Home Teknologi Pertahanan Jepun mahu guna UAV pintas pesawat penceroboh: Bayraktar atau Reaper?

Jepun mahu guna UAV pintas pesawat penceroboh: Bayraktar atau Reaper?

by M.Daim

TOKYO, 5 Mac – Kerajaan Jepun akan memilih sama ada untuk memperolehi Bayraktar TB2 atau MQ-9 Reaper bagi tujuan untuk mengesan serta memintas penceroboh di perairan dan udara negara itu.

Selain daripada itu, Negara Matahari Terbit itu sedang memperkemaskan prosedur mereka dalam melakukan pemintasan terhadap kapal serta pesawat penceroboh.

Menurut laporan media Jepun, Angkatan Pertahanan Diri Jepun (Self Defense Force, SDF) dijangka akan menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi mengesan kapal-kapal asing yang menceroboh perairan mereka.

Kos operasi jet pejuang untuk memintas penceroboh dianggarkan 40 kali ganda lebih mahal dari pengoperasian UAV bagi tujuan yang sama. Foto: USAF

“Penggunaan UAV dalam mengesan kapal-kapal tentera asing yang menceroboh perairan Jepun akan bermula pada tahun ini,

“Ini bagi melihat keberkesanan dan keupayaan UAV untuk melakukan tugas tersebut,” kata laporan itu.

Menurutnya, operasi pesawat tentera China berhampiran di ruang udara Jepun kian meningkat. Ini menyebabkan peningkatan kos operasi serta beban kepada anggota SDF.

“Kos operasi menerbangkan jet pejuang bagi tujuan mengesan dan memintas dianggarkan 40 kali ganda lebih tinggi berbanding penggunaan UAV,

“Matlamat utama adalah untuk menghantar UAV bagi mengenal pasti pesawat yang menghampiri atau memasuki ruang udara Jepun,

“Sekiranya risiko ancaman adalah tinggi, jet pejuang akan dihantar bagi tujuan pemintasan,” katanya.

Tambah laporan itu, penggunaan UAV dilihat akan membawa perubahan besar dan mengurangkan risiko kepada anggota SDF.

MQ-9 Reaper mempunyai beberapa varian tersendiri. UAV ini turut menjalani pelbagai tingkat upaya semenjak ia dioperasikan oleh Amerika Syarikat pada tahun 2007.

Selain daripada itu, SDF dilaporkan mengalami kekurangan anggota disamping perlu melakukan pengambilan rekrut yang baharu bagi memenuhi keperluan semasa.

“Memastikan keupayaan pertahanan berada di tahap tertinggi adalah mustahak walaupun berhadapan dengan masalah kekurangan sumber manusia,” jelas laporan media Jepun.

Semenjak 2 tahun lalu, Jepun telah menyuarakan hasrat mereka untuk memiliki UAV bagi tujuan pertahanan negara itu.

General Atomics sebelum ini telah melakukan ujian penerbangan MQ-9 Reaper dengan Pasukan Pengawal Pantai Jepun (JCG) di pangkalan Angkatan Pertahanan Diri Maritim Jepun (JMSDF). Media pertahanan antarabangsa turut melaporkan Jepun berminat untuk memperolehi SeaGuardian, vairan MQ-9 Reaper khusus untuk operasi maritim.

Selain itu, Tokyo turut melihat kemungkinan untuk memperolehi UAV Bayraktar TB2 keluaran syarikat pertahanan Turkiye, Baykar.

Turkiye menawarkan Bayraktar TB2 kepada Jepun. UAV keluaran Baykar ini mempunyai reputasi tersendiri di peringkat global.

Pada tahun lalu, Menteri Luar Turkiye, Mevlut Cavusoglu menyatakan kerjasama pertahanan dengan Jepun mempunyai ruang untuk dipertingkatkan dan memungkinkan penjualan Bayraktar TB2.

Bayraktar TB2 mempunyai reputasi tersendiri di peringkat antarabangsa berikutan penggunaan UAV ini dalam beberapa siri konflik global termasuk Nagarnokarabakh dan Perang Ukraine-Rusia 2022.

UAV keluaran Turkiye ini dilaporkan lebih murah berbanding produk dikeluarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel walaupun mempunyai kekurangan tersendiri dari segi teknologi. Selain itu, Bayraktar tidak mempunyai terlalu banyak sekatan eksport dan lebih berprestasi daripada UAV buatan China serta Iran. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply