KUALA LUMPUR, 31 JAN – Gerup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) bertukar tampuk pemerintahan apabila Brigedier Jeneral Azhar Mustapha dilantik sebagai Panglima yang baharu.
Beliau sebelum ini merupakan Timbalan Panglima GAPU berpangkat Kolonel.
Azhar yang dinaikkan ke pangkat Brigedier Jeneral memangku jawatan panglima daripada penyandang terdahulu, Brig Jen Khairul Izan Muhammad Suffian.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan telah menyempurnakan pemakaian pangkat tersebut di Pejabat PTD, Wisma Pertahanan.
Terdahulu, upacara serah terima tugas sebagai Panglima GAPU telah disempurnakan oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Dato’ Pahlawan Muhammad Huzaimi Sabri di Padang Kawad Rejimen Ke-31 Artileri Diraja, Kem Tun Ibrahim Kajang.
Azhar yang juga mantan Pegawai Pemerintah 31 RAD pernah mengikuti latihan di Pakistan Army Air Defence Corps.
Beliau juga pernah melanjutkan pengajian di United States Army General Command Staff College di Amerika Syarikat.
Sementara itu, Leftenan Kolonel Mohamad Azrin Hashim pula dinaikkan kepada pangkat Kolonel menjawat jawatan sebagai Timbalan Panglima GAPU.
GAPU yang ditubuhkan pada tahun 1998 berperanan sangat besar bagi memberi payung perlindungan kepada ketumbukan tentera di darat, lokasi penting dan sasaran strategik negara.
GAPU yang berkekuatan empat buah rejimen menggabungkan persenjataan seperti meriam penangkis pesawat dan lima jenis sistem peluru berpandu aras rendah.
Sebuah bateri pertahanan udara diletakkan bersama 10 Briged Para bersenjatakan peluru berpandu lancaran bahu bagi memberi perlindungan pertahanan udara kepada pasukan atur gerak cepat tersebut. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #GAPU