ISTANBUL, 14 JUN – Presiden Vladimir Putin menyatakan kesediaan Rusia untuk menjadi pengantara bagi meredakan ketegangan antara Israel dan Iran susulan siri serangan udara Israel ke atas wilayah Iran sejak awal minggu ini.
Menurut Kremlin, Putin menyampaikan tawaran tersebut dalam perbualan telefon bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Jumaat, bagi mengelakkan konflik daripada terus memuncak di rantau Timur Tengah.
“Presiden Rusia menekankan keperluan penyelesaian secara aman terhadap pertikaian Israel-Iran dan menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan,” kata kenyataan rasmi Kremlin.
Pada masa sama, Putin turut mengadakan panggilan telefon berasingan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian. Dalam perbualan itu, beliau mengecam serangan terbaru Israel ke atas Iran dan sekali lagi menawarkan peranan Rusia sebagai pengantara untuk menenangkan keadaan yang semakin tegang.
Menurut laporan Anadolu Ajansi, Putin menyatakan komitmen Rusia untuk membantu mencari jalan keluar secara diplomatik.
“Kepentingan untuk menyelesaikan semua isu berkaitan program nuklear Iran secara eksklusif melalui kaedah politik dan diplomatik turut ditekankan,” ujar kenyataan Kremlin sambil menambah bahawa Moscow bersedia memainkan peranan aktif bagi mengelakkan ketegangan selanjutnya.
Dalam perbualan dengan Pezeshkian, Putin turut menyampaikan ucapan takziah kepada kepimpinan serta rakyat Iran atas korban nyawa yang berlaku akibat serangan Israel.
Putin turut menegaskan sokongan penuh Rusia dalam usaha damai berkaitan penyelesaian isu program nuklear Iran.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri Israel memaklumkan bahawa Netanyahu akan memberi taklimat kepada Putin berhubung perkembangan terkini situasi ketenteraan membabitkan kedua-dua negara.
Sementara itu, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berikrar akan memberikan respons keras bermula pada malam Jumaat sebagai tindak balas kepada operasi ketenteraan Israel yang dilancarkan awal pagi hari sama. Serangan Israel menyasarkan beberapa kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran serta dilaporkan mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan saintis terkemuka negara itu.
Serangan berterusan hingga ke malam Jumaat membabitkan beberapa bandar utama termasuk Tehran, Natanz, Tabriz dan Isfahan.
Dalam kenyataan lanjut, Moscow mengecam keras tindakan Israel yang disifatkan melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta prinsip undang-undang antarabangsa. -airtimes.my
#Airtimes #Rusia #Iran #Israel