KUALA LUMPUR, 27 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan empat mata dengan Premier China, Li Qiang, sempena Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China bagi memperkukuh hubungan strategik dua hala serta kerjasama serantau demi kepentingan bersama.
Pertemuan itu mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh sinergi terutama dalam menghadapi cabaran global dan perubahan geopolitik semasa.
“Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, menghargai peranan aktif dan komitmen China dalam menyokong agenda kerjasama serantau, di samping memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai bidang utama.
“Sinergi antara kedua negara penting untuk dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi, projek infrastruktur dan pengangkutan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” jelasnya dalam hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha menangani pertikaian di Laut China Selatan secara diplomatik, mengemaskini perkembangan Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), serta memperluas kerjasama dalam sektor industri halal dan perdagangan.
Anwar turut menjelaskan, sidang Kemuncak ASEAN 2025 mencerminkan usaha Malaysia dalam memimpin benua ini dengan matlamat memperkukuh kesepaduan, memacu kerjasama ekonomi dan menangani isu serantau secara diplomatik dan pragmatik.-airtimes.my
#ASEAN2025 #Malaysia #China #kerjasama #semasa
