BANGKOK, 23 SEPT – Tentera Laut Diraja Thailand (RTN) menandatangani kontrak baharu dengan syarikat pertahanan China bagi menyambung semula projek perolehan kapal selam yang tertangguh sebelum ini akibat isu enjin.
Perjanjian tersebut ditandatangani pada 17 September di ibu pejabat China Shipbuilding & Offshore International Co (CSOC) di Beijing.
RTN diwakili Panglima, Laksamana Jirapol Wongwit, manakala pihak CSOC diwakili Naib Presiden Eksekutif, Liu Song.
Kontrak pindaan itu membolehkan pembinaan kapal selam kelas Yuan S26T diteruskan dengan beberapa perubahan utama.
Perubahan paling kritikal ialah penggantian enjin diesel buatan Jerman MTU396 yang tidak dapat dieksport sejak sekatan 2021 dengan enjin buatan China, CHD620.
Menurut laporan Bangkok Post pada 19 September lalu, tempoh pembinaan turut dilanjutkan sebanyak 1,217 hari (40 bulan) daripada jadual asal. Penyerahan kapal selam pertama kini dijadualkan pada hujung 2028.
Sebagai latar, projek kapal selam ini pada asalnya dimeterai pada 2017 menerusi kontrak kerajaan-ke-kerajaan dengan kos 13.5 bilion baht (RM1.7 bilion).
RTN sebelum ini menolak cadangan penggantian enjin Jerman, MTU396 kepada enjin buatan China, CHD620. Malah, Thailand juga pernah memberi bayangan untuk membatalkan perolehan sekiranya CSOC gagal memenuhi spesifikasi asal. – airtimes.my
#Aset #kapalselam #China #Thailand #perolehan #airtimes #pertahanan #CSOC #Maritim





