Di saat rakyat dihimpit kos sara hidup dan menanti bantuan daripada kerajaan, muncul pula video ‘iklan’ yang menampilkan suara dan wajah seorang menteri yang “kononnya” mengajak orang ramai memohon subsidi khas. Suaranya kedengaran tegas dan cukup meyakinkan. Namun, realitinya semua itu adalah palsu.
Video itu dihasilkan sepenuhnya oleh teknologi kecerdasan buatan (AI), memanipulasi wajah serta meniru suara sebenar individu berprofil tinggi bagi memperdaya rakyat. Sekali klik pada pautan yang disediakan, maklumat peribadi dan wang dalam bank boleh hilang sekelip mata. Inilah wajah baharu penipuan digital, tidak lagi hanya menggunakan teks atau gambar, sebaliknya suara dan identiti tiruan yang kelihatan sahih.
Artificial Intelligence atau AI kini menjadi antara pemacu utama dunia digital moden. Keupayaannya untuk mengautomasi tugas-tugas berulang dan menyelesaikan masalah kompleks telah mempercepatkan proses kerja dalam pelbagai sektor. Namun begitu, di sebalik manfaatnya, sistem klon suara atau sintesis vokal AI mula menimbulkan kebimbangan terhadap risiko penyalahgunaan teknologi.
Dalam era maklumat tanpa sempadan, sistem AI dibangunkan melalui proses latihan intensif yang melibatkan jutaan data ciptaan manusia, termasuk teks, rakaman audio dan visual. Menerusi proses ini, teknologi bukan sahaja mempelajari pola pertuturan manusia, bahkan kini mampu menghasilkan semula suara seseorang dengan ketepatan yang hampir sempurna, meskipun hanya berasaskan sampel suara selama beberapa saat.
Sistem ini pada asalnya dibangunkan untuk membantu individu yang kehilangan keupayaan bertutur, serta bagi penggunaan dalam sistem automasi khidmat pelanggan dan kandungan multimedia. Namun kemajuan dalam bidang ini telah membuka ruang kepada penyamaran identiti, penipuan dalam talian dan manipulasi maklumat secara berskala.
Perkembangan ini mewujudkan satu fenomena baharu yang merentas batas antara realiti dan rekaan. Suara yang didengar tidak lagi dapat dipastikan kesahihannya, malah kedengarannya sangat meyakinkan hingga sukar dikenal pasti sebagai tiruan. Dalam keadaan ini, hubungan antara manusia dan mesin seolah-olah terbalik. Saban hari, AI semakin cekap berbicara dan menulis seperti manusia, manakala manusia pula mula meniru gaya pertuturan dan penulisan karya mesin.
Suara yang ditiru: Modus operandi baharu scammer
Malaysia sendiri tidak terkecuali daripada ancaman ini. Pada 10 Julai lalu, Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penyebaran satu video palsu yang menampilkan wajah dan suara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Dalam video yang tular di media sosial tersebut, baginda dilihat mempromosikan satu skim pelaburan kononnya menawarkan pulangan tinggi. Walaupun secara visual dan audio kelihatan sahih, kandungan berkenaan sebenarnya dihasilkan sepenuhnya oleh teknologi AI tanpa sebarang kebenaran daripada pihak istana.
Insiden ini bukan sahaja mencemarkan nama baik Ketua Negara, malah membangkitkan persoalan serius mengenai keselamatan maklumat dan komunikasi rasmi negara. Sekiranya, suara ketua negara pun boleh dimanipulasi dengan begitu mudah, sejauh mana keyakinan rakyat terhadap maklumat rasmi dapat dikekalkan? Tambahan pula, klon suara dalam konteks ini bukan sekadar penipuan, sebaliknya merupakan bentuk penyamaran yang boleh menjejaskan integriti institusi tertinggi negara.
Sementara itu, beberapa minggu sebelum itu, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, turut menjadi sasaran taktik yang sama apabila wajah dan suaranya digunakan dalam video promosi pelaburan palsu. Taktik ini tidak lagi terbatas kepada tokoh antarabangsa atau selebriti global, sebaliknya sudah mula menyusup ke ruang sosial tempatan dengan menyasarkan individu berprofil tinggi, termasuk ahli keluarga dan kenalan rapat mangsa.
Ancaman ini turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Menteri Luar Amerika Syarikat, Marco Rubio, mendedahkan suaranya turut berjaya ditiru menggunakan suara klon AI dan digunakan untuk menghantar mesej palsu kepada pemimpin luar negara melalui akaun komunikasi yang menyerupai miliknya. Menurut Rubio, beberapa rakan sejawat dari negara lain mendakwa telah menerima beberapa mesej mencurigakan yang kononnya dihantar olehnya.
Seiring dengan peningkatan kes penyamaran digital, Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menggesa platform media sosial agar memperketatkan sistem keselamatan kandungan. Antara langkah yang sedang diusahakan termasuk pembangunan AI Fact-check Assistant (AIFA), iaitu sistem pintar yang membantu mengenal pasti kandungan palsu yang dijana oleh teknologi AI.
Akan tetapi, ancaman yang dibawa oleh teknologi klon suara bukan sekadar isu teknikal. Ia mencabar prinsip asas hak milik suara, identiti vokal, dan kebertanggungjawaban maklumat dalam ruang siber. Malaysia ketika ini masih belum memiliki kerangka undang-undang yang khusus untuk menangani penyamaran suara secara digital, apatah lagi jika melibatkan tokoh penting negara. Ketiadaan garis panduan ini membuka ruang kepada eksploitasi lebih besar dalam masa terdekat.
Apa yang berlaku terhadap suara baginda Yang di-Pertuan Agong wajar dijadikan peringatan dimana landskap komunikasi masa kini sedang berubah secara mendasar. Dalam dunia yang dipenuhi suara-suara tiruan, bukan lagi mesej yang menjadi isu utama, sebaliknya siapakah yang menyampaikan mesej tersebut. Jika suara boleh dipalsukan, kepercayaan akan menjadi pertaruhan terbesar dalam era digital ini.
Menghadapi cabaran ini, negara perlu segera membina kekuatan melalui gabungan tiga komponen utama, perundangan yang tuntas, tanggungjawab platform digital yang tinggi, dan kesedaran awam yang meluas. Tanpa gabungan ini, suara yang kedengaran hari ini mungkin bukan lagi suara sebenar, tetapi gema daripada mesin yang menyamar sebagai kita. -airtimes.my
#Diskusi #KlonsuaraAI #AI #penipuan #airtimes
