Golden Dome dan kebangkitan semula impian “Star Wars”
“Golden Dome for America” ialah sebuah projek pertahanan udara dan peluru berpandu berskala nasional yang berakar daripada arahan eksekutif Presiden Donald Trump pada 27 Januari 2025. Arahan asal itu menggunakan nama “The Iron Dome for America”, tetapi inisiatif berkenaan kemudian dikenali secara meluas sebagai Golden Dome.
Dokumen White House menyatakan ancaman peluru berpandu balistik, hipersonik, peluru berpandu kruis dan serangan udara generasi baharu sebagai antara ancaman paling besar kepada Amerika Syarikat.
Arahan sama turut merujuk usaha Presiden Ronald Reagan membangunkan pertahanan terhadap serangan nuklear, iaitu bayangan langsung kepada konsep Strategic Defense Initiative atau “Star Wars” pada era Perang Dingin.
Namun Golden Dome bukan sekadar nostalgia teknologi, ia muncul ketika Amerika Syarikat (AS) menilai semula kelemahan pertahanan tanah airnya terhadap ancaman peluru berpandu moden, dron, sistem hipersonik dan serangan berbilang domain.
Lebih penting, projek ini menunjukkan Washington tidak lagi melihat ancaman peluru berpandu sebagai isu negara kecil semata-mata, ia kini dibaca dalam kerangka persaingan kuasa besar, khususnya dengan Rusia dan China.
Apa sebenarnya Golden Dome?
Golden Dome bukan versi besar kepada Iron Dome Israel, Iron Dome direka untuk mempertahankan kawasan tertentu daripada roket jarak dekat, mortar dan ancaman udara terhad. Golden Dome pula jauh lebih luas dari segi skala, geografi dan ancaman.
Arahan eksekutif White House menyatakan seni bina pertahanan baharu itu perlu meliputi pertahanan terhadap peluru berpandu balistik, peluru berpandu hipersonik, peluru berpandu kruis maju dan serangan udara generasi baharu daripada musuh setara, hampir setara dan negara bermusuhan.
Ia juga menyebut keperluan mempercepat lapisan sensor angkasa untuk menjejak peluru berpandu hipersonik dan balistik, selain membangunkan pemintas berasaskan angkasa lepas yang mampu melakukan pintasan pada fasa lonjakan, iaitu ketika peluru berpandu baru dilancarkan.
Ini menjadikan Golden Dome sebagai sistem pertahanan berlapis. Ia dijangka menggabungkan sensor angkasa, radar, pemintas darat, sistem laut, keupayaan bukan kinetik, pusat pemerintahan dan kawalan, serta pemprosesan data berkelajuan tinggi. Dalam bahasa mudah, Golden Dome ialah cubaan membina jaringan pertahanan tanah air AS yang boleh melihat ancaman lebih awal, menjejaknya secara berterusan dan memintasnya dalam beberapa fasa penerbangan.

Golden Dome Amerika Syarikat AS./Foto: Aerospace America
Mengapa Rusia dan China menjadi ancaman utama
Fokus geopolitik Golden Dome tidak boleh dipisahkan daripada Rusia dan China. Kedua-dua negara mempunyai keupayaan peluru berpandu strategik, senjata nuklear, sistem peluru berpandu balistik antara benua, peluru berpandu lancaran kapal selam dan pembangunan senjata hipersonik.
Defense Intelligence Agency (DIA) AS dalam penilaian tidak terperingkatnya menyatakan ancaman peluru berpandu terhadap tanah air AS akan berkembang dari segi skala dan kecanggihan dalam dekad akan datang. Penilaian itu menyenaraikan enam kategori ancaman utama, termasuk peluru berpandu balistik antara benua, peluru berpandu balistik lancaran kapal selam, dua jenis senjata hipersonik, peluru berpandu kruis serangan darat dan sistem pengeboman orbit pecahan.
Selama ini, pertahanan peluru berpandu tanah air AS banyak tertumpu kepada ancaman terhad daripada negara seperti Korea Utara dan Iran. CSIS menilai Golden Dome sebagai usaha mengubah fokus pertahanan tanah air AS daripada ancaman negara bermusuhan berskala terhad kepada cabaran lebih besar yang ditimbulkan oleh kuasa besar seperti Rusia dan China.
Dari sudut AS, persoalannya bukan sekadar serangan nuklear besar-besaran, kebimbangan lebih rumit ialah kemungkinan serangan konvensional jarak jauh, serangan terpilih terhadap infrastruktur kritikal, serangan berbilang arah atau serangan yang cukup pantas sehingga memendekkan masa tindak balas Washington.
Dalam keadaan itu, pencegahan nuklear tradisional mungkin tidak memberi pilihan yang cukup fleksibel. Jika serangan musuh bersifat konvensional tetapi strategik, tindak balas nuklear mungkin terlalu besar dan berisiko. Golden Dome dilihat sebagai usaha memberi pilihan tambahan kepada AS dengan mengesan, menjejak, memintas dan mengurangkan kesan serangan sebelum keputusan balas yang lebih berbahaya perlu dibuat.
Angkasa lepas menjadi medan pertahanan baharu
Komponen paling kontroversi Golden Dome ialah pemintas berasaskan angkasa lepas. Konsep ini bukan baharu, tetapi kemajuan satelit kecil, pelancaran komersial dan rangkaian orbit bumi rendah menjadikannya lebih realistik berbanding era Reagan.
Space Systems Command menyatakan United States Space Force telah menubuhkan program pemintas berasaskan angkasa lepas (space-based interceptor/SBI) yang ditugaskan membangunkan sistem pemintas peluru berpandu berasaskan angkasa untuk ditunjukkan sebagai sebahagian daripada seni bina Golden Dome menjelang 2028. Program itu turut dikaitkan dengan buruj orbit bumi rendah berbilang satelit (proliferated Low Earth Orbit/pLEO) bagi menangani ancaman yang semakin pantas dan mampu bermanuver.
Pada hujung 2025 dan awal 2026, Space Systems Command menganugerahkan 20 perjanjian Other Transaction Authority (OTA) kepada 12 syarikat dengan nilai potensi sehingga USD3.2 bilion. Perjanjian itu bertujuan membolehkan syarikat terlibat membangunkan prototaip berkaitan pemintas berasaskan angkasa lepas.
Secara teori, pintasan pada fasa lonjakan mempunyai kelebihan. Peluru berpandu masih berada pada fasa awal penerbangan, belum melepaskan kepala peledak atau umpan, dan belum melakukan manuver kompleks. Namun tingkap masa untuk bertindak sangat singkat. Sistem perlu mengesan pelancaran, mengenal pasti ancaman, memproses data, mengarahkan pemintas dan membuat keputusan dalam tempoh yang amat terhad.
AI, sensor dan tekanan membuat keputusan pantas

Sistem pertahanan Golden Dome dijangka menggabungkan sensor angkasa, radar, pemintas darat, sistem laut, keupayaan bukan kinetik, pusat pemerintahan dan kawalan, serta pemprosesan data berkelajuan tinggi./Foto: Lockheed Martin
Ancaman peluru berpandu moden menekan masa tindak balas manusia, peluru berpandu hipersonik, misalnya, bukan sahaja bergerak pantas tetapi boleh melakukan manuver yang menyukarkan ramalan laluan. Peluru berpandu kruis pula boleh terbang rendah dan menghampiri sasaran dari arah yang sukar dijangka.
Space Systems Command menyatakan sistem pertahanan sedia ada dan generasi baharu perlu digabungkan dengan kecerdasan buatan (artificial intelligence/AI) untuk menangani kelajuan, keupayaan manuver dan daya pemusnah ancaman moden.
Dalam konteks Golden Dome, AI tidak semestinya bermaksud mesin membuat keputusan perang secara bebas. Peranan yang lebih munasabah ialah membantu pemprosesan data sensor, penjejakan sasaran, pengelasan ancaman, keutamaan pintasan dan sokongan keputusan kepada pusat pemerintahan.
Namun isu ini tetap sensitif. Sistem pertahanan peluru berpandu strategik berada dekat dengan domain nuklear. Kesilapan tafsir, kegagalan sensor atau tindak balas automatik yang tidak terkawal boleh membawa implikasi besar. Justeru, walaupun AI boleh mempercepat pemprosesan data, akauntabiliti manusia, kebolehjelasan sistem dan kawalan keputusan tetap menjadi persoalan penting.
Kos USD1.2 trilion dan batas keupayaan sebenar
Congressional Budget Office (CBO) menganggarkan satu sistem pertahanan peluru berpandu nasional yang selaras secara umum dengan objektif arahan eksekutif itu boleh menelan kos sekitar USD1.2 trilion untuk dibangunkan, dikerahkan dan dikendalikan selama 20 tahun. CBO menegaskan anggaran tersebut dibuat kerana seni bina objektif sebenar Jabatan Pertahanan AS yang belum didedahkan sepenuhnya.
Menurut CBO, sistem andaian itu terdiri daripada empat lapisan pemintas iaitu satu lapisan angkasa, dua lapisan permukaan kawasan luas dan satu lapisan sektor wilayah. Sistem itu turut memerlukan sensor tambahan, komunikasi dan sistem pengurusan pertempuran bagi menyelaraskan tindakan antara lapisan. Komponen paling mahal ialah lapisan pemintas berasaskan angkasa lepas, yang dianggarkan menyumbang kira-kira 70 peratus kos pemerolehan dan 60 peratus kos keseluruhan.
CBO turut memberi amaran penting bahawa keupayaan untuk “melibatkan” ancaman tidak sama dengan keupayaan “menewaskan” ancaman sepenuhnya. Dalam penilaian CBO, sistem andaian itu mungkin boleh menangani serangan kecil atau serangan terhad, tetapi boleh dibebani oleh serangan berskala penuh daripada musuh setara atau hampir setara seperti Rusia atau China.
Ini bermakna Golden Dome tidak boleh ditulis sebagai perisai mutlak, ia boleh meningkatkan pilihan pertahanan AS, tetapi tidak semestinya menjamin perlindungan penuh terhadap serangan besar-besaran.
Risiko perlumbaan senjata baharu

Golden Dome berdiri sebagai perisai pertahanan berlapis yang akan melindungi AS daripada ancaman peluru berpandu hipersonik./Foto: Lockheed Martin
Dari sudut Washington, Golden Dome ialah sistem pertahanan. AS mahu melindungi rakyat, infrastruktur kritikal, pangkalan tentera, pusat pemerintahan dan keupayaan serangan balasnya daripada ancaman peluru berpandu moden.
Namun Rusia dan China boleh membaca perkembangan sama melalui lensa berbeza, jika AS mempunyai perisai peluru berpandu yang besar dan pada masa sama mengekalkan keupayaan serangan jauh konvensional serta nuklear, Moscow dan Beijing mungkin melihatnya sebagai usaha mendapatkan kelebihan strategik menyeluruh.
CSIS menyatakan penganalisis China dan Rusia berhujah bahawa jika Golden Dome berkesan, sistem itu boleh mengehadkan kemampuan negara mereka menyasarkan tanah air AS dengan senjata nuklear, sekali gus menjejaskan pencegahan strategik mereka.
Analisis CSIS juga menyatakan tindak balas China dan Rusia berkemungkinan berbentuk langkah asimetri, termasuk memperkukuh program sedia ada, menambah jumlah sistem tertentu atau membangunkan kaedah penghantaran bukan konvensional.
Arms Control Association pula melaporkan bahawa Beijing dan Moscow mengkritik rancangan Golden Dome sebagai langkah yang mereka anggap “menstabilkan secara negatif” kerana dikaitkan dengan keupayaan serangan pertama dan hubungan antara senjata ofensif strategik dengan sistem defensif strategik.
Di sinilah paradoks Golden Dome muncul, sistem ini boleh meningkatkan keselamatan AS dalam satu dimensi, tetapi pada masa sama meningkatkan kebimbangan strategik pihak lawan. Dalam sejarah kawalan senjata, pertahanan peluru berpandu sering menjadi isu sensitif kerana ia boleh mengubah kira-kira pencegahan. Apabila satu pihak cuba mengurangkan kerentanannya, pihak lain mungkin menambah keupayaan serangan untuk memastikan keupayaan balasnya tidak terhakis.
Apa maknanya kepada Asia dan Malaysia
Malaysia tidak perlu meniru Golden Dome, skala ancaman, geografi, bajet dan keperluan strategik Malaysia jauh berbeza daripada Amerika Syarikat. Namun perkembangan ini tetap memberi beberapa pengajaran penting kepada Asia Tenggara.
Pertama, pertahanan udara masa depan semakin bergantung kepada sistem berlapis. Radar, pesawat, kapal, sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara, dron, sensor maritim, satelit komersial dan rangkaian pemerintahan-kawalan perlu dilihat sebagai ekosistem, bukan aset terpisah.
Kedua, ancaman peluru berpandu kruis, dron dan sistem jarak jauh bukan lagi isu kuasa besar semata-mata. Konflik moden menunjukkan senjata yang lebih murah boleh digunakan secara kreatif untuk menyerang sasaran bernilai tinggi. Bagi Malaysia, perbincangan ini relevan kepada perlindungan pangkalan udara, pelabuhan, infrastruktur tenaga, pusat komunikasi dan kawasan maritim strategik.
Ketiga, integrasi data menjadi semakin penting. Keupayaan melihat ancaman lebih awal, berkongsi gambaran operasi antara cabang perkhidmatan dan membuat keputusan pantas mungkin lebih penting daripada membeli satu sistem mahal tanpa rangkaian sokongan yang kukuh.
Dalam konteks Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan keselamatan ruang maritim negara, isu ini berkait dengan keperluan memperkukuh pengawasan, kesedaran situasi, pertahanan udara berlapis dan daya saling operasi antara agensi. Golden Dome bukan model untuk disalin, tetapi petunjuk arah bahawa perang masa depan semakin bergantung kepada sensor, data, ruang angkasa dan kelajuan keputusan.
Golden Dome ialah simbol perubahan zaman, AS sedang membina pertahanan tanah air untuk era ancaman yang lebih pantas, lebih pelbagai dan lebih sukar dijangka. Rusia dan China pula melihat projek itu melalui lensa pencegahan strategik, kestabilan nuklear dan persaingan kuasa besar.-airtimes.my







