara kecil yang dikawal terus oleh operator melalui sambungan video secara langsung. Pada asalnya ia direka untuk perlumbaan dan aktiviti hobi, namun kini, teknologi ini telah dimodifikasi menjadi senjata serangan dengan keupayaan membawa kepala peledak atau bom tangan.
Dalam pada itu, kos penghasilan sebuah dron FPV bersenjata ini amat berpatutan, hanya beberapa ribu dolar, jauh lebih murah berbanding kos membaiki atau menggantikan pesawat pengebom Rusia yang rosak akibat serangan.
Dalam konteks ini, Ukraine memanfaatkan nisbah kos yang tidak seimbang sebagai sebahagian daripada strategi asimetri, menyerang sasaran bernilai tinggi dengan alat yang murah, mudah diperoleh dan cukup berkesan.
Tambahan pula, dengan rekaan saiz kecil, kelajuan rendah dan terbang hampir di paras tanah memberikan kelebihan tambahan, menyukarkan pengesanan oleh radar konvensional. Keupuyaan ini menjadikan serangan menggunakan dron FPV sangat sukar dikesan dan sering memberi kejutan. Dalam beberapa kes, dron FPV telah berjaya menyerang dengan tepat bahagian enjin atau kokpit pesawat, hasil latihan berterusan operator dan maklumat risikan yang diperoleh dari udara atau darat.

Keadaan pangkalan Tentera Udara Rusia ketika serangan dron FPV Ukraine
Kelemahan pertahanan pangkalan udara
Insiden serangan ke atas pesawat pengebom Rusia menunjukkan terdapat kelemahan dalam pertahanan pangkalan udara. Rusia kini terpaksa menilai semula tahap perlindungan aset strategiknya, sama ada mungkin disebabkan kekurangan sistem anti-dron, kegagalan rondaan perimeter atau terlalu yakin dengan jarak pangkalan dari zon konflik.
Susulan itu, beberapa pangkalan seperti Engels dan Soltsy, terletak ratusan kilometer dari sempadan Ukraine yang telah diserang, menunjukkan bahawa operasi serangan dron tidak hanya dilakukan dari medan hadapan. Ini turut membuka kemungkinan berlakunya elemen sabotaj dalaman, operasi khas atau pelancaran dari dalam wilayah Rusia sendiri oleh ejen – ejen Ukraine.
Selain itu, serangan terhadap pesawat pengebom bukan sahaja menyebabkan kerosakan fizikal pada pesawat tersebut, tetapi memberi impak moral dan strategik yang lebih mendalam. Hal ini, ia membuktikan bahawa tiada sasaran yang benar-benar kebal, meskipun berada jauh dari medan pertempuran.
Simbol kejatuhan dominasi udara konvensional
Apa yang berlaku ke atas pesawat pengebom Rusia, menggambarkan satu perubahan besar dalam era peperangan moden. Dron FPV kini bukan sekadar alat gangguan taktikal, tetapi telah menjadi sebahagian daripada sistem senjata yang mampu memberi kesan strategik luar biasa.
Kelebihan teknologi yang sederhana, tetapi berkesan menjadikan dron ini sebagai alat utama dalam perang saraf, psikologi serta ekonomi. Bagi Rusia, kehilangan pesawat pengebom akibat serangan dron kecil memberi mesej yang kuat, bahawa doktrin lama yang bergantung kepada aset besar dan mahal kini boleh dilemahkan dengan pendekatan yang lebih kreatif dan terdesentralisasi.
Malah, bagi negara-negara lain yang memiliki pesawat strategik atau sistem berskala besar, kejadian ini memberi amaran awal bahawa kekuatan ketenteraan bukan lagi hanya bergantung kepada jumlah jet, kapal atau peluru berpandu. Akan tetapi, lebih penting lagi sejauh mana kekuatan pertahanan terhadap ancaman kecil dan lebih pintar ini dapat diadaptasi.
Berkenaan isu mengapa pesawat pengebom Rusia menjadi sasaran dron FPV bukan semata-mata soal kelemahan pertahanan udara atau kecuaian taktikal, tetapi ia mencerminkan pergeseran mendalam dalam corak peperangan masa kini. Sistem kecil dan murah kini mampu menundukkan sasaran besar yang bernilai tinggi.
Dalam konflik yang panjang dan kompleks seperti di Ukraine, taktik serangan sebegini selain menjadi pelengkap kepada strategi untuk menewaskan musuh bukan melalui kekuatan berdepan. Namun, dengan bagaimana kebijaksanaan teknologi dan eksploitasi kelompongan musuh menjadi kunci utama dalam mencapai kemenangan tanpa bergantung sepenuhnya kepada kekuatan tradisional. ā airtimes.my
#Airtimes #FPV #Dron #Ukraine #Rusia
