Home Pertahanan dan Keselamatan Boustead Heavy Industries dapat lanjutan kontrak senggaraan kapal selam Scorpene

Boustead Heavy Industries dapat lanjutan kontrak senggaraan kapal selam Scorpene

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memberi kepercayaan kepada subsidiari milik penuh Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) kontrak lanjutan berkaitan kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kontrak bernilai RM3.5 juta diberikan kepada BHIC Submarine Engineering Services Sdn. Bhd. (BSES) untuk penjagaan kemudahan kapal selam.

Surat anugerah kontrak berkenaan bertarikh pada 14 Februari lalu untuk tempoh kontrak adalah selama 45 hari.

Kontrak rasmi antara kerajaan Malaysia dan BSES akan dimuktamadkan dan dilaksanakan kemudian, maklum BHIC kepada Bursa Saham Malaysia.

“Lanjutan daripada pengumuman bertarikh 18 Mei 2023, syarikat kini mengumumkan bahawa pada 26 Februari 2024, BSES, anak syarikat milik penuh BHIC, telah menerima Surat Anugerah bertarikh 14 Februari 2024 daripada Kementerian Pertahanan Malaysia.

“Ia mewakili kerajaan menganugerahkan BSES lanjutan kepada Kontrak Penyelenggaraan Kemudahan Kapal Selam untuk TLDM pada nilai kontrak RM3.5 juta untuk tempoh kontrak selama 45 hari mulai 1 Januari 2024 hingga 14 Februari 2024,” kata pemakluman itu.

Menurut BHIC, kontrak tersebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan BHIC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Pada Mei 2023, BHIC telah memperoleh dua kontrak kapal selam TLDM dengan nilai gabungan RM140.06 juta daripada MINDEF.

BSES telah dianugerahkan kontrak bernilai RM99.8 juta untuk sokongan perkhidmatan interim bagi kapal selam Kelas Perdana Menteri TLDM.

Tempoh kontrak tersebut adalah 11 bulan bermula 15 Mac tahun ini sehingga 14 Februari 2024.

Sementara itu, satu lagi makluman mendedahkan bahawa BSES telah menerima lanjutan kontrak penyelenggaraan kemudahan kapal selam TLDM bernilai RM40.26 juta.

Kontrak itu adalah untuk tempoh 12 bulan bermula 1 Januari sehingga akhir Disember tahun itu.

Pada April 2021, kumpulan itu memperoleh kontrak penyelenggaraan kemudahan kapal selam bernilai RM78.14 juta untuk tempoh dua tahun, dari 1 Januari 2021 hingga 31 Dis 2022.

TLDM mengoperasikan dua kapal selam Scorpene dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, Sepanyol.

KD Tunku Abdul Rahman diterima pada September 2009 manakala kapal selam kedua negara, KD Tun Razak pada Julai, 2010. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply