KUALA LUMPUR, 10 Jun – Kerajaan digesa memberi perhatian serius terhadap cadangan membina semula Jalan Raya Timur Barat (JRTB) serta menubuhkan Pasukan Tindak Pantas kekal di Pulau Banding susulan tragedi kemalangan yang meragut 15 nyawa awal pagi semalam.
Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob berkata, kewujudan pasukan khas yang dilengkapi keupayaan perubatan kecemasan, bantuan teknikal dan logistik amat penting bagi memberi bantuan awal kepada mangsa kemalangan.
“Pasukan ini menempatkan klinik, ambulans, polis (PDRM), bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan RELA yang dapat membantu mencegah kemalangan maut di JRTB tanpa perlunya menunggu pasukan penyelamat daripada Bandar Gerik atau Jeli semata-mata,
“Ini kerana tempoh perjalanan untuk ke JRTB Pulau Banding mengambil masa antara 45 minit hingga 1 jam atau lebih,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kemalangan yang berlaku di Kilometer 53 JRTB Gerik–Jeli, berhampiran Tasik Banding itu, mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), selepas bas yang dalam perjalanan dari Terengganu ke kampus berlanggar dengan bahagian belakang sebuah kenderaan Perodua Alza sebelum terbalik.
Mengambil kira keadaan jalan yang uzur dan usang, Ahli Parlimen itu turut menegaskan keperluan membina semula JRTB yang dibina sejak tahun 1967 dengan reka bentuk dan teknologi baharu, termasuk pelebaran jalan, pemasangan lampu, garisan jalan dan papan tanda yang lebih jelas.
Tambahnya, pembinaan semula perlu mengambil kira aspek pemeliharaan hidupan liar di Hutan Simpan Royal Belum, dengan membina laluan khas seperti jejambat, terowong bawah tanah atau struktur jalan tinggi seperti Rawang Bypass.
“Tragedi ini seharusnya menjadi titik tolak untuk kita membina infrastruktur yang selamat dan berdaya tahan. Ini bukan sekadar soal kemudahan, tetapi soal nyawa rakyat,” tegas beliau.
Beliau berharap insiden ini menjadi peringatan serius kepada semua pihak tentang pentingnya keselamatan jalan raya dan keperluan mendesak memperkukuh prasarana sedia ada demi kesejahteraan rakyat. -airtimes.my
#semasa #airtimes #Gerik #UPSI #kemalangan