Bayraktar TB3 bukan sekadar pesawat tanpa pemandu, malah salah satu lambang keupayaan strategik Turkiye yang kian mendominasi di ruang udara maritim. Dengan rekod pencapaian ujian penerbangan dari kapal serangan amfibia TCG Anadolu dan serta kemampuan serangan jarak jauh, TB3 kini mengubah definisi operasi udara dari kapal.
Pada 22 April 2025 lalu, TB3 terus melakar sejarah dengan berjaya melaksanakan empat operasi penerbangan autonomi sepenuhnya dari kapal TCG Anadolu.
Hasil integrasi sistem kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh Baykar, membuahkan hasil dengan berjaya mencapai lebih 100 operasi penerbangan dari kapal serangan amfibia TCG Anadolu.
Justeru, ujian ini telah menandakan kejayaan pertama dalam sejarah dunia, apabila pesawat tanpa pemandu (UCAV) itu melepasi landas dan mendarat dari kapal berdek gelung pendek tanpa menggunakan sebarang peralatan pendaratan tambahan.
“Semua proses berlaku secara penuh autonomi, dengan algoritma pemprosesan imej berasaskan AI yang menyesuaikan diri secara langsung dengan pergerakan kapal,” nyatanya.
Baykar sebuah syarikat pembuatan dron terkenal di Turkiye menjelaskan, sistem ini mampu melaksanakan pengesanan visual terhadap landasan kapal, garis pendaratan, sudut pendekatan, dan titik hentian.
Sehingga April 2025, TB3 telah merekodkan 1,016 jam dan 42 minit penerbangan, melibatkan 709 operasi penerbangan ujian yang dijalankan sejak kemunculan awalnya pada penghujung 2023. Lebih penting lagi, TB3 turut berjaya melaksanakan ujian peluru berpandu UAV-122 buatan Roketsan pada 25 dan 27 Mac 2025.
Pada masa sama, ujian tersebut turut memperlihatkan TB3 melancarkan peluru berpandu supersonik ke atas sasaran maritim dengan bantuan sistem penandaan sasaran dari TB2. Hal ini, membuktikan kemampuan operasi bersama antara dua platform UAV dalam lingkungan serangan kompleks.
Dalam pada itu, rekod lain turut dicatatkan apabila TB3 menggunakan enjin tempatan PD-170 dan mencapai altitud setinggi 36,310 kaki pada 25 Jun 2024. Ini menandakan keupayaan sistem untuk beroperasi dalam altitud tinggi, satu faktor penting untuk misi jarak jauh dan tinjauan strategik.
Jelaslah, data ini menunjukkan tahap kematangan teknologi TB3 dalam pelbagai senario ujian yang mencabar.

Sementara itu, rekaan TB3 yang direka dengan sayap boleh lipat serta sistem komunikasi laur garis penglihatan (Beyond Line of Sight), membolehkannya beroperasi dari kapal dan pangkalan terpencil.
Hal ini, dengan reka bentuk tersebut membolehkannya dikendalikan dari jauh bagi melaksanakan misi tinjauan, pengintipan, dan serangan menggunakan peluru berpandu pintar seperti MAM-L dan MAM-T.
Dari sudut konteks geopolitik, keupayaan ini memberi Turkiye kelebihan untuk melaksanakan operasi udara di kawasan jauh dari sempadannya, terutamanya di Laut Mediterranean, Laut Aegea dan zon luar pesisir, serta memberikan elemen pencegahan (deterrence) dan tindak balas segera terhadap sebarang ancaman.
Terdahulu, TB3 turut dipamerkan dalam beberapa ekspo pertahanan antarabangsa seperti NAVDEX 2025 dan LIMA 2025. Kehadiran TB3 dalam acara ini, menunjukkan komitmen Turkiye mempromosikan keupayaan UAV maritimnya ke pasaran Asia dan Timur Tengah.
Baykar sebelum ini, mencatatkan eksport bernilai AS$1.8 bilion bagi tahun 2023 dan 2024 , hasil daripada pembiayaan projek UAV sepenuhnya melalui dana dalaman serta komitmen bagi mengeksport 90% daripada pengeluarannya, menjadikannya pemain utama dalam pasaran UAV global.
Oleh demikian, kejayaan TB3 bukan sahaja membuktikan satu pencapaian teknologi yang kukuh, malah menjadi pemangkin kepada strategi gabungan ketenteraan laut-darat-udara Turkiye yang mengukuhkan posisi Ankara di arena pertahanan serantau. -airtimes.my
#Airtimes #BayraktarTB3 #Baykar #UCAV #Ankara #Turkiye
