Home DiskusiMilitarisasi AI: Di Mana Letaknya Etika Ketenteraan?

Militarisasi AI: Di Mana Letaknya Etika Ketenteraan?

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Perang tidak lagi seperti dahulu, senyap tetapi pantas. Namun, dalam era Revolusi Perindustrian Keempat, teknologi kecerdasan buatan (AI) telah membuka lembaran baharu dalam arena peperangan moden. Ketika negara-negara besar berlumba memperkenalkan sistem senjata berautonomi penuh (fully autonomous weapons systems, (FAWS)), keghairahan terhadap kelebihan yang ditawarkan sering kali melindungi pelbagai kesan buruk yang turut mengiringinya.

Lebih membimbangkan, penggunaannya yang meluas dan tanpa sempadan menjadikan keberkesanan sistem ini sangat bergantung kepada manusia yang mengendalikannya, baik tentera itu sendiri mahupun pihak berkepentingan lain. AI berperanan sebagai alat pemudah, yang berfungsi berdasarkan arahan dan kawalan manusia, bukannya pelaksana yang bertindak sendiri tanpa bimbingan.

#SorotanKandungan

Meskipun AI memiliki pelbagai kelebihan dan kebijaksanaan analitik, adakalanya ia tidak menjamin perlindungan sepenuhnya dan menimbulkan persoalan etika dalam konteks ketentaraan. AI sememangnya boleh menjadi senjata yang ampuh apabila dikendalikan dan mengikut arahan yang tepat, namun ia juga berpotensi menjadi ancaman senyap dan berisiko yang melumpuhkan dalam diam.

Antara inovasi dan risiko(^kembali)

Senjata berautonomi penuh merupakan sistem yang mampu mengenal pasti, memilih dan menyerang sasaran tanpa kawalan manusia secara langsung. Dengan integrasi penderia pintar, pembelajaran mesin dan pemprosesan masa nyata, ia bukan sahaja menggantikan peranan askar di medan perang, malah mengubah asas doktrin peperangan moden.

Kelebihannya jelas mengurangkan risiko kehilangan nyawa tentera, meningkatkan kecekapan operasi, dan mengoptimumkan masa tindak balas. Namun di sebalik kemajuan ini, FAWS menimbulkan dilema besar dari sudut moral dan perundangan. Ia membawa kepada “normalisasi konflik” dalam masyarakat, di mana keputusan untuk menyerang tidak memerlukan keberanian manusia di medan tempur, cukup sekadar satu arahan algoritma.

Kini, algoritma mampu memproses jutaan data dalam sesaat, membuat analisis situasi, mengenal pasti ancaman musuh dan melancarkan serangan tanpa campur tangan manusia. Namun, apabila sistem ini diberikan autonomi penuh, terutama dalam membuat keputusan menyerang atau membunuh, timbul persoalan besar tentang kawalan dan akauntabiliti: Siapa yang bertanggungjawab jika berlaku kesilapan? Adakah kod etika peperangan masih relevan dalam dunia yang digerakkan oleh kod komputer?

Etika dan prinsip kemanusiaan: Siapa bertanggungjawab?(^kembali)

Kebergantungan kepada AI tanpa pengawasan beretika mendorong potensi berlakunya kesilapan dan penyalahgunaan. Negara yang memiliki sistem AI ketenteraan canggih boleh mengeksploitasi kelemahan musuh tanpa menanggung risiko ke atas tenteranya. Lebih merisaukan, senjata ini berpotensi diperdagangkan, direka semula atau digodam.

Bayangkan sebuah dron pembunuh hilang kawalan atau jatuh ke tangan kumpulan pengganas, maka risiko keselamatan global menjadi tidak terkawal. Tambahan pula, terdapat kebarangkalian AI digunakan untuk menindas pemberontakan dalaman, memantau populasi, atau melaksanakan pembunuhan bersasar tanpa sebarang proses kehakiman. Ini bukan sahaja mencabul hak asasi manusia, malah memperkukuh cengkaman rejim autoritarian melalui alat kekuasaan yang tidak dapat dipertikaikan.

Prinsip-prinsip kemanusiaan dalam undang-undang peperangan, seperti prinsip diskriminasi dan perkadaran sukar dipatuhi oleh sistem AI yang tidak memiliki empati atau pertimbangan moral. FAWS tidak mampu memahami konteks rumit sesebuah konflik atau menilai nilai kehidupan di sebalik data. Akibatnya, kesilapan teknikal boleh menyebabkan kehilangan nyawa yang tidak sepatutnya, dan mencetuskan krisis kepercayaan terhadap sistem keselamatan global.

Lebih memburukkan, negara-negara yang longgar dengan piawaian etika antarabangsa mungkin mengambil kesempatan terhadap teknologi ini tanpa pengawasan ketat, sekaligus mencetuskan perlumbaan senjata AI yang mengabaikan keselamatan sejagat dan nilai kemanusiaan.

Cabaran masa depan: Menuju kepada tata kelola yang adil(^kembali)


Setiap tindakan yang dilakukan, sudah pastinya membawa kesan dan mesti dilaksanakan berlandaskan etika. Tanpa matlamat yang jelas, ia berisiko menggugat keseluruhan operasi ketenteraan. FOTO: NORTHROP GRUMMAN


Bagi memastikan AI digunakan secara bertanggungjawab dalam konflik dan dikawal secara beretika, komuniti antarabangsa perlu melangkaui retorik dan segera membentuk kerangka perundangan yang kukuh. Penguatkuasaan ini penting bagi menjamin keadilan dan menghalang penyalahgunaan teknologi.

Antara langkah utama ialah, melarang sistem senjata tanpa kawalan manusia langsung, menetapkan piawaian reka bentuk AI yang telus serta boleh dijelaskan dan ditelusuri. Selain itu, melaksanakan audit bebas oleh badan antarabangsa yang sah, dan menggerakkan diplomasi pencegahan melalui perjanjian dua hala atau pelbagai hala bagi menyekat penyebaran teknologi ini kepada negara atau aktor bukan negara.

Mengawal AI, Menjaga Nilai Kemanusiaan(^kembali)

Dalam dunia yang semakin digital, pertahanan juga harus bergerak seiring. Tidak mustahil suatu hari nanti kita akan menyaksikan ‘ketenteraan tanpa tentera’, yang mana operasi dijalankan sepenuhnya oleh mesin. Namun, peperangan moden tidak boleh dibiarkan melangkaui batas kemanusiaan.

Manusia mesti kekal sebagai penjaga nilai dan pembuat keputusan utama. Dalam dunia yang membolehkan mesin menentukan hidup dan mati, peranan manusia bukan sekadar pengendali sistem, tetapi sebagai pelindung prinsip, etika dan mempunyai sifat tanggungjawab. -airtimes.my

#Airtimes #AI #Teknologi #Pertahanan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply