LAMITAN CITY, 10 JUN – Wilayah Basilan di Filipina secara rasmi diisytiharkan bebas daripada pengaruh dan kehadiran Abu Sayyaf Group (ASG), menandakan berakhirnya era keganasan yang telah membelenggu wilayah itu selama beberapa dekad.
Pengisytiharan itu dibuat dalam satu majlis rasmi di Lamitan City pada Isnin, yang dipimpin oleh Setiausaha Penasihat Presiden bagi Keamanan, Pendamaian dan Perpaduan, Carlito Galvez Jr, serta Penolong Khas Presiden, Antonio Lagdameo Jr.
Ia disifatkan sebagai satu pencapaian bersejarah hasil usaha gabungan pelbagai pihak termasuk kerajaan tempatan, angkatan tentera, serta masyarakat awam yang menolak keganasan.
“Dulu Basilan berdarah. Kini ia menjadi simbol keamanan hasil usaha semua pihak, bukan kekuatan senjata semata-mata,” ujar Galvez, yang pernah mengetuai Komando Mindanao Barat dan juga pernah berkhidmat di Basilan sebagai komander briged pada tahun 2012.

Sebahagian senjata api rampasan pelbagai jenis yang dimusnahkan menerusi program pemulihan wilayah Basilan (Foto: Provincial Government of Basilan)
329 senjata diserahkan dalam program pemulihan
Dalam majlis itu, sebanyak 329 senjata api pelbagai jenis telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan dan Angkatan Tentera Filipina (AFP) melalui Program Pengurusan Senjata Kecil dan Ringan (SALW), yang dikendalikan oleh Pejabat Penasihat Presiden mengenai Keamanan, Pendamaian dan Perpaduan (OPAPRU).
Program ini menjadi tonggak utama dalam proses pemulihan wilayah yang pernah menjadi kubu kuat kumpulan pengganas tersebut.
Menurut pihak kerajaan, pengisytiharan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya diasaskan atas kejayaan operasi ketenteraan, kerjasama risikan, dan penolakan berterusan oleh rakyat terhadap ideologi keganasan.
“Ini bukan hanya kejayaan kerajaan pusat. Ia adalah kemenangan rakyat Basilan sendiri. Anda pilih jalan damai,” kata Lagdameo ketika berucap dalam majlis tersebut.
Dari bayang keganasan ke simbol keamanan
Dalam pada itu, Gabenor Basilan, Hadjiman Hataman-Salliman turut berkongsi pengalaman semasa zaman kemuncak pengaruh ASG di kawasan Tipo-Tipo yang pernah memaksa tindakan ketenteraan besar-besaran. Namun kini, katanya, masyarakat Basilan tampil dengan semangat baharu dan minda
yang positif untuk menolak keganasan secara kolektif.
Bagi Datuk Bandar Lamitan, Roderick Furigay, majlis itu bukan sekadar tamatnya konflik, sebaliknya permulaan kepada bab baharu yang membawa harapan, kesatuan dan pembangunan mampan.
“Keamanan ini hasil keberanian rakyat, dedikasi pasukan keselamatan, dan kesatuan kepimpinan. Kini kita perlu jaga dan pelihara keamanan yang telah dicapai,” katanya.

Monumen dibina memaparkan seekor burung merpati putih membawa ranting zaitun, mendarat ke dalam dua tangan yang dibentuk daripada senjata dilucutkan sebagai simbolik keamanan. (Foto: Provincial Government of Basilan)
Deklarasi berpaksikan resolusi bersama
Pengisytiharan Basilan sebagai wilayah bebas ASG berasaskan kepada resolusibersama Majlis Keamanan dan Ketenteraman Wilayah serta Majlis Anti-Dadah Wilayah yang dikeluarkan pada 6 Februari 2025.
Resolusi itu menyatakan kejayaan membongkar keupayaan operasi ASG hasil penyatuan usaha kerajaan negeri, AFP, Polis Negara Filipina (PNP) dan pihak berkepentingan lain. Selain menjadi zon bebas keganasan, Basilan kini menjadi lambang transformasi nasional Filipina.
Masyarakatnya memilih untuk bangkit daripada kesan trauma lampau melalui inisiatif pembangunan, normalisasi setempat dan sokongan menyeluruh kerajaan.
Di tengah Lamitan, sebuah monumen keamanan turut didirikan. Ia memaparkan seekor burung merpati putih membawa ranting zaitun, mendarat ke dalam dua tangan yang dibentuk daripada senjata dilucutkan. Simbolik ini melambangkan keazaman rakyat Basilan untuk menutup bab keganasan dan menulis semula naratif mereka dengan damai dan harapan. – airtimes.my
#Global #AbuSayyaf #AirTimes #Basilan