Home DiskusiDron dominance membedah gesaan Hegseth

Dron dominance membedah gesaan Hegseth

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Pentagon kini sedang membuka lembaran baharu dalam penggunaan sistem pesawat tanpa pemandu apabila Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, mengumumkan langkah radikal untuk mempercepatkan penguasaan dron kecil di medan tempur. Dalam satu arahan bertulis bertajuk “Unleashing US Military Drone Dominance”, Hegseth menegaskan keperluan mendesak perlu dilakukan kerajaan AS untuk membebaskan kekangan birokrasi yang selama ini menghalang penggunaan luas teknologi dron oleh unit-unit tentera AS di lapangan.

Langkah ini bukan sekadar pengisytiharan dasar baharu, tetapi satu seruan kepada perubahan menyeluruh terhadap pendekatan tradisional perolehan dan penggunaan sistem dron dalam Angkatan Tentera AS. Hegseth menyifatkan bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perkembangan dron di seluruh dunia telah melonjak dengan pesat. Namun, pada masa yang sama, tentera AS tertinggal di belakang kerana terbelenggu oleh dasar dan peraturan yang lapuk.

Dalam memecahkan kekangan tersebut, Hegseth telah membatalkan beberapa memorandum dasar terdahulu yang menjadi penghalang kepada perolehan pesat dron kecil. Antaranya ialah arahan pada tahun 2022 yang mengawal penggunaan Kad Pembelian Komersial Kerajaan untuk pembelian sistem dron, serta panduan tahun 2021 yang mengehadkan operasi dan pemilikan sistem dron buatan luar negara. Kedua-dua dasar ini dilihat menyukarkan unit-unit taktikal untuk mendapatkan sistem dron kecil secara segera dan berkesan.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth

Lebih menarik, memo itu juga menekankan hasrat untuk menjadikan setiap skuad infantri Tentera Darat AS dilengkapi dengan sekurang-kurangnya satu sistem dron kecil bersifat expendable atau boleh diguna sekali. Arahan itu meletakkan tarikh akhir iaitu menjelang Oktober 2026 sebagai sasaran untuk pencapaian tersebut.

Hegseth menegaskan bahawa dron kecil harus dianggap lebih sebagai peluru daripada pesawat, maka ia harus dilayan sebagai aset boleh habis yang boleh diganti dengan mudah dan tidak dibelenggu oleh kebimbangan pentadbiran.

Kebebasan yang diberikan kepada tentera juga meliputi hak untuk mengubah suai dan membina sendiri dron mengikut keperluan operasi. Ini membuka ruang kepada penggunaan teknologi cetakan tiga dimensi dan inovasi di peringkat akar umbi, selari dengan keperluan medan yang sentiasa berubah.

Hegseth menyarankan teknologi dron digunakan secara meluas oleh unit-unit tentera di lapangan. FOTO: U.S. Army Pacific

Langkah ini turut menyentuh soal latihan. Arahan baharu Hegseth mengarahkan semakan terhadap standard latihan bersama bagi sistem UAS, termasuk pengeluaran kategori dron kecil daripada keperluan latihan minimum yang selama ini diselaraskan di bawah arahan sejak 2009. Semakan ini bertujuan memastikan penyesuaian dengan realiti operasi moden yang semakin kompleks.

Dalam tempoh terdekat, Pentagon turut merancang mewujudkan unit eksperimen bagi membolehkan penyelidikan dan pengoperasian dron kecil secara meluas. Fokus akan diberikan kepada unit-unit di rantau Indo-Pasifik, yang kini menjadi medan utama bagi strategi keselamatan AS dalam menghadapi cabaran dari kuasa besar seperti China.

Contoh awal inisiatif ini dapat dilihat dalam latihan gabungan di Jerman, apabila satu platun dron pemantau RQ-7B Shadow telah diubah menjadi unit dron serangan pandang pertama atau FPV. Unit tersebut melaksanakan misi simulasi dengan merancang penggunaan dron seperti peruntukan peluru artileri, menunjukkan kecekapan dan fleksibiliti sistem ini dalam menyerang sasaran musuh secara tepat dan pantas.

Dominasi dron bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan dalam medan perang moden yang semakin bersifat autonomi, cepat dan tidak simetri. FOTO: U.S. Army

Dalam memo itu, Hegseth dengan tegas menyatakan bahawa keupayaan mematikan tidak sepatutnya dikekang oleh halangan ciptaan sendiri, terutamanya apabila teknologi itu berasal dari industri tempatan sendiri. Beliau menyeru agar sistem perolehan diperbaiki, asas industri diperkuat dan teknologi baharu diperkenalkan terus ke tangan para tentera. Baginya, dominasi dron AS bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan dalam medan perang moden yang semakin bersifat autonomi, cepat dan tidak simetri.

Dengan langkah berani ini, Pentagon dijangka memasuki fasa baharu revolusi peperangan, di mana kelajuan, kecekapan dan fleksibiliti teknologi akan menjadi pembeza utama antara menang dan kalah. Seruan Hegseth bukan sekadar gesaan, tetapi mesej yang jelas bahawa dominasi udara kini bukan lagi tentang pesawat gergasi, tetapi tentang dron kecil yang senyap tetapi berbisa – airtimes.my

#AirTimes #PertahananGlobal #Dron #Pentagon #PeteHegseth #TenteraAS #TeknologiKetenteraan #UAV

Related Articles

Leave a Reply