Home Teknologi PertahananAda penembakan HIMARS semasa latihan ketenteraan Eksesais Keris Strike 2025?

Ada penembakan HIMARS semasa latihan ketenteraan Eksesais Keris Strike 2025?

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Latihan ketenteraan tiga hala Tentera Darat Malaysia, United States Army Pacific Command (USARPAC) dan Australian Army dalam Keris Strike 30/2025 tampil berbisa dengan penyertaan aset tempur HIMARS.

Buat kali pertama US Army menghantar aset tempur termodennya iaitu sistem pelancar M142 HIMARS (High Mobility Artillery Rocket System) beraksi di bumi Malaysia.

Kemunculan HIMARS dapat dilihat semasa majlis pembukaan Eksesais Keris Strike 30/2025 apabila diletakkan bersebelahan dengan kenderaan sistem pelancar roket berganda ASTROS.


HIMARS (dua dari kanan) semasa upacara pembukaan Eks Keris Strike 2025 baru-baru ini. Gambar: Tentera Darat

Walaupun tiada sebarang penjelasan tentang penyertaan kedua-dua sistem pelancar milik Tentera Darat Malaysia dan US Army, tapi boleh disimpulkan aset-aset berkenaan terlibat dalam latihan berskala besar ini.

Bagaimana pun, memetik kenyataan media pihak US Indo-Pacific Command yang disiarkan dalam platform rasminya menyebut, kedua-dua pihak US Army dan Tentera Darat Malaysia akan melaksanakan latihan tembakan sebenar.

Katanya, latihan serangan secara koordinasi ini melibatkan sistem HIMARS dan ASTROS.

HIMARS adalah sistem pelancar yang dipasang pada trak dan mampu melancarkan pelbagai jenis roket panduan tepat pada jarak 70 kilometer (km) hingga 300km.

Sistem ini dibangunkan firma Lockheed Martin untuk US Army dan turut digunakan secara meluas dalam konflik Ukraine-Rusia.

Dengan keupayaan yang dimiliki, sistem pelancar HIMARS merupakan aset strategik penting dalam taktik peperangan darat AS ketika ini.

Di rantau ini tentera darat Singapura merupakan pengguna tunggal sistem HIMARS dengan mengoperasikan 24 sistem pelancar.


HIMARS merupakan sistem persenjataan yang dihasilkan oleh syarikat Lockheed Martin. Foto: Lockheed Martin

US Army juga pernah melaksanakan ujian tembakan HIMARS dalam latihan bersama Tentara Nasional Indonesia, Garuda Shield tahun lalu.

Sebenarnya, penglibatan aset HIMARS ini dalam Keris Strike bukan secara kebetulan.

Ini kerana Jabatan Pertahanan AS (Pentagon) sedang melaksanakan proses pemodenan apabila mengukuhkan keupayaan tembakan jarak jauhnya di Pasifik yang menyaksikan USARPAC menerima sistem HIMARS.

Sistem HIMARS mula menggantikan meriam-meriam kaliber 105mm dan 155mm yang sebelum ini menjadi tunjang kuasa tembakan pasukan 25th Infantry Division.

Sehubungan itu, aset-aset tersebut turut digunakan dalam latihan ketenteraan bersama negara-negara sahabat di rantau sebelah sini.

Selain di Malaysia, pasukan 25th Infantry Division turut menggunakan sistem HIMARS dalam latihan perang terbesar di Pasifik iaitu Eksesais Talisman Sabre 2025 di Australia yang sedang berlangsung sehingga Ogos. – airtimes.my

#AirTimes #HIMARS #TenteraDarat #USArmy #KerisStrike2025

Related Articles

Leave a Reply