BANGKOK, 31 JAN – Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) mahu meneruskan rancangan perolehan jet pejuang generasi kelima keluaran syarikat Lockheed Martin, F-35.
Panglima Tentera Udara RTAF, Air Chief Marshall Punpakdee Pattanakul menyatakan pihaknya sedang mempertimbangkan F-35 sebagai salah sebuah jet pejuang baharu yang akan dioperasikan pada masa hadapan.
RTAF sebelum ini menyuarakan rancangan perolehan jet pejuang generasi kelima keluaran Lockheed Martin itu tetapi ia berhadapan dengan beberapa halangan termasuk polisi kerajaan Thailand.
“Perdana Menteri Srettha Thavisin telah memberikan kebenaran kepada RTAF untuk melakukan pemilihan dalam memperolehi jet pejuang baharu,” katanya seperti dilaporkan oleh media antarabangsa.
Beliau menyatakan RTAF telah memohon sejumlah peruntukan dari pihak kerajaan Thailand bagi melaksanakan perolehan jet pejuang baharu.
Terdahulu, Bangkok telah menggariskan polisi baharu dalam melakukan perolehan aset tentera dengan menekankan tawaran dagangan bilateral dengan Thailand.
Punpakdee menambah, RTAF telah menubuhkan jawatankuasa khusus bagi menentukan pemilihan jet pejuang baharu.
Walaupun RTAF diberikan kuasa untuk menentukan jenis pesawat yang akan diperolehi, rancangan F-35 turut mendapat halangan daripada Washington. Ini berdasarkan laporan Reuters pada tahun lalu yang memetik kenyataan ACM Prapas Sirnchaidee.
Amerika Syarikat telah menolak penjualan 8 buah F-35A kepada Thailand atas faktor latihan dan keperluan teknikal.
Thailand sebelum ini dianggap sebagai negara sekutu diluar NATO oleh Washington pada 2003.
Melihat dari segi sejarah, Thailand telah pun menggunakan aset-aset ketenteraan keluaran Amerika Syarikat semenjak era Perang Vietnam. Pada ketika itu, Bangkok telah membenarkan tentera US beroperasi dari Thailand.
Selain itu, kedua-dua negara telah melaksanakan latihan Cobra Gold secara tahunan.
Walaupun perolehan F-35A pada ketika itu ditolak oleh Amerika Syarikat, Washington telah menawarkan F-15 dan F-16 kepada RTAF.
RTAF pada ketika ini sedang mengoperasikan F-5, F16 dan JAS-39 Gripen.
Rancangan perolehan ini adalah bertujuan untuk menggantikan jet pejuang F-16A/B yang sedang dioperasikan oleh 403 Squadron pada tahun 2037.
Sekiranya F-35A sekali lagi ditolak oleh Washington, berkemungkinan Thailand akan ditawarkan F-16 atau F-15. Tawaran kedua-dua pesawat ini dilihat lebih cepat dan memberikan kelebihan tersendiri dimana Thailand mempunyai pengalaman dalam mengoperasikan F-16.
Namun begitu, RTAF mempunyai calon lain iaitu JAS-39E Gripen. Pada ketika ini, RTAF mengoperasikan 11 buah JAS-39C/D keluaran SAAB. Operasi jet pejuang ini turut digandingkan dengan SAAB 340 AEW&C. – airtimes.my
#AirTimes #Thailand #RTAF #Gripen #Saab #F35