KUALA LUMPUR, 27 Mei – Aksi berani Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan menerbangkan sendiri pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM semasa pertunjukan udara di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) menjadi detik paling membanggakan buat ramai pengunjung, termasuk bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Panglima Tentera Udara Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan menyempurnakan penerbangan bersama pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM milik TUDM sempena LIMA ’25. – Foto: Facebook TUDM
Flait Sarjan (Bersara) Syamsuddin Abdullah, yang hadir bersama keluarganya dari Pulau Pinang berkata, beliau amat terharu dan bangga melihat Panglima TUDM sendiri menerbangkan pesawat kebanggaan negara itu.
“Saya sebagai bekas anggota TUDM yang berkhidmat selama 21 tahun sangat berasa bangga,
“Sukhoi merupakan aset pertahanan negara yang hebat dan apabila diterbangkan oleh Panglima sendiri, ia menunjukkan satu yang membanggakan,” katanya ketika ditemui Air Times semasa segmen akhir maritim sempena LIMA ’25 pada Sabtu lalu.

Flait Sarjan (Bersara) Syamsuddin Abdullah tidak dapat menyembunyikan rasa bangga apabila menyaksikan sendiri Panglima TUDM menerbangkan pesawat Sukhoi semasa LIMA ’25 di Langkawi. – Foto: Zul Fadhli/Air Times
Beliau turut memuji aset-aset canggih yang dipamerkan oleh ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi keselamatan lain.
“Kita tak ketinggalan dari segi teknologi. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan TUDM. Semua pamer kekuatan dengan anggota-anggota yang terlatih, ia memang amat membanggakan,” ujarnya lagi.
Isterinya, Fauziah Mohamad Noor, yang hadir bersama 25 ahli keluarga lain, turut melahirkan keterujaan melihat pertunjukan udara secara dekat buat pertama kali.
“Kami datang dari Pulau Pinang. Ini kali pertama hadir ke LIMA dan rasa sangat gembira. Pertunjukan udara sangat menarik, terutamanya bila dapat tengok Sukhoi dan Hornet beraksi,
“Kami dapat ambil gambar, Alhamdulillah,” katanya.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah Fauziah Mohamad Noor, yang hadir ke LIMA ’25 bersama keluarganya buat pertama kali bagi menyaksikan pertunjukan udara secara langsung. – Foto: Pasri/Air Times
Beliau turut menyatakan mereka sekeluarga tidak sabar menanti persembahan maritim yang dijadualkan berlangsung pada sebelah petang.
“Kami sangat teruja dapat tengok aset-aset pertahanan negara dari dekat. Rasa bangga dan InsyaAllah kalau ada lagi tahun 2027, kami akan datang semula,” ujarnya.
LIMA ’25 telah melabuhkan tirainya pada 24 April lalu dengan kehadiran kira-kira 450,000 pengunjung daripada kesemua kumpulan komersial dan perniagaan, delegasi dalam negara dan antarabangsa serta orang awam.
Pameran dwitahunan anjuran Kementerian Pertahanan dengan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) kali ini memberi penekanan pada inovasi serta peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri sejajar perkembangan teknologi semasa.
Pameran kali ini adalah pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.-airtimes.my
#AirTimes #LIMA25 #TUDM #ATM #Maritim #TLDM #SukhoiSu30MKM #Malaysia