KUALA LUMPUR, 20 Jul – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan seperti didesak oleh segelintir pihak, selagi tidak terbabit dengan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan menegaskan, beliau berpegang teguh kepada pendirian tersebut dan akan terus fokus menjalankan amanah untuk membangunkan rakyat serta negara.
“InsyaAllah saya tidak turun, kalau saya curi duit orang suruh turun, tak apalah. Tapi saya tidak curi duit orang,
“Saya jadi Perdana Menteri hampir tiga tahun, mana ada kontrak (projek) kita bagi secara rundingan terus, semuanya melalui proses tender,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Madani Teluk Kumbar, dekat Bayan Lepas pada Sabtu.
Tegasnya, sekiranya pembangkang mempunyai cukup sokongan, mereka boleh membawa usul di Parlimen mengikut saluran demokrasi sedia ada.
“Gunakan Parlimen, kritiklah. Kalau dia (pembangkang) ada cukup jumlah, dia bawa usul, itu caranya,
“Tariklah mana-mana Ahli Parlimen untuk sokong mereka. Kalau saya kalah, saya letak jawatan secara baik. Itu cara aman,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Dewan Pemuda PAS akan menganjurkan Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai, dengan jangkaan penyertaan seramai 50,000 peserta.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pada 12 Julai lalu memaklumkan bahawa mobilisasi penyokong sedang giat dijalankan melibatkan semua peringkat, termasuk kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.-airtimes.my
#semasa #Anwar #DSAI #letakjawatan #Malaysia #airtimes
