Home Pertahanan dan Keselamatan 10 tahun Op Daulat: Lukanya masih terasa, adakah kita masih ingat?

10 tahun Op Daulat: Lukanya masih terasa, adakah kita masih ingat?

by M.Daim

Hari ini, sedar tak sedar, 10 tahun sudah Op Daulat berlalu. Pada awal pagi 5 Mac 2013, ruang angkasa Lahad Datu digegarkan dengan kehadiran jet pejuang F/A-18D Hornet dan Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Serangan udara oleh aset-aset TUDM ini diiringi dengan serangan mortar Tentera Darat Malaysia (Tentera Darat).

Serangan ofensif ini merupakan pembuka tirai kepada Op Daulat, menggantikan Op Sulu  yang dilancarkan pada peringkat awal pencerobohan oleh Royal Sulu Forces (RSF).

Tindakan tegas oleh Malaysia pada ketika itu merupakan satu perkara yang dinanti-nantikan oleh rakyat yang sebelum itu dihidangkan dengan 2 khabar duka.

Pertama, pertempuran di Kampung Tanduo yang mengorbankan 2 anggota VAT 69 Komando dari Polis Diraja Malaysia  (PDRM) pada 1 Mac. Belum sempat masyarakat seluruh negara pulih dari khabar tersebut, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan khabar duka bahawa 6 orang anggota PDRM gugur dalam insiden serang hendap di Kampung Simunul.

Lantaran dari kedua-dua kejadian ini, rakyat tumpang berduka dengan nasib ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang akibat perbuatan durjana musuh. Dari pengalaman penulis, bermacam reaksi yang dapat dilihat dari kalangan rakyat. Ada yang bersedih dan tidak kurang juga marah. Malah, ada yang menyuarakan solidariti mereka kepada ahli keluarga anggota keselamatan yang gugur.

Rasa sedih sudah tentu dirasai apabila gambar dan video ahli keluarga dipaparkan di dada akhbar mahupun kaca televisyen.

Rasa marah sememangnya berasas kerana kumpulan penceroboh telah diberi peluang untuk keluar dari Lahad Datu. Malah, meja rundingan dibuka dengan azam bahawa isu ini akan diselesaikan melalui diplomasi dan tiada pertumpahan darah.

Malang sekali, matlamat tersebut tidak dicapai apabila peristiwa 10 pagi 1 Mac 2013 berlaku.

Seperti yang kita ketahui, operasi ini telah berjaya mencapai matlamatnya iaitu menumpaskan anggota RSF yang telah menganggu gugat kedaulatan negara setelah berminggu lamanya menceroboh kedaulatan Sabah.

Kejayaan operasi ini kemudiannya membawa kepada penubuhan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) sebagai mana yang kita dapat lihat pada hari ini.

Secara keseluruhan, seramai 8 anggota PDRM dan 2 anggota ATM terkorban sepanjang konflik yang berlaku selama 57 hari.

Walaupun 10 tahun berlalu, peristiwa Lahad Datu semakin lama semakin dilupakan. Walhal, isu berkaitan Sabah masih lagi membuak-buak umpama bom jangka.

Malah, terdapat laporan menyatakan hasrat “Kesultanan Sulu” untuk menawan kembali Sabah masih lagi tidak padam. Selain daripada itu, aset-aset negara seperti PETRONAS mula dijadikan sebagai sasaran melalui tuntutan oleh “waris Kesultanan Sulu”.

Tambahan pula, individu yang mendakwa waris Kesultanan Sulu yang sah menyatakan terdapat beberapa pihak terlibat dalam peristiwa 2013 ini mempunyai kaitan dengan usaha merampas aset-aset negara.

Selain daripada itu, insiden 2013 disifatkan sebagai usaha untuk membawa keluar Sabah dari Malaysia.

Apa yang pasti insiden ini menutup terlalu perkara yang dibangkitkan secara berulang kali. Antaranya, persoalan “Kita hendak berperang dengan siapa?”. Hakikatnya, konflik Lahad Datu 2013 sudah cukup memberikan petanda bahawa bila-bila masa sahaja kedaulatan negara ini tergugat dan kita perlu bersedia. – airtimes.my

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=iaKAASWlGnk[/embedyt]

Related Articles

Leave a Reply