Di sebalik kebimbangan mengenai kemungkinan tercetusnya ketegangan yang lebih besar dan dakwaan bahawa jet pejuang Rafale telah ditembak jatuh semasa India melancarkan Operasi Sindoor, terdapat satu lagi perkembangan yang turut mencuri perhatian.
Kini, tumpuan komuniti pemerhati pertahanan antarabangsa beralih kepada penemuan bangkai peluru berpandu udara ke udara buatan China, PL-15E. Walaupun tidak diketahui sama ada peluru berpandu itu mengenai sasaran atau tidak, penemuan ini secara tidak langsung mengesahkan bahawa sistem senjata tersebut telah digunakan buat pertama kali dalam medan pertempuran sebenar.
Perkara ini pada awalnya hanya tular di laman sosial X (Twitter) sebelum disahkan oleh pelbagai sumber ketenteraan dan juga hasil pencarian secara OSINT (Open-Source Intelligence) di platform tersebut.
Serpihan peluru berpandu tersebut ditemui selepas Operasi Sindoor dilancarkan. Gambar-gambar yang memaparkan bahagian ekor dan beberapa komponen utama peluru berpandu itu mula tersebar luas di media sosial, terutamanya di platform X. Penyelidik pertahanan bebas dan pakar analisis senjata segera mengenal pasti serpihan berkenaan sebagai milik PL-15E, iaitu versi eksport bagi peluru berpandu jarak jauh yang dihasilkan oleh China.

Komponen elektronik dipercayai milik bangkai peluru berpandu udara ke udara PL-15E yang ditemui di kawasan berhampiran sempadan India. Foto: X (Twitter)
Laporan awal yang diterbitkan oleh beberapa portal pertahanan termasuk The War Zone dan Army Recognition memperincikan bahawa serpihan itu memiliki ciri-ciri PL-15E, khususnya reka bentuk sayap dan struktur sirip kawalan yang dilengkapi sistem kawalan penerbangan canggih.
Penemuan ini menjadi penting kerana ia membuktikan buat pertama kalinya bahawa peluru berpandu tersebut telah digunakan dalam pertempuran sebenar oleh Pakistan.
Pengesahan penggunaan PL-15E oleh Pakistan datang hanya beberapa minggu selepas laporan mengenai penghantaran peluru berpandu itu oleh China.
Pada penghujung April lalu, China dilaporkan telah mempercepatkan penghantaran peluru berpandu ini kepada Pakistan susulan ketegangan yang semakin meningkat antara Islamabad dan New Delhi. Difahamkan, pemindahan tersebut telah dilakukan dalam skala besar yang melibatkan bantuan teknikal serta logistik dari Beijing kepada Islamabad.
Walaupun pihak China tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi secara terbuka, tindakan yang diambil ini dipercayai bagi menyokong rakan strategiknya di Asia Selatan itu dalam menghadapi tekanan ketenteraan daripada India.
Pemerhati pertahanan antarabangsa melihat perkembangan ini sebagai satu dimensi baru dalam keseimbangan kuasa udara antara dua negara jirannya itu. Penganalisis turut mengaitkan penghantaran ini mempunyai unsur geopolitik, di mana China memberi sokongan ketenteraan kepada Pakistan.
Peluru berpandu PL-15E merupakan salah satu senjata tercanggih buatan China dalam kategori Beyond Visual Range Air-to-Air Missile (BVRAAM). Ia direka untuk menyerang pesawat musuh dari jarak jauh, melebihi kemampuan sistem radar konvensional.

Model PL-15E, peluru berpandu udara ke udara jarak jauh ini direka oleh China untuk kuasa tembak generasi akan datang. Foto: X (Twitter)
Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh beberapa firma analisis pertahanan, PL-15E berupaya mencapai jarak sejauh 145 kilometer dan mempunyai kelajuan supersonik. Jarak serangan ini adalah berbeza dengan varian domestik (untuk kegunaan tentera China) yang dilaporkan mampu menjangkau jarak 200 hingga 300 kilometer.
Peluru berpandu ini turut menggunakan radar aktif dan dilengkapi sistem pemacu ‘dual-pulse rocket motor’ yang membolehkannya mengunci sasaran dengan lebih tepat dalam pelbagai cuaca serta keadaan pertempuran.
Selain daripada kemampuan jarak jauh, PL-15E juga memiliki keupayaan high maneuverability (keupayaan untuk melakukan gerakan yang pantas dan ekstrem) untuk memastikan ia dapat mengejar dan menyerang sasaran yang bergerak pantas, seperti pesawat pejuang moden.
China mula memperkenalkan PL-15 kepada pasaran global sekitar tahun 2021 dengan pengenalan varian E atau “Export”. Pada ketika ini, Pakistan merupakan satu-satunya negara yang telah menggunakannya di dalam peperangan.
Peluru berpandu ini dikatakan sebagai pesaing atau lawan kepada AIM-120 AMRAAM yang digunakan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat dan sekutunya.
PL-15 turut digunakan oleh pihak China pada jet pejuang generasi kelimanya iaitu J-20 dan J-35. Selain itu, peluru berpandu ini digunakan J-10C, J-15, J-16, J-11B, JF-17 Block-3
Dalam konteks Pakistan, PL-15E memberi kelebihan ketenteraan yang ketara, khususnya dalam menghadapi jet-jet pejuang moden milik India seperti Sukhoi Su-30MKI dan Rafale.

Struktur badan & ekor serpihan utama peluru berpandu diperiksa pasukan keselamatan menjadi bukti penting bagi mengenal pasti adakah ia peluru berpandu PL-15E atau bukan. Foto: X (Twitter)
Walaupun masih belum diketahui secara rasmi sama ada peluru berpandu tersebut telah menjatuhkan pesawat India atau sekadar dilancarkan dalam pertempuran udara, penemuan bangkai PL-15E di wilayah India membawa kesan dan mesej yang tersendiri kepada New Delhi.
Tambahan pula, negara besar di Asia Selatan itu berdepan dengan dua musuh utama dari segi geopolitik dan juga perebutan sempadan. Jika wilayah Jammu dan Kashmir menjadi punca pertelingkahan dengan Pakistan, India turut berhadapan dengan ketegangan bersama China di kawasan sempadan Ladakh.
Menariknya, Ladakh merupakan wilayah yang terletak bersebelahan dengan wilayah Jammu dan Kashmir, menjadikan kedua-duanya kawasan yang sensitif dan mudah tercetus konflik.
Mungkin penemuan bangkai peluru berpandu ini kelihatan seperti sesuatu yang biasa, namun hakikatnya ia menandakan permulaan baharu dalam persaingan strategik antara dua kuasa besar nuklear di Asia Selatan.
Penemuan ini memberi isyarat yang jelas kepada komuniti antarabangsa tentang peranan aktif China dalam mempengaruhi lanskap keselamatan di rantau ini dengan membekalkan teknologi dan senjata moden kepada negara sekutunya. – airtimes.my
#AirTimes #PL15E #OperasiSindoor #GeopolitikAsiaSelatan #KeteganganIndiaPakistan #SenjataCanggih #India #Pakistan #China