Home DiskusiSenjata hipersonik: Pengakhiran era sistem pertahanan sedia ada?

Senjata hipersonik: Pengakhiran era sistem pertahanan sedia ada?

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Dalam sejarah ketenteraan moden, pembangunan sistem pertahanan udara sentiasa dianggap sebagai benteng terakhir yang mampu menangkis apa jua ancaman dari udara. Daripada sistem peluru berpandu Patriot milik Amerika Syarikat (AS) sehinggalah ke S-400 Rusia, pertahanan udara berteknologi tinggi telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan kuasa dunia.

Namun, kemunculan senjata hipersonik mengubah landskap tersebut secara radikal sekaligus mencetuskan persoalan besar iaitu adakah kita sedang menuju ke arah pengakhiran era sistem pertahanan sedia ada?

Senjata hipersonik bukan sekadar peluru berpandu konvensional yang bergerak pantas. Ia adalah generasi baharu senjata strategik yang mampu bergerak melebihi Mach 5 (lebih 6,000 km/jam) sambil melakukan manuver kompleks di ruang atmosfera. Teknologi ini menjadikan senjata hipersonik sangat sukar dikesan apatah lagi dipintas oleh sistem pertahanan udara konvensional yang direka untuk menghadapi ancaman lebih perlahan dan mudah diramal.

Misil Hipersonik IRBM Korea Utara (Foto: KCNA)

China, Rusia, dan AS kini menjadi tiga kuasa besar utama dalam perlumbaan hipersonik ini. Rusia mendahului dengan peluru berpandu Avangard dan Kinzhal yang didakwa mampu menewaskan sebarang sistem pertahanan Barat. China pula membangunkan DF-ZF, peluncur peluru berpandu hipersonik yang boleh membawa hulu ledak nuklear, manakala AS sedang giat mengejar dengan program ARRW (Air-Launched Rapid Response Weapon) dan sistem peluru berpandu hipersonik Long-Range Hypersonic Weapon (LRHW).

Senjata hipersonik membawa dimensi ancaman yang sangat kompleks. Bukan sahaja kerana kelajuan dan kemampuan manuvernya, tetapi juga kerana ketidakpastian tentang masa dan arah serangan. Ini menyukarkan sistem radar dan sensor sedia ada untuk mengesan ancaman ini lebih awal. Lebih membimbangkan, banyak senjata hipersonik boleh membawa hulu ledak nuklear dan menjadikannya alat serangan strategik yang boleh mengubah keseluruhan doktrin ketenteraan.

Apa yang menambah kegusaran ialah kesenjangan masa dalam pembangunan sistem pencegahan. Sistem pertahanan udara sedia ada, seperti THAAD atau Iron Dome, direka untuk menangkis peluru berpandu balistik atau roket biasa yang mempunyai corak laluan tetap. Senjata hipersonik pula melanggar semua andaian ini dan ianya boleh mengubah arah di pertengahan jalan, terbang lebih rendah, dan tiba lebih cepat daripada apa yang boleh dijangka oleh sistem amaran awal.

Sistem Iron Dome yang direka untuk menangkis peluru berpandu balistik atau roket biasa

Dalam konteks ini, negara-negara kecil atau sedang membangun turut terkesan. Mereka yang selama ini bergantung kepada sistem pertahanan udara yang dibeli dari kuasa besar kini terdedah kepada teknologi yang tidak dapat mereka lawan atau sekat. Malaysia juga tidak terkecuali, ketika kuasa besar berlumba mencipta senjata yang sukar dipintas ini, sistem pertahanan udara Malaysia masih berada pada tahap konvensional dan belum dilengkapi dengan teknologi yang mampu menghadapi ancaman hipersonik.

Buat masa ini, Malaysia memiliki sistem pertahanan udara jarak dekat dan sederhana seperti Starstreak, Jernas serta peluru berpandu Igla dan MANPADS. Namun, kesemua sistem ini hanya berkesan terhadap ancaman udara tradisional seperti pesawat, helikopter atau dron. Tiada satu pun yang direka untuk mengesan atau memintas peluru berpandu hipersonik.

Tambahan pula, kebergantungan kepada radar konvensional yang mempunyai had keupayaan sudut liputan dan masa tindak balas menjadikan pertahanan udara negara sangat terdedah kepada ancaman seumpama ini.

Jernas merupakan sistem pertahanan udara jarak dekat dan sederhana,yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

Beberapa negara di rantau ini seperti Singapura telah mula melabur dalam sistem pemantauan ruang udara berasaskan pelbagai lapisan dan teknologi pemprosesan data berkuasa tinggi, yang sekurang-kurangnya memberi sedikit ruang tindak balas terhadap sebarang ancaman baharu. Malaysia pula masih berdepan cabaran dari segi bajet, keutamaan dasar, serta pembangunan teknologi tempatan.

Sebagai respons jangka panjang, Malaysia perlu mempertimbangkan kerjasama pertahanan yang lebih mendalam dengan negara-negara yang memiliki teknologi pengesanan dan pencegahan ancaman hipersonik. Pada masa yang sama, pelaburan dalam teknologi pemprosesan data masa nyata, pengesanan satelit dan kecerdasan buatan (AI) perlu diberi keutamaan bagi meningkatkan keupayaan amaran awal dan tindak balas pantas.

Persoalannya, adakah dunia termasuk Malaysia mampu mencipta sistem pertahanan baharu yang seiring dengan ancaman hipersonik ini, atau adakah kita sedang berhadapan dengan zaman di mana ‘menangkis’ bukan lagi satu pilihan?

Ini membawa kepada satu persoalan strategik yang lebih besar iaitu adakah era sistem pertahanan sedia ada bakal tamat, digantikan dengan era senjata hipersonik yang tidak dapat dipintas?. –airtimes.my

#AirTimes #SenjataHipersonik #PertahananUdara #Malaysia #ATM #TeknologiKetenteraan #PeluruBerpandu

Related Articles

Leave a Reply