Home DiskusiIndonesia buru kapal selam interim untuk tutup jurang pertahanan laut dalam

Indonesia buru kapal selam interim untuk tutup jurang pertahanan laut dalam

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

Indonesia kini berdepan persoalan kritikal dalam usaha mengekalkan kehadiran strategik bawah lautnya. Mampukah empat kapal selam aktif menampung keperluan maritim republik seluas lebih 17 ribu pulau, sementara menunggu ketibaan Scorpene Evolved yang hanya siap sekitar 2032?

Tidak mustahil, namun cukup berisiko melihat kepada ketidakstabilan rantau ketika ini.

Ketika dua buah kapal selam kelas Scorpene sedang dalam fasa pembinaan dan dijangka hanya akan siap beroperasi dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang, Tentera Laut Indonesia (TNI AL) mula mengatur langkah jangka pendek.

Menyedari tempoh menunggu yang terlalu panjang untuk menerima aset tersebut, TNI AL secara terbuka mengakui keperluan untuk memperoleh kapal selam interim bagi memastikan kekuatan bawah laut republik itu kekal terjamin.

Keperluan ini bukan sekadar bersifat taktikal, tetapi turut membawa maksud strategi jangka sederhana ke arah sasaran jangka panjang armada kapal selam Indonesia.

Indonesia memerlukan minimum keupayaan pencegahan yang realistik dalam menghadapi pelbagai kemungkinan, termasuk ancaman di kawasan perairan Natuna, Selat Melaka serta Laut Jawa.

Pada masa ini, negara itu hanya memiliki 4 kapal selam aktif terdiri daripada tiga buah kelas Nagapasa (Type 209/1400) dan sebuah kelas Cakra (Type 209/1300). Jumlah yang jauh daripada sasaran jangka panjang TNI AL yang menetapkan 12 buah kapal selam sebagai jumlah minimum ideal.

Menurut Ketua Staf Angkatan Laut (KSAL) Laksamana Muhammad Ali, keputusan untuk mendapatkan kapal selam tambahan merupakan langkah interim sementara menanti penyempurnaan kapal selam Scorpene yang dibina bersama Naval Group dari Perancis.

Tambah beliau, beberapa negara telah mengemukakan tawaran yang berbeza, merangkumi spesifikasi dan tempoh penyerahan yang kompetitif.

Kapal selam Type 214 keluaran export yang dibangunkan oleh ThyssenKrupp Marine Systems (TKMS) daripada Jerman (Foto: TKMS)

Tawaran pelbagai negara: Persaingan antara kuasa maritim

Antara tawaran paling sensitif secara geopolitik datang dari China. Negara itu difahamkan menawarkan kapal selam S26T, yang pada asalnya dibina untuk Thailand, namun tertangguh berikutan isu ketiadaan enjin Jerman.

China malah dilaporkan bersedia menyiapkan kapal tersebut untuk Indonesia dalam tempoh yang pantas, dengan beberapa perubahan sistem mengikut permintaan pengguna.

Jerman pula mencalonkan kapal selam Type 214 yang memiliki teknologi AIP dan dijangka boleh diserahkan dalam masa tiga tahun sekiranya rundingan dimuktamadkan awal.

Itali hadir dengan model U212 Near Future Submarine (NFS), iaitu varian terbaharu Type 212, yang memiliki autonomi tinggi dan kebisingan akustik rendah. Turki menawarkan kapal selam kelas Reis, manakala Sepanyol mencadangkan model S-80 Plus yang dibangunkan sendiri di Cartagena.

Dalam masa sama, TNI AL menegaskan kapal selam interim yang bakal dipilih mestilah memenuhi beberapa kriteria utama. Ia harus mempunyai sistem sensor dan peperangan yang setara dengan standard NATO, termasuk sistem SEWACO.

Di samping itu, kapal tersebut mestilah mampu melakukan misi selam jangka panjang, bersifat senyap dan boleh beroperasi dalam masa terdekat.

Dalam konteks realiti keupayaan industri pertahanan Indonesia, kapal interim ini hampir pasti akan dibina di luar negara memandangkan kekangan fasiliti dan kepakaran tempatan yang kini tertumpu kepada pembinaan Scorpene sahaja.

Berbeza dengan kebiasaan penghasilan berfasa satu demi satu, Naval Group dilaporkan akan mula membina kapal selam Scorpene Indonesia kedua apabila kapal selam pertama berada dalam fasa ditetapkan, bagi memastikan penghantarannya disiapkan dalam tempoh lebih cepat.

Proses pembinaan ini dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan PT PAL di Surabaya, di mana komponen utama dan latihan akan dipindahkan secara progresif.

Scorpene Evolved Full Lithium-Ion untuk TNI-AL

Dalam konteks serantau, negara jiran seperti Singapura telah pun memiliki armada kapal selam terkini jenis Type 218SG dari Jerman, manakala Vietnam mengoperasikan 6 buah kapal selam Kilo buatan Rusia.

Malaysia pula kini menilai keupayaan semasa dua buah kapal selam kelas Scorpene miliknya, yang sudah lebih satu dekad berkhidmat.

Walaupun sama-sama menggunakan nama Scorpene, kapal selam yang dibeli Indonesia merupakan varian terbaharu antara paling canggih dalam keluarga kapal selam serangan Naval Group.

Dikenali sebagai Scorpene Evolved Full Lithium-Ion, ia menggunakan sistem SUBTICS iaitu teknologi pengurusan peperangan terkini yang sesuai untuk operasi laut biru dan perairan cetek.

Selain itu, ia dibangunkan dengan teknologi bateri litium-ion sepenuhnya yang mampu memberikan autonomi pelayaran lebih lama, laju, operasi selam sehingga 12 hari tanpa perlu timbul ke permukaan serta tahap kebisingan akustik yang jauh lebih rendah.

Sebaliknya, Scorpene milik Malaysia merupakan versi awal CM-2000 yang tidak dilengkapi sistem litium-ion mahupun teknologi AIP. Perbezaan ini memberi kelebihan ketara dari segi keupayaan selam senyap dan tempoh misi bagi varian yang dimiliki Indonesia.

Dalam pada itu, Scorpene Evolved yang ditempah Indonesia belum pernah dilaporkan digunakan secara aktif oleh mana-mana negara lain ketika tempahan dibuat.

Selain menambah aset baharu, TNI AL turut merancang untuk menaik taraf dua buah kapal selam kelas Cakra yang sedia ada.

Program pemanjangan hayat atau life extension itu dilihat mampu memanjangkan usia operasi platform buatan Jerman Barat itu, sekurang-kurangnya sehingga armada baharu siap berkhidmat sepenuhnya dalam dekad akan datang.

Kapal selam kelas 209 tentera laut Indonesia (TNI-AL) yang diberi nama KRI Cakra (Foto: Pusat penerangan TNI)

Keutamaan, dana atau geopolitik?

Akhirnya, persoalan utama ialah siapakah yang bakal menandatangani kontrak pembelian kapal selam interim bersama TNI AL. Apakah TNI AL lebih cenderung kepada keutamaan teknikal, kesediaan penghantaran, keserasian sistem Barat atau kelangsungan hubungan geopolitik?

Membeli kapal interim dari China mungkin menyelesaikan masalah masa. Namun dari segi strategik, ia boleh membawa risiko ketidakselarasan sistem, kebergantungan logistik asing dan tekanan diplomatik daripada kuasa Barat.

Ini kerana China sangat agresif di Laut China Selatan, termasuk di kawasan ZEE Indonesia di sekitar Natuna. Walaupun Indonesia tidak mengiktiraf ada pertikaian wilayah di situ, kapal-kapal China kerap dilaporkan menceroboh kawasan tersebut.

Maka, sekiranya Indonesia membeli kapal selam dari China, ia berisiko dilihat sebagai terlalu akrab dengan Beijing, sedangkan dalam masa sama China kerap melanggar kepentingan maritim Indonesia.

Secara dalaman, keputusan membeli kapal dari China juga berpotensi mencetuskan kritikan politik, kerana rakyat dan pengkaji keselamatan Indonesia secara umum menganggap China sebagai ancaman, bukan rakan strategik utama.

Di peringkat antarabangsa pula, ia boleh mengganggu persepsi non-alignment Indonesia yang kini dilihat sebagai kuasa tengah atau middle power yang cuba mengekalkan keseimbangan antara blok Barat dan Timur.

Sebaliknya, memilih vendor dari NATO mungkin menjanjikan kestabilan jangka panjang dan integrasi sistem lebih mudah memandangkan Indonesia kini banyak bekerjasama dengan negara NATO seperti Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat dalam bidang pertahanan.

Namun tidak dinafikan, pementeraian perjanjian bersama anggota NATO mungkin hadir dengan kos pembelian yang lebih tinggi.

Apa jua keputusan Indonesia kelak, pilihan kapal selam interim ini bakal mencorakkan peta kekuatan bawah laut Asia Tenggara untuk sekurang-kurangnya satu dekad mendatang. -airtimes.my

#Diskusi #TNI-AL #Kapalselam #Scorpene

Related Articles

Leave a Reply