Home SemasaGlobal Iran mula operasikan UAV berupaya untuk jejak kapal selam

Iran mula operasikan UAV berupaya untuk jejak kapal selam

by M.Daim

TEHRAN, 21 APRIL – Tentera Laut Republik Iran (NEDAJA) mula mengoperasikan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memburu dan mengesan kapal selam.

Perkara tersebut dinyatakan Panglima Tentera Laut Iran, Rear Admiral Shahram Irani.

Menurut beliau, UAV tersebut dilengkapi dengan sonar bagi mengesan kapal selam yang berada di bawah permukaan laut.

“Tentera laut telah memasuki era baharu dalam mencari dan mengesan vesel dan kapal selam serta memusnahkan mereka dengan menggunakan dron,

“Keupayaan ini telah pun mula digunakan dalam Iran,” katanya dalam satu wawancara eksklusif media Iran, Tasnim.

Beliau menambah, kelengkapan sonar tersebut adalah dihasilkan oleh industri pertahanan Iran.

Melihat kepada perkembangan operasi UAV ini oleh Iran, pengumuman oleh Panglima Tentera Laut negara Teluk itu dilihat bertepatan dengan perkembangan kehadiran kapal selam Amerika Syarikat di kawasan berhampiran.

Pun begitu, Iran dilihat agak berahsia dengan aset strategik mereka, sesuai dengan status negara itu di persada geopolitik dunia. Sama ada ia sekadar gertak ataupun tidak, Iran mempunyai keupayaan serta kemampuannya tersendiri dalam industri pertahanan mereka.

Kapal selam merupakan aset strategik mana-mana negara kerana kemampuannya untuk beroperasi di bawah permukaan untuk jangka waktu, bergantung kepada jenis enjin yang digunakan.

Selain digunakan untuk memburu kapal dan kapal selam, ia turut digunakan sebagai platform untuk melancarkan peluru berpandu kruis mahupun balistik sekiranya diperlukan.

Keupayaan dan kemampuan kapal selam untuk mempertahankan mahupun mengancam laluan hubungan laut telah lama terbukti dalam sejarah konflik dunia.

Sesuai dengan perkembangan teknologi semasa, kapal selam yang dilengkapi dengan senjata pemusnah sudah tentu menjadikan ia sebagai satu ancaman yang besar kepada mana-mana negara. Selain itu, ia turut menjadi faktor cegah rintang (deterrence factor) oleh mana-mana negara termasuk negara kecil dalam menghadapi ancaman semasa.

Pada masa yang sama, teknologi mengesan kapal selam berkembang dari masa ke semasa. Selain menggunakan sonar pada kapal, operasi mengesan kapal selam turut merangkumi penggunaan boya sonar (sonobuoy) pada pesawat rondaan maritim dan helikopter.

Pun begitu, penggunaan UAV untuk memikul tugas ini bukanlah sesuatu yang mustahil dan mungkin ia masih diperingkat awal aplikasi teknologi yang mungkin akan diperhalusi pada masa hadapan.

Tambahan pula, penggunaan UAV dilihat lebih menjimatkan kos jika dibandingkan dengan penggunaan beberapa aset yang sedia ada.

Perkara ini telah pun dikaji oleh Jepun pada awal Mac lalu seperti yang dilaporkan oleh Air Times. Tokyo pada ketika ini sedang mempertimbangkan perolehan UAV bagi tujuan untuk mengesan aset negara asing yang menceroboh perairan serta ruang udara mereka. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply