Jika dahulu perisikan bergantung kepada manusia di lapangan (HUMINT), kini dunia perisikan bergerak pantas ke arah automasi dan dominasi teknologi tinggi dalam mengumpul, menganalisis dan menafsir maklumat.Dron, satelit dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi tulang belakang kepada sistem perisikan moden.
Perang moden ketika ini tidak lagi bergantung kepada senapang tetapi kepada data yang mana musuh boleh dikenal pasti sebelum langkah pertama mereka.Maklumat juga boleh diperolehi dari langit oleh dron yang merakam setiap pergerakan, diperkukuh dengan satelit yang mengintai dari orbit, dan dianalisis sekelip mata oleh AI.
Ini bukanlah ramalan masa depan tetapi realiti perisikan moden yang kini bergerak lebih pantas, lebih tepat dan lebih senyap berbanding dulu.
Transformasi perisikan ini berakar daripada keperluan untuk mendapatkan maklumat strategik secara real time, tanpa pendedahan risiko kepada anggota manusia. Jika dahulu ejen perisikan menyelinap masuk ke lokasi musuh untuk mendapatkan maklumat, kini pesawat tanpa pemandu (UAV), sensor dan algoritma mampu melakukan kerja itu dari ribuan kilometer jauhnya.
Dron atau UAV menjadi antara aset utama dalam misi Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR). Amerika Syarikat (AS) misalnya, telah lama mengoperasikan MQ-9 Reaper dan RQ-4 Global Hawk sebagai platform pengintipan berprestasi tinggi. Menurut laporan RAND Corporation pada tahun 2023, lebih 90 negara kini memiliki keupayaan dron, dan sekurang-kurangnya 35 negara menggunakannya dalam misi risikan taktikal dan strategik.
Dalam konflik semasa seperti perang Ukraine-Rusia, keupayaan dron telah terbukti berkesan dalam mengenal pasti lokasi musuh, memantau kedudukan artileri, dan menyokong penilaian medan tempur secara langsung. Ianya telah membantu mengurangkan risiko kepada anggota di lapangan sambil mempercepat proses pemantauan dan keputusan operasi.
Asia Tenggara juga tidak ketinggalan dalam perlumbaan menaik taraf sistem pertahanan mereka selari dengan perkembangan pembangunan senjata moden ketika ini. Singapura, Indonesia dan Vietnam telah melabur secara agresif dalam teknologi dron ISR. Dalam masa sama, Malaysia menerusi Pelan Pembangunan Keupayaan ATM 2024–2040, sedang membangunkan sistem pemantauan berasaskan dron, termasuk dalam usaha memperkukuh keselamatan maritim dan sempadan darat.
Sementara itu, satelit turut memainkan peranan penting dalam perisikan strategik. Satelit pengintipan mampu memberikan maklumat resolusi tinggi tentang pergerakan ketenteraan, pembinaan kemudahan pertahanan, dan aktiviti maritim. AS melalui program seperti KH-11 telah membuktikan keberkesanan imej satelit dalam membantu operasi seperti pemburuan Osama Laden pada 2011.
Selain itu, China muncul sebagai kuasa baharu dalam medan satelit pengintipan ini. Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) melaporkan bahawa negara itu kini mengoperasikan lebih 250 satelit ISR aktif, termasuk siri Yaogan yang dipercayai digunakan untuk memantau pergerakan tentera laut asing di Laut China Selatan. Dominasi ini juga turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara-negara ASEAN yang terlibat dalam pertikaian wilayah maritim.
Kemunculan kecerdasan buatan (AI) turut memberi impak signifikan kepada perisikan moden di mana sistem AI membolehkan data yang dikumpul dari dron dan satelit dianalisis secara automatik dengan mengenal pasti corak pergerakan, mengecam wajah suspek, mengesan objek senjata dan meramal potensi ancaman. Di AS, operasi seperti Project Maven oleh Pentagon telah membolehkan ribuan jam rakaman video dianalisis dalam masa singkat, mempercepat proses membuat keputusan operasi.
Menerusi laporan daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada tahun lalu, sekurang-kurangnya 70 peratus agensi perisikan di negara maju kini mengintegrasikan AI dalam proses analisis data dan sokongan penilaian ancaman. AI juga digunakan dalam penapisan maklumat terbuka (OSINT), termasuk kandungan media sosial, portal berita dan imej satelit komersial.
Dalam era perisikan digital, pertanyaan utama adalah sejauh mana kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi ancaman yang tidak kelihatan namun berupaya memberi impak besar. Tanpa pelaburan teknologi dan pengukuhan keupayaan tempatan, negara berisiko menjadi pemerhati dan diperhatikan oleh kuasa lain.
Malah, kelewatan dalam penyaluran maklumat, kekurangan sistem bersepadu dan kebergantungan kepada input manusia akan membataskan lagi keberkesanan pemantauan ancaman rentas sempadan.
Perisikan moden bukan lagi permainan antara ejen dan penyamar, tetapi medan persaingan teknologi. Dron, satelit dan AI hanyalah alat, namun siapa yang mampu mengawal, mengintegrasi dan memanfaatkannya secara strategik akan mendahului dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan nasional. -airtimes.my
#RisikanModen #TeknologiPertahanan#DronISR#SatelitPengintipan#AIIntelligence #KeselamatanNasional #AncamanModen #Malaysia #Airtimes