Home SemasaCampur tangan politik: Pembangkang desak Anwar cuti, PM interim ambil alih

Campur tangan politik: Pembangkang desak Anwar cuti, PM interim ambil alih

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Blok pembangkang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengambil cuti sementara daripada tugas beliau susulan kebimbangan wujudnya konflik kepentingan dalam proses pelantikan hakim mahkamah atasan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, desakan itu selari dengan titah Istana Negara yang menekankan agar pelantikan hakim dilakukan dengan cermat, berintegriti dan selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, pihaknya menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan menegaskan bahawa Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pelantikan hakim oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Namun, dalam keadaan Perdana Menteri kini mempunyai konflik kepentingan peribadi, memandangkan beliau sendiri berdepan beberapa saman sivil di mahkamah, adalah munasabah dan wajar untuk pelbagai pihak merasa curiga terhadap kemungkinan campur tangan politik dalam proses pelantikan hakim,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar Perdana Menteri bercuti dan menyerahkan tugas kepada seorang Perdana Menteri Interim bagi mengelakkan persepsi berat sebelah serta menjaga integriti pelantikan dalam institusi kehakiman.

“Langkah ini penting khususnya dalam pelaksanaan tanggungjawab di bawah Perkara 122B Perlembagaan,” tambah beliau.

Menurut Hamzah, tindakan itu juga penting bagi memelihara kewibawaan dan kebebasan institusi kehakiman serta menghapuskan sebarang prejudis awam terhadap proses pelantikan hakim.

Salah satu kes utama yang melibatkan Anwar ialah saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantunya, Yusoff Rawther, yang menuduh Perdana Menteri melakukan gangguan seksual.

Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pelantikan hakim mahkamah atasan adalah urusan kenegaraan yang penting dan perlu ditangani secara cermat serta penuh integriti, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Istana turut mengingatkan bahawa proses pelantikan tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya mesti menjunjung prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara.— airtimes.my

#semasa #pembangkang #Anwar #Hamzah #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply