Sejak berdekad lamanya, hubungan antara Turkiye dan komuniti Kurdish ini telah lama dibayangi konflik berdarah, tuntutan autonomi, dan percaturan kuasa politik serantau yang tidak pernah reda. Dalam landskap geopolitik Timur Tengah yang sentiasa berubah, konflik tersebut bukan sekadar isu dalaman, tetapi cerminan percaturan kuasa global dan dilema keselamatan serantau sehingga mengorbankan sebanyak 40,000 nyawa semenjak konflik itu berlaku.
Punca konflik ini bermula dikesan melalui penubuhan Pemberontakan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) pada 1978 yang melancarkan pemberontakan bersenjata menuntut pemisahan da pembebasan Kurdistan. Hal ini, mereka mahukan hak politik serta autonomi dan budaya yang lebih besar. Lalu, PKK bersama sekutunya dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Ankara.
Namun, setelah lebih empat dekad, wujud sinar perubahan apabila pemimpin PKK, Abdullah Öcalan menyeru agar perjuangan bersenjata dihentikan dan beralih ke kepada saluran politik demokrasi. Pengumuman ini dibuat pada 27 Februari lalu, diikuti pengisytiharan gencatan senjata PKK serta pembubaraan pergerakan secara berperingkat. Kenyataan itu dibacakan oleh pemimpin veteran Kurdi di Istanbul dan disiarkan di seluruh wilayah Kurdistan, memandangkan Öcalan masih dipenjara di Pulau Imrali.
“Fasa perjuangan bersenjata telah berakhir. Ini bukan kekalahan, tetapi satu pencapaian bersejarah,” katanya dalam video tersebut, yang merupakan kali pertama visual atau suara beliau didedahkan.
Melalui perdamaian ini, kerajaan Turkiye menyambut baik dan menyifatkan langkah tersebut sebagai noktah kepada konflik berdarah. Dalam pada itu, Menteri Luar Negeri, Hakan Fidan memuji keputusan itu sebagai penting untuk keselamatan domestik dan serantau.
“Keputusan yang diambil oleh PKK adalah keputusan yang bersejarah dan penting, terutamanya dari segi keamanan dan kestabilan kekal di rantau kita,” katanya sambil menegaskan, banyak yang perlu diakukan untuk pelaksanaan menyeluruh yang berkesan.
Langkah perdamaian ini bagaimanapun adalah kemuncak kepada usaha diplomasi semula rundingan yang dimulakan oleh Ankara yang menawarkan jalan damai sejak Oktober lalu. Pada waktu itu, jalan rundingan dibuka kembali secara mengejut kepada Öcalan, yang membawa kepada perubahan sikap dan keputusan besar. Namun, wujud persoalan: Adakah ini benar-benar sinar harapan, atau sekadar sandiwara politik?
Sejarah Kurdi-Turkiye di era Uthmaniyyah
Konflik antara Kurdi – Turkiye bukanlah satu perkara baru, ia bermula sejak kejatuhan Empayar Uthmaniyah dan pembentukan Republik Turkiye pada 1923. Dasar asimilasi nasional Turkiye menyebabkan Bahasa dan budaya Kurdi dinafikan, sekaligus mencetuskan ketidakpuasan dalam kalangan masyarakat Kurdish.
Hal ini, di bawah Uthmaniyyah, etnik Kurdi hidup di bawah sistem millet yang lebih bebas, di mana setaraf dengan Turkiye walaupun tidak beroleh kelebihan dari sudut pentadbiran dan ekenomi seperti yang dimiliki oleh rakyat Turkiye. Ini dapat dilihat kerajaan Uthmaniyyah pada waktu itu meletakkan umat Islam sebagai satu kelompok yang bersatu tanpa mengira bangsa dan warna kulit.
Namun, pada abad ke-19 hubungan mula renggang apabila kerajaan diasak oleh tekanan kuasa Eropah. Kemudian, krisis memuncak apabila PKK muncul sebagai gerakan bersenjata pada akhir 1970-an. Sejak itu, ribuan nyawa terkorban, bukan sahaja pejuang, malah turut melibatkan orang awam dari kedua-dua belah pihak termasuk wanita dan kanak-kanak.
Bagaimanapun, tidak semua masyarakat Kurdish menyokong pendekatan keras PKK. Ramai yang menentang dan menginginkan penyelesaian damai. Perpecahan dalaman dalam kalangan Kurdi sendiri menjadi cabaran utama dalam mencapai konsensus menyeluruh, bahkan terdapat pelbagai kumpulan politik dan sosial dengan ideologi dan agenda yang berbeza.
Angin Perubahan

Pemusnahan senjata oleh Parti Pekerja Kurdistan (PKK) sebagai simbolik penamatan pemberontakan bersenjata selama beberapa dekad terhadap Turkiye. FOTO: Aplikasi X
Walaupun begitu, dalam dekad terakhir, terdapat usaha damai sebelum ini seperti Proses Keamanan 2013–2015, menyaksikan rundingan langsung antara Ankara dan Öcalan, namun gagal mencapai penyelesaian kekal.
Kini, terdapat isyarat baru bahawa usaha damai mungkin dihidupkan semula. Perdana Menteri Turkiye yang baru telah mengadakan beberapa pertemuan tidak rasmi dengan pemimpin Kurdi yang lebih moderat.
Walaupun tiada kenyataan rasmi setakat ini, pendekatan lebih terbuka terhadap isu Kurdish memberi gambaran perubahan dasar yang berpotensi. Penyelesaian konflik bukan sahaja membawa kestabilan, malah boleh dimanfaatkan sebagai modal politik dan aset diplomatik untuk Turkiye dalam urusan serantau seperti keselamatan sempadan dan laluan tenaga.
Menuju Masa Depan
Hubungan masa depan antara kerajaan Turkiye dan masyarakat Kurdish majoritinya bergantung kepada kemampuan kedua-dua pihak melepasi sejarah berdarah yang lalu. Perdamaian bukan sekadar rundingan politik, sebaliknya memerlukan pembaharuan struktur, pengiktirafan budaya, dan kepercayaan yang dibina dari bawah.
Persoalannya, adakah kedua-dua pihak benar-benar bersedia untuk berdamai? Atau adakah ini hanya satu episod baru dalam konflik panjang yang belum berakhir?
Perdamaian mungkin masih jauh, namun setiap langkah kecil ke arahnya adalah penting. Dalam ketidakpastian ini, tetap membawa harapan, bahawa sejarah penuh luka ini suatu hari nanti boleh berubah menjadi kisah pemulihan dan kebersamaan. -airtimes.my
#Airtimes #Kurdish #PKK #Turkiye
