Keupayaan menguasai teknologi senjata hipersonik semakin menjadi lambang kuasa besar yang sebenar dan menjadi pelumbaan bagi negara kuasa besar. Antara senjata paling menonjol dalam kategori ini ialah DF-ZF, sebuah kenderaan peluncur hipersonik (Hypersonic Glide Vehicle, HGV) milik China yang kini menjadi simbol keupayaan strategik negara itu dalam perlumbaan senjata global.
Dengan kelajuan yang mampu mencecah lebih daripada Mach 5 bersamaan dengan 5 kali kelajuan bunyi, DF-ZF telah mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan kuasa besar dunia terutamanya Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.
DF-ZF bukanlah peluru berpandu biasa, ia dipasang pada sistem pelancar peluru berpandu balistik jarak sederhana DF-17 yang direka khusus untuk membawa HGV. Setelah dilancarkan ke atmosfera oleh DF-17, DF-ZF akan meluncur secara mendatar dengan keupayaan untuk melakukan manuver kompleks semasa fasa terminal sebelum mengenai sasarannya.
Keupayaan ini menjadikan ia hampir mustahil untuk diramal laluannya, sekaligus menyukarkan mana-mana sistem pertahanan udara sedia ada untuk mengesan dan memintasnya secara efektif. Ini kerana kebanyakan sistem pertahanan konvensional direka untuk mengesan peluru berpandu balistik tradisional yang mengikuti laluan yang ditetapkan.

DF-ZF dipasang pada sistem pelancar peluru berpandu balistik jarak sederhana DF-17 yang direka khusus untuk membawa HGV. FOTO: MDAA
Apa yang lebih membimbangkan ialah kelajuan dan fleksibiliti manuver DF-ZF membolehkannya mengelak daripada dikesan oleh sistem seperti THAAD (Terminal High Altitude Area Defense) dan Aegis Combat System, dua sistem pertahanan utama milik AS yang selama ini dianggap benteng pertahanan udara tercanggih.
China secara terbuka menegaskan bahawa pembangunan DF-ZF adalah untuk tujuan pertahanan dan keseimbangan strategik di rantau Asia. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran sistem ini memberi kelebihan taktikal yang besar kepada Beijing, terutamanya dalam isu Taiwan, Laut China Selatan dan potensi konflik dengan sekutu-sekutu AS di rantau asia ini. Dengan keupayaan menyerang sasaran dalam masa yang singkat, DF-ZF mampu digunakan sama ada sebagai alat serangan pra-emptif atau tekanan psikologi dalam situasi tegang.
Namun China bukan satu-satunya negara yang membangunkan senjata hipersonik. Amerika Syarikat dan Rusia turut tidak ketinggalan dalam pembinaan senjata hipersonik.AS kini sedang membangunkan beberapa sistem seperti ARRW (Air-Launched Rapid Response Weapon) dan Hypersonic Attack Cruise Missile (HACM).

Senjata hipersonik AS ARRW (Air-Launched Rapid Response Weapon) FOTO HIASAN
ARRW, yang dibangunkan oleh Lockheed Martin, dilaporkan mampu mencapai kelajuan melebihi Mach 7 dan dilancarkan dari pesawat pengebom B-52. Walau bagaimanapun, program ini telah mengalami beberapa ujian yang gagal, membuktikan bahawa teknologi hipersonik bukan sahaja mahal, tetapi juga rumit dan sukar untuk disempurnakan.
Rusia pula lebih ke hadapan dari segi pengoperasian senjata hipersonik. Senjata seperti Avangard, yang mula digunakan secara operasional sejak 2019, mampu mencapai kelajuan sehingga Mach 20 dan membawa kepala peledak nuklear. Avangard juga menggunakan konsep glide vehicle seperti DF-ZF, namun dengan kelajuan yang lebih tinggi dan dilaporkan boleh menukar arah secara ekstrem.
Selain Avangard, Rusia turut memiliki sistem Kinzhal, peluru berpandu hipersonik yang boleh dilancarkan dari pesawat tempur MiG-31 dan digunakan dalam konflik Ukraine. Walaupun Kinzhal masih diperdebatkan status hipersoniknya, penggunaannya telah membuktikan nilai taktikal senjata ini dalam medan sebenar.

Russsian Avangard Hypersonic Missile System. FOTO: RUSSIAN MOD
Berbanding Avangard dan Kinzhal, DF-ZF lebih menonjol dari aspek keseimbangan antara kelajuan, ketepatan dan keupayaan manuver. Meskipun tidak sepantas Avangard, DF-ZF lebih sesuai digunakan dalam konflik serantau berjarak sederhana, di mana ia boleh memberi kesan mendalam terhadap strategi pertahanan negara-negara jiran. Berbeza pula dengan AS yang masih di peringkat pengujian, China telah berjaya membawa DF-ZF ke tahap operasional dengan kadar yang lebih pantas, mencerminkan kemajuan pesat teknologi pertahanan mereka.
Kebangkitan senjata hipersonik seperti DF-ZF mengundang kebimbangan bukan hanya dari sudut ketenteraan, tetapi juga dari segi kestabilan strategik antarabangsa. Kelajuan senjata ini secara tidak langsung memendekkan masa tindak balas sesebuah negara dalam menghadapi serangan, sekali gus meningkatkan risiko kesilapan pengiraan atau salah tafsir yang boleh membawa kepada konflik besar.
Tambahan pula, ketiadaan perjanjian kawalan senjata yang khusus untuk senjata hipersonik menjadikan situasi lebih membimbangkan. Jika senjata nuklear sebelum ini dikekang oleh pelbagai perjanjian antarabangsa, senjata hipersonik pula masih beroperasi dalam ruang yang tidak dikawal.
Dalam dunia yang kian kompleks dan tidak menentu, kehadiran DF-ZF menjadi satu simbol kepada perubahan landskap peperangan moden. Ia bukan sekadar senjata, tetapi satu mesej bahawa dominasi teknologi ketenteraan kini bukan lagi milik eksklusif satu kuasa besar sahaja. Perlumbaan hipersonik telah bermula, dan DF-ZF adalah antara pelari hadapan yang sedang merintis jalan ke arah era baharu peperangan berkelajuan tinggi. -airtimes.my
#AirTimes #DFZF #SenjataHipersonik #China #PertahananModen #PeluruBerpandu #Avangard #ARRW #PeperanganModen