Home SemasaGlobal Kemelut Texas – Washington boleh cetuskan perang saudara di Amerika Syarikat

Kemelut Texas – Washington boleh cetuskan perang saudara di Amerika Syarikat

by Zaki Salleh

TEXAS, 31 JAN – Di sebalik konflik yang berlaku di Timur Tengah, Amerika Syarikat (AS) sendiri sedang bergelut dengan kepincangan berikutan ketegangan antara Texas dan Washington yang tidak mustahil boleh mencetuskan huru-hara.

Isu yang bermula dengan kebanjiran imigran yang menceroboh sempadan negeri sejak berdekad lalu kini bertukar menjadi konflik dalam melibatkan Gabenor Texas, Greg Abbott dengan Presiden Joe Biden.

Abbot dari Parti Republikan yang menjadi gabenor sejak 2015 manakala Biden, parti Demokrat, jadi pertembungan ini juga membabitkan pembangkang dan parti pemerintah

Pertikaian antara Texas dan Rumah Putih berhubung kawalan sempadan oleh pasukan polis sempadan (United States Border Patrol – UPSB).

Peguam negara negeri Texas berkata anggota UPSB tidak boleh mempunyai akses ke sebidang tanah di tebing utara Rio Grande yang menjadi kawasan panas bagi lintasan sempadan haram.

UPSB merupakan pasukan penguatkuasa persekutuan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri yang bertanggungjawab dalam soal pemantauan keselamatan di sempadan dan pintu masuk.

Kemuncak pada tindakan Gabenor Texas ialah apabila mengeluarkan arahan supaya Pasukan Pengawal Kebangsaan Texas (Texas National Guard) mengambil alih kawalan di sepanjang tebing Shelby Park dekat Eagle Pass pada 11 Januari lalu.

Gabenor Texas mempunyai kuasa penuh ke atas pasukan ini bagi kegunaan semasa kecemasan.

Namun, pasukan ini masih tertakluk kepada kerajaan Persekutuan sekiranya dikehendaki Presiden untuk pertahanan negara.

Texas National Guard terletak di bawah Jabatan Pertahanan Texas (Texas Military Department – TMD) dengan keanggotaan 23,000.

Sebuah lagi pasukan di bawah TMD ialah Texas State Guard yang dianggarkan berjumlah 1,900 anggota berstatus seperti askar simpanan berada di bawah kuasa terus gabenor.

Pekan Eagle Pass dan Shelby Park berada di tebing Sungai Rio Grande yang menandakan sempadan AS dan Mexico.

Pasukan Pengawal Kebangsaan Texas telah meletakkan pagar kawat berduri dalam usaha mengurangkan bilangan pendatang tanpa izin menyeberangi Sungai Rio Grande dan memasuki AS secara haram.

Tindakan itu menyebabkan Washington memberi amaran keras dan menuntut Texas merobohkan kontena yang dijadikan sebagai penghalang di tebing sungai tersebut atau berdepan tindak balas.

Bagaimana pun, ketegangan antara kedua-dua pemimpin ini telah berlaku lebih awal apabila Abbot pada Mac 2021 mengarahkan pasukan keselamatan Texas melancarkan Operasi Lone Star untuk menangani masalah penyeludupan dan dadah di sempadan.

Pada Mac 2023, Abbot mengarahkan pemasangan kawat berduri di sepanjang 60 kilometer kawasan sempadan.

Isu kebanjiran imigran yang masuk menyeberangi Sungai Rio Grande dianggap serius dengan bilangan mereka mencecah antara 7,000 hingga 9,000 orang sehari.

Majoritinya adalah berbangsa Hispanic terdiri daripada warga negara-negara Amerika Latin.

Gabenor Texas sebelum ini menuduh kerajaan Demokrat tidak melakukan tindakan mencukupi untuk menghentikan kebanjiran imigran lantas memaksa Texas bertindak.

Ketegangan di Texas menjadi lebih runcing apabila calon pilihan raya Presiden, Donald Trump campur tangan apabila meminta kerajaan negeri dikuasai Republikan menyokong.

Walaupun Mahkamah Agung AS kemudian memutuskan kerajaan persekutuan mempunyai hak dalam pertikaian itu dan mengarahkan kerajaan Texas mengalihkan kawat berduri di Shelby Park, namun ia tidak diendahkan.

Sebaliknya, Pasukan Pengawal Negeri Texas diarah mendirikan lebih banyak kontena penghalang dan kawat berduri.

Situasi menjadi lebih buruk apabila 24 gabenor negeri AS daripada Parti Republikan menyokong Texas.

Daripada jumlah itu, 10 negeri telah menghantar pasukan polis dan Pasukan Pengawal Negeri masing-masing untuk membantu Texas.

Sokongan ini mengembalikan sejarah yang berlaku 189 tahun lalu semasa Texas mengisytiharkan kemerdekaan dari Mexico apabila rakyat dari 22 negeri berjuang bersama-sama dan terkorban semasa kepungan di Alamo.

Adakah ketegangan terbaharu di Texas ini akan berakhir sepertimana di Alamo? Mungkin tidak tetapi tidak mustahil boleh berlaku. – airtimes.my

#AirTimes #Global

Related Articles

Leave a Reply